Thursday, April 5, 2012

saham2

Cabaran Azmin dedah bukti disahut


DOKUMEN pembelian saham kepunyaan Shamsidar dalam tiga syarikat sekitar 1992 hingga 1998.


KUALA LUMPUR 3 April - Tindakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali meminta angka yang tepat mengenai pemilikan saham jutaan ringgit yang dikatakan milik beliau dan isteri, Shamsidar Taharin membuktikan dakwaan tersebut adalah benar.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, Azmin mungkin 'terlupa' mengenai angka yang tepat berhubung jumlah saham beliau dan Shamsidar kerana mereka sudah memiliki kekayaan bernilai jutaan ringgit tetapi rakyat tidak lupa.
Beliau sentiasa bersedia untuk menghilangkan tabiat 'pelupa' Timbalan Presiden PKR itu melalui bukti-bukti sahih transaksi pembelian saham bernilai RM2 juta dan pemilikan akaun RM8 juta atas nama Azmin, Shamsidar serta proksi mereka.
Antaranya, kata Anuar, bukti tiga keping dokumen pembelian saham kepunyaan Shamsidar yang menggunakan alamat di No. 13, Jalan H-1, Fasa 5, Taman Melawati, Kuala Lumpur semasa beliau melabur dalam tiga buah syarikat, sekitar 1992 hingga 1998.
"Di syarikat Multi Purpose Holding Berhad (MPHB), Shamsidar telah mendapat keuntungan sebanyak RM21,731 (setelah ditolak kos perkhidmatan broker TA Securities Sdn. Bhd.) selepas membeli 10,000 lot saham dengan harga RM2.17 sen untuk satu lot.
"Pelaburan saham di syarikat FEHS pula, Shamsidar mendapat keuntungan sebanyak RM280,000 (setelah ditolak kos perkhidmatan broker Rashid Hussain Securities Sdn. Bhd.) selepas membeli 100,000 lot saham bernilai RM2.80 sen satu lot.
"Hasil pembelian saham di Kemayan Oil Palm Berhad, Shamsidar memasukkan keuntungan RM250,003 ke akaunnya, soalnya dari mana Shamsidar dan Azmin dapat duit sebanyak itu? Ini yang Azmin kena jawab," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, Azmin yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat pertama kali menafikan beliau dan Shamsidar memiliki saham bernilai jutaan ringgit dan menyifatkan usaha yang mengaitkan perkara itu dengannya sebagai fitnah.
Dalam pada itu, Anuar yang merupakan individu bertanggungjawab melaporkan pembelian dan pemilikan saham berkenaan kepada polis serta SPRM, sekali lagi menuntut pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan berhubung status siasatan ke atas kes tersebut.
Katanya, rakyat perlu tahu status terkini siasatan ke atas pembelian dan pemilikan saham tersebut kerana mustahil Azmin yang bertugas sebagai pegawai kerajaan dengan gaji RM3,000 (pada 1992-1998) boleh membeli saham bernilai jutaan ringgit.
"Kita mahu tahu dari mana Azmin dan isterinya memperoleh wang sampingan? Apakah pembelian dan pemilikan saham ini mempunyai kaitan dengan Anwar kerana Azmin bertindak sebagai Setiausaha Sulit Kewangan pada ketika itu," katanya.

No comments:

Post a Comment