Hina lagu Negaraku: UMT lapor polis
KUALA TERENGGANU 11 Julai - Siasatan awal Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati individu yang bertindak biadab menghina lagu Negaraku dan pemimpin negara menerusi laman sosial Facebook bukan penuntut universiti itu.
Bagaimanapun, UMT tidak menolak kemungkinan individu yang dikenali sebagai Mohd. Farizal terbabit pernah belajar di situ sebelum ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim (gambar) menegaskan, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Gong Badak, malam tadi.
"Sekarang kita serah kepada polis untuk siasat sama ada individu itu pernah menuntut di UMT atau sekadar menyamar sebagai penuntut UMT.
"Jika terbukti Mohd. Farizal itu penuntut UMT, maka, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas memandangkan perbuatannya itu sangat serius," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Simposium Tahunan Antarabangsa UMT (UMTAS 2011) Kali Ke-10 di sini, hari ini.
Yahaya diminta mengulas mengenai perkembangan kes seorang pemuda dipercayai mahasiswa UMT berikutan tindakannya mencerca, mempersendakan negara serta raja Melayu menerusi lirik lagu kebangsaan yang diubah dalam laman sosial Facebook.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman terkejut dengan tindakan individu yang dikaitkan sebagai pelajar universiti tersebut.
Tambah Aziz, pihaknya tidak rela mempunyai penuntut yang menghina lagu Negaraku dan akan memastikan tindakan tegas diambil.
Sementara itu, mengulas tentang simposium tahunan tersebut, Yahaya memberitahu, ia berjaya menarik minat hampir 500 peserta dari dalam dan luar negara.
Simposium yang berlangsung selama tiga hari itu dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.
No comments:
Post a Comment