Hargai pengorbanan polis
ZACK BEE
Alor Setar, Kedah.
Sebagai salah seorang yang ahli keluarganya menjadi anggota polis, saya berasa amat terharu dan berterima kasih kepada Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Zamani Abdul Rahim yang melahirkan rasa sedih beliau apabila melihat kerjaya polis ditentang dan dicemuh dengan sewenang-wenangnya.
Keikhlasan Zamani dalam membuat teguran itu ketika menjatuhkan hukuman ke atas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan seharusnya difahami oleh semua pihak. Ia memandangkan ketika ini anggota polis menempuh cabaran yang cukup getir dalam usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Lihat sahaja apa yang berlaku ketika perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur baru-baru ini. Anggota polis yang bertungkus-lumus mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal menjadi mangsa maki hamun penunjuk perasaan.
Ini bukanlah kali pertama ia berlaku. Malahan sejak selepas pilihan raya umum, sudah banyak kejadian menunjukkan bagaimana ramai orang awam terutamanya penyokong pembangkang bersikap biadab kepada pihak polis.
Saya tidak faham, kenapakah ada sebahagian rakyat negara ini masih tidak mahu menghargai jasa anggota polis yang berkorban siang dan malam untuk memastikan keselamatan kita tidak tergugat.
Kalau pun kita tidak mahu memuji dan menyanjung mereka, cukuplah kalau kita mengucapkan terima kasih dan menghargai segala pengorbanan mereka.
Perubahan dalam arena politik sekarang tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak menghormati polis, sama ada kita penyokong kerajaan, pembangkang mahupun atas pagar. Kita perlu menyanjung segala pengorbanan anggota polis.
Fikirkanlah, bagaimana kita dapat menjalankan aktiviti harian dengan penuh ketenangan kerana keselamatan kita terjamin. Cuba bayangkan apa yang berlaku kalau anggota polis kita lemah, pasti kadar jenayah meningkat.
Begitu juga di jalan raya, terutama di bandar besar kesesakan yang teruk akan berlaku di waktu puncak. Anggota polis trafik sanggup berdiri berjam-jam mengawal lalu lintas, jadi kenapa kita tidak tahu bersyukur dan berterima kasih?
Kita sepatutnya faham dalam keadaan apa-apa sekalipun anggota polis sentiasa menjalankan tugas dengan penuh profesional dan akan bertindak ke atas sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang.
Oleh itu, adalah tidak wajar jika kita dengan sewenang-wenangnya memaki hamun mereka semata-mata kerana berbeza fahaman politik.
Saya berharap teguran yang dibuat Zamani akan difahami semua pihak. Hargailah jasa polis, janganlah sewenang-wenangnya memaki hamun atau memperlekehkan mereka.
No comments:
Post a Comment