Keadaan di ibu negara kini aman
KUALA LUMPUR 9 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan keadaan di ibu negara kini kembali tenteram selepas polis berjaya mematahkan cubaan penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan haram hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mendengar khabar angin yang disiarkan oleh portal berita dan blog di Internet yang mendakwa keadaan di ibu negara tidak selamat.
"Pada masa ini, keadaan (di Kuala Lumpur) kembali tenteram dan saya percaya biarlah sesiapa juga mempunyai niat tertentu (untuk menghuru-harakan keadaan) agar hentikanlah (tindakan itu).
"Biarlah Kuala Lumpur dan mana-mana sahaja tempat di negara kita berada dalam keadaan aman seperti mana kehendak majoriti masyarakat negara kita," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Ismail, secara keseluruhannya, polis berjaya mengawal perhimpunan haram dan menyurai penunjuk perasaan dalam tempoh tiga jam.
Sementara itu, semua laluan di ibu negara yang ditutup hari ini mula dibuka secara berperingkat-peringkat mulai malam ini kecuali Dataran Merdeka yang ditutup sempena hujung minggu.
No comments:
Post a Comment