Bersihkan Anwar dahulu
AGAK lucu selepas tiga tahun tiga bulan pembangkang berjaya menguasai lima negeri dan menang besar di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, mereka terus menggerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Adakah mereka mampu mencatatkan kemenangan seumpama itu selain menurunkan majoriti undi Barisan Nasional di negeri-negeri lain disebabkan pilihan raya ketika itu dilangsungkan secara tidak adil dan tidak bersih?
Atau Bersih yang dipimpin orang undang-undang, Datuk S. Ambiga dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pembangkang kini sangat hebat dan Bersih adalah alasan supaya Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan segera supaya mereka dapat menawan seluruh negara, atau sebaliknya?
Dua pemimpin mewakili kaum bukan Melayu, iaitu Presiden Parti Bersatu India Malaysia, (MIUP) Datuk S. NALLAKARUPPAN dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) HUAN CHENG GUAN mempunyai pandangan yang sama tentang niat sebenar Ambiga, Anwar dan sesiapa saja yang mendalangi Bersih.
Nallakaruppan bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID manakala ZABRY MOHAMED MAZLAN menemui Cheng Guan di Pulau Pinang bagi mengupas agenda di sebalik Bersih.
MINGGUAN: Pada pandangan Datuk apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berundur?
NALLAKARUPPAN: Bagi saya beliau mungkin akan berundur tapi bukan sekarang. Sepanjang saya berkawan dengannyadan menyaksikan sendiri dengan mata kepala saya pelbagai kegiatan kotor dan keji yang dilakukan, Anwar tidak pernah mudah berputus asa. Saya bersama dengan beliau sejak sekian lama, saya masuk dan keluar penjara kerana beliau. Saya yang banyak membantu keluarganya ketika beliau di penjara dulu. Saya bersama beliau susah dan senang. Jika saya hanya fikirkan diri sendiri sudah tentu saya bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu, tetapi ia tidak berlaku kerana saya fikirkan tentang kawan. Apabila beliau keluar penjara saya jangkakan beliau akan berubah menjadi lebih baik tetapi tidak. Beliau tetap berkelakuan sama. Anwar tidak pernah berubah. Pada masa itulah saya membuat keputusan untuk meninggalkannya. Tiada siapa yang boleh menasihatkannya kerana beliau tidak akan mendengar. Saya sedar orang ini (Anwar) begitu berazam mahu menjadi perdana menteri.
Oleh itu saya tidak hairan apabila beliau sanggup melakukan apa saja untuk memberitahu orang lain terutama penyokongnya bahawa orang yang didakwa dalam rakaman hubungan seks dengan wanita Cina itu bukan beliau. Itu adalah sesuatu yang biasa bagi saya. Anwar pernah beritahu saya ketika beliau melihat gambarnya sendiri, lelaki ini sangat jahat (menunjukkan jari pada gambar Anwar sendiri). Apa maksudnya? Ini menunjukkan Anwar sendiri berkata dirinya adalah seorang yang jahat. Saya tidak berbohong dalam perkara ini. Perkara yang sama juga berlaku dalam kes video seks ini di mana walaupun jelas wajah yang tertera itu adalah beliau tetapi Anwar akan tetap kata itu bukan dia. Bagi saya mungkin Anwar sendiri tidak sedar bahawa beliau sendiri yang melakukan perbuatan terkutuk itu kerana beliau mempunyai penyakit gangguan mental. Penyakit yang melanda Anwar ini jarang berlaku pada orang lain kerana mereka tidak mempunyai masalah personaliti yang pelbagai selain tidak bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri. Jika penyakit ini tidak dirawat dengan segera, Anwar akan sentiasa menyalahkan pihak lain walaupun terbukti aksi di dalam video seks itu adalah dirinya.
Apa perlunya Anwar dan Datuk Ambiga mengadakan Bersih?
NALLAKARUPPAN: Saya nak tanya siapa Ambiga, siapa Mohammad Sabu? Bukankah Timbalan Presiden Pas itu adalah orang pertama menggelar Anwar al-Juburi? Kini beliau pula yang mengagung-agungkan Anwar malah saya boleh katakan beliau menjilat balik ludah sendiri. Bagi saya mereka yang terlibat dalam Bersih sebenarnya jahil tentang definisi Bersih itu sendiri serta jahil tentang siapa sebenarnya Anwar.
Walaupun saya bukan orang Islam tetapi saya tahu selagi seseorang Islam itu tidak bertaubat selagi itu dia tidak bersih. Sebagai seorang yang rapat dengan Anwar, saya nak beritahu pengikut Bersih, pergilah berdemonstrasi di hadapan rumah Anwar supaya dia bertaubat sebelum berdemonstrasi terhadap kerajaan.
Bagi saya yang penting sekarang bukan penganjuran Bersih kerana sangat jelas itu adalah perhimpunan haram. Yang paling utama sekarang adalah Wan Azizah mesti bersihkan suami dia dan bukannya menganjurkan pergerakan haram seperti Bersih yang akan menyusahkan orang lain. Tetapi bersih yang bagaimana perlu Wan Azizah lakukan terhadap Anwar? Pertamanya, Wan Azizah mesti bersihkan mental suami dia dan sucikan badan dia. Biarlah Wan Azizah yang bersihkan Anwar dan mandikan beliau sebersih-bersihnya sebelum Anwar dimandi bersihkan oleh rakyat kerana perlakuan kotor beliau dan tindakan-tindakannya yang boleh merosakkan negara. Saya amat kesal dan sedih kerana Anwar tidak henti-henti menipu rakyat, bukan itu saja dia juga cuba memporak-perandakan rakyat dan merosakkan negara. Kalau Wan Azizah tak bersihkan suaminya, saya berasa kasihan terhadap keluarga terutama anak-anak beliau. Pastinya apa yang dilakukan Anwar akan memberi kesan dan memalit kekotoran kepada keluarga, parti, rakyat yang menyokong beliau serta negara.
Apakah Datuk melihat orang awam akan menyertai Bersih?
NALLAKARUPPAN: Perhimpunan Bersih sebenarnya hanya dihadiri oleh ahli-ahli parti dan bukannya orang awam. Ahli parti yang datang nanti pun pada pandangan saya hanyalah dari parti Pas dan PKR sahaja. Ahli parti DAP adalah beberapa kerat yang turun padang, yang lain hanya melihat dari jauh dan bertepuk tangan menyaksikan perpecahan hasil daripada usaha mereka. Pada saya mereka yang menyertai perhimpunan tersebut adalah jahil sehingga tidak tahu membezakan antara yang kotor dan bersih. Kalau mereka tak jahil, mana mungkin mereka ikut orang yang kotor seperti Anwar. Mereka tidak akan jadi macam itu jika pemimpin yang kotor dan langsung tidak bersih seperti Anwar memperdaya mereka dengan pelbagai bentuk fitnah dan pembohongan.
Kalau dilihat pelbagai rahsia mengenai perlakuan Anwar terdedah satu persatu, tetapi kenapa penyokongnya masih tidak boleh menerima kenyataan?
NALLAKARUPPAN: Saya hendak beritahu di sini Anwar adalah seorang pelakon yang sangat handal. Akan ada pelbagai cerita dan pembohongan yang akan direka beliau bagi menafikan kesalahan dan perlakuan kotor beliau. Saya bagi contoh dahulu ketika di dalam penjara beliau selalu menggunakan alasan masalah kesihatanlah, diracun arsenik dan pelbagai lagi untuk tarik simpati sedangkan ketika di atas katil Anwar boleh pula ‘menari’ dengan baik.
Kenapa Anwar tidak mahu bersihkan kes liwat dia dulu dan masih mencuba pelbagai cara untuk menangguhkan perbicaraan. Bukankah lebih senang jika Anwar serahkan DNA, jika beliau benar-benar tidak bersalah. Segala-galanya tentang kejahatan beliau tidak mahu dibersihkan tetapi sekarang Anwar nak perjuangkan Bersih. Walau apa pun alasan yang Anwar berikan, yang pasti perhimpunan haram Bersih didalangi pihak tertentu dan ia adalah seratus peratus cubaan Anwar untuk alih kes liwat beliau serta video seksnya.
Datuk rasa apakah motif utama Anwar dalam penganjuran Bersih ini?
NALLAKARUPPAN: Saya percaya Anwar mempunyai tiga objektif utama. Pertama beliau memilih untuk mendalangi perhimpunan Bersih untuk mengelak dan mengalih pandangan rakyat terhadap kes liwat yang akan disambung bicara pada Julai ini. Keduanya, Anwar dapat merasakan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin bertambah. Malah ada antara mereka yang dulu penyokong kuat Anwar kini sudah beralih arah. Oleh itu dengan penganjuran Bersih, mereka akan membuat kecoh supaya rakyat terutama mereka yang di atas pagar tertanya-tanya adakah keputusan mereka untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri adalah tepat.
Ketiganya, mereka dapat merasakan pilihan raya umum sudah semakin hampir. Justeru Anwar kena buktikan bahawa sokongan terhadapnya masih kuat supaya pihak yang membiayai pergerakan dan partinya akan terus memberikan dana. Memandangkan BN di bawah kepimpinan Najib kini semakin mendapat sokongan rakyat, Anwar cuba memburuk-burukkan imej kerajaan pada pandangan orang luar supaya akan timbul sangsi dan kasihan terhadap beliau sekaligus membuatkan kerajaan pula yang salah dan beliau pula yang dilihat tertindas. Anwar merupakan seorang yang sangat terdesak sekarang maka dengan penganjuran Bersih ia dilihat mampu mengenepikan persepsi negatif rakyat terhadapnya.
Perlukah perhimpunan haram seperti Bersih ini dianjurkan?
NALLAKARUPPAN: Bagi saya gaya perhimpunan haram dan berdemonstrasi sememangnya sentiasa menjadi taktik Anwar sejak zaman beliau di universiti lagi. Anwar sanggup lakukan apa sahaja untuk melampiaskan apa yang dia terdesak, malah beliau akan buat macam-macam perkara untuk menarik perhatian. Malah ketika Anwar menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri dahulu beliau selalu cuba mengalihkan isu menggunakan platform yang ada elemen perhimpunan - konsepnya sentiasa sama sejak dulu lagi. Anwar adalah manusia yang sangat berbeza. Ketika berhadapan dengan rakyat dia menjadi lain, ketika bersendirian di dalam bilik dengan saya, saya tahu siapa Anwar. Dia akan menjadi monster. Saya tahu dan saya tengok sendiri Anwar sama ada ketika dia bersama lelaki atau wanita.
Kalau kita lihat dalam kes liwat yang pertama dahulu, walaupun dikatakan ada konspirasi, tetapi telah terbukti ada berlakunya sodomi cuma beliau dibebaskan disebabkan beberapa perkara teknikal. Kini beliau terlibat pula dalam perbicaraan kes liwat kedua. Saya nak tanya kalau betul ada konspirasi, adakah orang dalam dunia ini yang sanggup diumpan menjadi mangsa dan menerima upah? Kalau betul pun diupah, takkan dia sanggup berbohong buat sumpah laknat kerana semua kita tahu risiko yang terpaksa ditanggung atau apakah dia ini tidak takut dengan laknat yang bakal menimpa?
Bagaimana Datuk melihat kes video seks yang dikatakan melibatkan Anwar?
NALLAKARUPPAN: Saya sudah menonton video tersebut dan saya yakin lelaki itu adalah Anwar. Dahulu kerana tidak ada bukti mereka tidak percaya Anwar tidak akan berkelakuan sekeji itu. Kini sudah ada bukti jelas terpampang wajah Anwar malah sudah disahkan oleh pakar dari Amerika Syarikat, namun para penyokong dan pemimpin parti pembangkang lain tetap menafikan itu adalah Anwar. Saya tidak faham kenapa mereka masih tidak mahu menerima hakikat malah sanggup membuat perhimpunan haram untuk membela Anwar yang sudah semakin terdesak.
Tetapi saya yakin sebenarnya pengikut-
pengikut dan pembela Anwar termasuklah Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, timbalannya Mohammad Sabu serta Lim Kit Siang, Karpal Singh dan lain-lain, fikiran dan otak mereka semua sudah dimandulkan oleh Anwar. Sebab itu mereka tak tahu nak bezakan antara video dan besi. Malah saya sendiri sudah berjumpa beberapa pemimpin Pas bagi tahu siapa Anwar yang sebenar, terpulanglah kepada mereka jika mahu terus bersekongkol dengan Anwar.
Bagaimana Datuk melihat pakatan dan muslihat di kalangan pembangkang?
NALLAKARUPPAN: Bagi saya hampir semua orang tahu, Pas tahu dan DAP tahu siapa sebenarnya Anwar. Mereka hanya bermain politik mengatakan Anwar tidak bersalah sedangkan hakikatnya mereka tahu siapa dan bagaimana kelakuan Anwar sebenarnya. Malah mereka juga antara orang pertama menggelar Anwar dengan bermacam gelaran. Tetapi kerana kuasa politik mereka sanggup memejamkan mata dan menutup mulut dari kebenaran. Hanya kerana seorang lelaki mereka ini sanggup bersekongkol dan bersubahat menutup kebenaran dan mahu melihat negara ini dihancurkan. Saya nak katakan hakikatnya rumah sendiri pun kotor tetapi ada hati nak bersihkan rumah orang lain. Bersihkan rumah sendiri dulu barulah sibuk nak bersihkan rumah orang lain.
Mungkin Datuk ada pesanan kepada Anwar dan mereka yang mahu menyertai perhimpunan Bersih?
NALLAKARUPPAN: Saya mahu nyatakan di sini walaupun saya seorang penganut agama Hindu, tetapi saya sanggup bersumpah mengikut ajaran agama saya bahawa apa yang saya katakan mengenai kelakuan dan perbuatan Anwar itu adalah benar. Malah saya sanggup bersumpah di dalam kuil, seperti mana tuntutan agama saya. Saya tidak takut memijak api seperti yang dikehendaki dalam agama saya dan tidak takut anak isteri saya terkena sumpahan walaupun saya tahu itu adalah satu perkara yang agak berat namun saya berani lakukan semua ini kerana saya tahu sumpah saya adalah benar.
Satu perkara lagi saya bimbang jika perhimpunan haram Bersih diteruskan dikhuatiri ia akan menjadi medan perpecahan sesa
ma orang Melayu yang terbesar dalam seja
rah negara. Adalah malang bagi orang Melayu kerana jika berlaku perpecahan ia berpunca daripada usaha Anwar untuk meme
nuhi cita-citanya. Apabila kaum Melayu yang merupakan majoriti bergaduh antara satu sama lain, ia akan menjadi titik permu
laan kepada kehancuran sesebuah negara sedangkan sepatutnya perpaduan orang Melayu adalah kunci kepada perpaduan nasional. Oleh itu fikirkan dengan teliti apakah berbaloi menyertai perhimpunan haram Ber
sih ini yang agenda utamanya adalah untuk survival politik Anwar yang akhirnya menggugat perpaduan orang Melayu dan akhirnya menjadi titik kepada kehancuran negara.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment