Ambil tindakan ke atas media siar laporan palsu
PERHIMPUNAN haram Bersih pada Sabtu lalu telah dijadikan medan oleh media asing dan portal pro pembangkang untuk membuat laporan palsu mengenai apa yang berlaku.
Kelompok berkenaan hanya menunjukkan bagaimana ketegasan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyuraikan perusuh-perusuh.
Mereka cuba menggambarkan bahawa polis Malaysia kejam dan bertindak ganas, malah mereka juga tergamak membuat laporan berunsur fitnah.
Perbuatan sesetengah media asing itu disokong pula oleh portal pembangkang di Malaysia seperti The Malaysia Insider dan Malaysiakini.
Kedua-dua portal itu membuat banyak laporan palsu ketika perhimpunan berlangsung, matlamat mereka hanya satu iaitu memburukkan kerajaan di mata masyarakat dan mencemarkan Malaysia di pentas dunia.
Sikap tidak beretika dan melampau media-media berkenaan tidak harus dibiarkan dan langkah PDRM yang akan mendedahkan bukti apa sebenarnya berlaku pada Sabtu lalu amat dialu-alukan.
Memang benar rakyat perlu diberi gambaran yang betul apa yang berlaku tetapi itu belum mencukupi, media-media yang bertindak sebagai ejen propaganda pembangkang (mungkin juga asing) perlu diberi pengajaran.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak harus lagi berlembut dengan media-media seumpama itu yang dalam setiap laporan mereka tidak ada yang baik mengenai kerajaan dan Malaysia.
Dalam soal ini, kita tidak mahu lagi mendengar hujah atau amaran tetapi kesudahannya tiada tindakan tegas diambil.
Selama ini, media asing terutamanya portal pembangkang di negara ini begitu berani membuat laporan yang tidak benar kerana begitu yakin bahawa kerajaan melalui KDN tidak akan mengambil tindakan.
Namun begitu dengan ketegasan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kita percaya kali ini KDN akan benar-benar bertindak.
Seharusnya tidak ada lagi pertimbangan terhadap mana-mana media sama ada asing atau tempatan yang membuat laporan palsu terhadap kerajaan dan Malaysia.
Mereka perlu dikenakan tindakan bukan lagi amaran, golongan seumpama ini sememangnya sudah terdidik untuk tidak memahami apa itu peringatan.
Kalau pun kerajaan cuba 'berbaik-baik' dengan mereka dengan memberikan maklumat dan fakta yang tepat serta sahih, mereka tidak akan menggunakannya.
Sebaliknya, mereka akan mencari fakta lain yang boleh memburuk-burukkan imej kerajaan dan Malaysia serta tetap mendengar putar belit pembangkang.
Begitu juga dalam isu perhimpunan haram tersebut, media asing dan portal pro pembangkang bukannya tidak tahu bahawa amaran sudah dikeluarkan berkali-kali oleh kerajaan berhubung perkara berkenaan.
Tetapi amaran dan peringatan itu tidak dipatuhi, sebaliknya pemimpin pembangkang serta penyokong mereka turun ke jalan raya untuk merusuh.
Tak kan orang yang merusuh perlu diberikan sekuntum bunga mawar setiap seorang dan kemudian diberi nasihat untuk beredar secara baik.
Polis terpaksa bertindak kerana mengingkari arahan bersurai dan melanggar undang-undang tetapi apabila ditangkap perusuh-perusuh ini diberi layang baik. Namun semua ini tidak dipaparkan oleh media-media asing dan portal pembangkang kerana semua itu tidak sehaluan dengan niat mereka untuk memburuk-burukkan Malaysia.
Justeru wajarlah kalau KDN dan PDRM mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka sebagai satu pengajaran bahawa kebebasan media bukannya bermakna mereka berhak melakukan pembohongan.
TAJUK-TAJUK BERIT
No comments:
Post a Comment