Tuesday, April 10, 2012

kesan kalau ptptn hapus

Kesan kalau PTPTN dihapuskan...

PILIHAN Raya Umum Ke-13 sudah dekat, sebab itu senarai janji pembangkang kepada rakyat sudah jadi bermacam-macam. Antaranya memberi pendidikan percuma sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan menghapuskan pinjaman di bawah skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sekali dengar, memang menarik janji-janji pembangkang ini, terutamanya kepada yang sedang menanggung hutang PTPTN. Siapa yang tak mahu hutang terhapus serta-merta.

Slogan hendak membantu rakyat memang nampak cantik. Tapi bagaimana dan apakah mekanismenya? Kalau semua mahu percuma, ambil wang dari mana dan tutup sektor yang mana pula? Itu yang kita mahu tahu, jangan sekadar pandai bercakap. Sehingga kini, tiada penjelasan terperinci dan hujah-hujah logik daripada pembangkang mengenai cara untuk melaksanakannya.

Justeru Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan kepada Wartawan Utusan Malaysia, FAUZIAH AROF, NAZMIL NASIRUDDIN dan jurugambar HANAFI KHAMIS, apa implikasi dan kesan-kesannya jika mahu melaksanakan pendidikan percuma dan memansuhkan PTPTN dalam wawancara di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Pakatan pembangkang menjanjikan pendidikan percuma seperti yang digariskan dalam Buku Jingga, apakah hakikatnya ia boleh dilaksanakan?

KHALED: Dari segi ini, kita mahu melihat kewajaran implikasi dan kesan jika apa yang dicadangkan itu telah terlaksana dari segi hakikat. Apa ada sekarang kita semua terima hakikat pengajian tinggi adalah sebahagian daripada proses pendidikan yang bermula daripada peringkat rendah menengah, menengah tinggi dan pengajian tinggi. Menengah tinggi ini maknanya Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan matrikulasi. Kerajaan memang beri perhatian yang besar kepada pendidikan yang merupakan satu daripada beberapa sektor yang perlu diberi perhatian supaya pembangunan negara dapat dicapai secara seimbang dan holistik.

Kita dapat lihat untuk sektor pendidikan ini kerajaan membelanjakan RM50.1 bilion yang meliputi bersamaan 21.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan negara yang berjumlah RM232.8 bilion untuk tahun ini. Ia terdiri dari Kementerian Pengajian Tinggi dengan peruntukan RM12.9 bilion selebihnya pada Kementerian Pelajaran. Kita dapat lihat daripada peringkat rendah menengah, menengah tinggi dan pengajian tinggi, kita dapati pendidikan bermula dari peringkat rendah, menengah, menengah tinggi tetapi di peringkat pengajian tinggi ia highly subsidised, dengan jumlah peruntukan yang ada itu.

Jadi bolehkah untuk kerajaan menampung untuk pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi ini?

Kalau hendak pengajian tinggi percuma ia akan diambil dari mana-mana dari bawah, atau ambil dari luar sektor seperti sektor keselamatan, sosial, ekonomi, kesihatan termasuklah pertanian dan melibatkan jalan kampung untuk orang miskin. Jika seluruh pendidikan itu diberi percuma dengan mengambil dana daripada sektor lain, akan ada yang terjejas.

Itu satu perkara yang harus kita tahu, pada masa sama seperti saya katakan tadi, kerana matrikulasi dan Tingkatan 6 adalah percuma, malah Tingkatan 6 itu sendiri dapat dermasiswa setiap bulan oleh Kementerian Pelajaran, walaupun tak percuma tapi diberi subsidi yang tinggi.

Kalau kita lihat program perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yuran sebelum subsidi adalah RM166,000 tetapi pelajar bayar yuran hanya RM9,000, yang mana 94.6 peratus diberi subsidi oleh kerajaa. Bagi kejuruteraan pula RM61,200, yurannya RM5,600 dan hampir 90 peratus diberi subsidi oleh kerajaan; farmasi pula dalam lingkungan RM51,000 dan pelajar bayar yuran hanya RM6,800. Untuk pengetahuan, yuran yang dikenakan tidak pernah naik sejak 1990-an dalam keadaan semua benda naik namun kerajaan tidak pernah menaikkan yuran universiti.

Satu lagi keadaan yang menunjukkan kerajaan memberi subsidi yang tinggi kepada pengajian tinggi adalah menanggung kos pinjaman untuk PTPTN yang memperolehi pinjaman daripada sumber-sumber lain bagi membolehkan ia memberi pinjaman kepada pelajar. Kos dana itu sebenarnya ditanggung oleh kerajaan setiap tahun pada kadar faedah 4 hingga 5 peratus setahun untuk kos dana yang dikenakan. Usaha kerajaan menyerap kadar tersebut menunjukkan kerajaan masih lagi membiayai dan menyalurkan peruntukan yang besar supaya yuran yang dikenakan di peringkat pengajian tinggi itu tidak besar dan membebankan pelajar kita.

PTPTN yang ditubuhkan untuk membantu pelajar kini dikatakan membebankan pula kerana terpaksa menanggung hutang yang banyak pada usia muda, apa komen Datuk Seri?

PTPTN yang diluluskan pada 1996 merupakan satu badan yang menyediakan kemudahan kepada pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Ia merupakan satu kemudahan dan bukan pula sesuatu yang membebankan seperti yang dikatakan oleh pembangkang. Ia bukan sesuatu yang menyebabkan masa depan yang gelap disebabkan pelajar-pelajar ini perlu berhutang. Kita harus faham bahawa PTPTN memberi pilihan untuk pelajar meminjam bukannya secara keseluruhan.

Sebenarnya, komponen paling besar yang dipinjam pelajar adalah duit sara hidup. Bukannya yuran pengajian dan dalam hal ini pelajar tidak dipaksa meminjam, mahupun untuk pembayaran yuran. Sekiranya dipaksa untuk pinjaman yuran sekali pun, yuran yang dikenakan adalah begitu rendah. Misalnya, seorang pelajar politeknik yang mengambil diploma, pada tempoh setahun PTPTN memberi pinjaman kepada pelajar itu sebanyak RM5,000, mereka hanya perlu bayar yuran sebanyak RM4,000 sahaja.

Sementara itu, RM4,600 lagi adalah wang sara hidup. Jadi dalam hal ini, kalau tidak mahu membuat pinjaman penuh, ambil saja kos yuran dan tidak perlu mengambil pinjaman untuk komponen sara hidup. Begitu juga kalau ambil ijazah untuk bidang sains di universiti, PTPTN beri pinjam RM7,000 untuk yuran ditambah dengan komponen wang sara hidup. Namun, yuran yang dikenakan hanya RM2,100 dan bagi ijazah sastera pula, pinjaman yang diberikan adalah RM6,500 setahun dan melibatkan yuran RM1,100.

Maka ia sebenarnya menjadi pilihan pelajar sekiranya tidak mahu mengambilnya. Yuran yang dikenakan oleh universiti tidak besar dan pembangkang menuduh kerajaan menyebabkan pelajar dibelenggu oleh hutang. Hutang itu diambil bukan untuk bayar yuran tetapi lebih kepada perbelanjaan sara hidup, jadi yang ini fakta yang perlu diketahui.

Sehingga kini berapakah jumlah penerima dan pembiayaan PTPTN?

PTPTN kini telah memberikan pinjaman kepada 1.926 juta peminjam dengan jumlah peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM42.9 bilion setakat akhir 2011. Dan daripada jumlah itu, ramai yang telah bayar dan mula membayar. Terdapat seramai 144,000 peminjam yang ingkar.

Apakah kesan apabila diwujudkan PTPTN?

Sebelum ada PTPTN, pelajar-pelajar yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi hanya dalam 27,000 orang pada pertengahan 1990-an. Apabila ada badan itu, ia membolehkan seramai 227,000 pelajar untuk masuk universiti. Kalau dulu pelajar hendak masuk universiti ibu bapa terpaksa menjual tanah, menjual rumah atau meminjam dari bank, kini, ibu bapa tidak lagi dibebankan dengan soal itu tetapi diambil alih oleh pelajar itu sendiri pula. Dengan itu, pelajar pula yang meminjam. Jadi kalau PTPTN ini dihapuskan maka siapa yang akan bayar duit sara hidup kepada pelajar di IPTA dan IPTS.

Apa kesannya jika PTPTN dihapuskan dan yuran di peringkat pengajian tinggi diberi percuma?

Apabila universiti awam ini percuma akan timbul banyak masalah seperti yang kita lihat sebelum adanya PTPTN. Dulu kemasukan pelajar ke universiti berasaskan biasiswa dan dermasiswa. Sehubungan itu, tempat yang ada hanya 27,000. Itu saja kerajaan mampu sediakan ketika itu, dan sudah tentu universiti sedia ada tidak dapat berkembang tetapi jumlah pelajar yang memohon belajar ke universiti akan bertambah dan ini bermakna mereka tidak akan ada tempat. Setiap tahun terdapat seramai 188,000 pelajar mohon masuk ke IPTA dan mendapat tempat. Manakala, seramai 181,000 pelajar dapat tempat di IPTS, itulah jumlah pelajar yang dapat peluang untuk sambung pengajian peringkat tinggi pada hari ini.

Tetapi kalau universiti percuma maka tiada sebab untuk pelajar mohon belajar di IPTS disebabkan semua tertumpu ke IPTA, kerana semua kena bayar. Kerajaan juga tidak mungkin boleh siapkan banyak universiti awam, itu sebab kita dapat lihat banyaknya IPTS tumbuh untuk tujuan melengkapkan. Bagi menubuhkan universiti bukan sesuatu yang mudah khususnya dalam menyelenggara dan menentukan universiti berjalan memerlukan kos yang tinggi.

Itu sebab banyak negara yang menghantar pelajar mereka ke luar sebab negara tersebut tidak mampu membina universiti. Pembinaan universiti ini bukan macam nak buat sekolah, jadi universiti tak mungkin dapat berkembang dan menampung semua keperluan bukan saja soal tidak ada human capital nak gerakkan universiti iaitu pensyarah dan sebagainya. Maka pada masa sama tumpuan akan beralih kepada universiti awam kerana ia percuma, dan universiti awam tidak dapat dikembangkan dengan banyak dan cepat kerana tiada kemampuan kerajaan, sudahlah percuma tapi nak duit lain pula, dan universiti swasta terpaksa tutup kerana tiada siapa yang mampu untuk belajar.

Sekiranya kemasukan ke universiti adalah percuma, ramai yang akan memohon, apa akan berlaku dari segi peluang kemasukan? Apakah boleh dilakukan secara sama rata atau memilih hanya yang terbaik?

Ia akan sama nanti seperti permohonan biasiswa, di mana akan berlaku perebutan, timbul soal tidak puas hati.

Dalam hal ini, perlu ada asas yang tepat siapa patut dapat masuk apatah lagi ini percuma. Jadi mereka akan gunakan meritokrasi, bila guna ini dan bila kita tidak dapat nak imbangi orang Melayu akan berlaku jurang, memang itu yang mereka akan jadikan asas untuk tentukan apa saja perkara. Maknanya asalkan anda saja yang terbaik maka anda akan dapat, walaupun kita miskin dan sebagainya itu tidak akan jadi perkiraan, sebab seperti universiti di Singapura, Chile dan Argentina yang mempunyai pengajian tinggi yang percuma itulah asas yang akan digunakan. Maka akan berlaku kejadian 8:1, 8 anak orang kaya dan satu saja anak orang miskin. Ini kerana keputusan mereka dan sebagainya.

Apakah kesannya kepada IPTS? Dewan Pemuda Pas kata jika kerajaan beri percuma, IPTS tidak akan gulung tikar?

IPTS akan tutup dan pelajar lari ke IPTA, IPTA tidak akan dapat tampung semua. Dengan itu, matlamat menjadi negara maju agar sebanyak 50 peratus rakyat kita dapat akses ke pengajian tinggi akan terjejas. Matlamat kita untuk mendemokrasikan pendidikan akan terjejas.

Ibu bapa terpaksa cari dana bagi tampung anak mereka untuk sara hidup dan penginapan, apatah lagi ibu bapa hantar anak ke IPTS terpaksa cari dana untuk membiayai anak-anak mereka yang ada di IPTS, sistem untuk masuk universiti akan lebih ketat, berasaskan kecemerlangan maka jurang akan terus berlaku dalam soal perbezaan taraf sosioekonomi masyarakat dan sudah tentu ini akan bawa ketidakstabilan dari banyak segi untuk jangka masa panjang.

Maka, pembangkang ini mereka perlu buktikan dulu kepada IPTS yang mereka pegang di negeri masing-masing dahulu seperti di Universiti Industri Selangor (Unisel), Kuis, dan Kuin. Berani atau tidak buat keputusan pelajar yang belajar di sana tidak perlu memohon PTPTN. Mereka kata nak tutup janganlah guna. Percumakan yuran universiti berkenaan pada masa sama jangan suruh pelajar pinjam duit – boleh jadi atau tidak. Sebab kalau dia ambil alih Putrajaya, mereka tak boleh uruskan IPT berkenaan memandang mereka adalah IPTS. Sesebuah IPT hanya akan jadi IPTA jika ia ditubuhkan di bawah AUKU. Unisel, Kuin, Kuis ditubuhkan di bawah Akta 555.

Tukar kerajaan macam mana pun, status IPT berkenaan tetap tidak berubah kerana ia tetap IPTS. Adakah kerajaan dapat tanggung semua IPTS di negara ini? Negara ini kalau hendak bersaing dalam persekitaran dunia tanpa sempadan, rakyatnya mesti berilmu. Ilmu di peringkat tinggi adalah pilihan. Bukan itu sahaja malah semua negara di dunia. United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) memang hendak tinggikan lagi yuran pengajian peringkat tinggi mereka, Singapura apatah lagi.

Apakah sebenarnya ada pendidikan percuma? Ada beberapa negara dikaitkan memberikan pendidikan percuma.

Memang kita tahu di Jerman dan negara-negara Scandinavia ada memberikan percuma tetapi siapa sebenarnya yang memberikan atau membayar pendidikan itu. Percuma bukan bermakna langsung tiada kos, sebelum pergi itu balik kita bercakap pasal hujah Anwar Ibrahim kata Turki melaksanakan pendidikan percuma.

Kita buat kajian sebenarnya Turki tidak menyediakan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi, mereka gunakan juga kos tetapi kos dengan kadar yang lebih kurang sama dengan Malaysia. Meskipun begitu, kadar kehadiran pelajar Turki di peringkat tertiari kurang 15 peratus . Inilah beza Malaysia dengan semua negara lain, Malaysia saja yang memberikan pinjaman sara hidup. Turki tidak beri sara hidup, sebab itu kehadiran peratus mereka dalam lingkungan 15 peratus sahaja.

Soal adakah sebenarnya pendidikan percuma – kalau kita lihat isu pendidikan percuma dalam soal pemberian atau tidak adalah satu perkara yang menjadi perdebatan dalam dunia akademia, pandangan dan pendapat sebahagian besar negara tidak boleh diberikan secara percuma kerana pendidikan adalah satu pelaburan jika dibandingkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah. Peringkat pendidikan rendah dan menengah membawa pulangan pelaburan kecil.

Sementara itu, pelaburan di peringkat pengajian tinggi adalah tinggi, dan pulangan itu bukan saja pulangan kepada kerajaan atau publik tetapi juga kepada individu.

Ini bermakna pulangannya bukan saja kepada negara, tapi individu itu bila berjaya mohon kerja dia boleh mendapat gaji besar kalau dia di peringkat rendah dan menengah, kalau dia minta kerja lepas itu memang dia tidak boleh dapat kerana tidak cukup tetapi pada peringkat pengajian tinggi dia ada manfaat peribadi.

Mengapa kerajaan dan orang awam perlu bayar untuk pengajian tinggi bila pelajar dapat secara peribadi pulangan daripada pelaburan itu? Maka atas sebab itu, pengajian tinggi tidak boleh percuma dan perlu dibayar, hanya di Malaysia ini rakyat bayar tetapi kerajaan beri subsidi banyak, maknanya pada 10 peratus rakyat, kerajaan bayar pelaburan ini 90 peratus.

Jadi mengapa ada sesetengah negara boleh dapat percuma?

Kita lihat , Jerman, Norway dan Finland, itu semua adalah negara maju, kita bukan negara maju, tapi banyak juga negara maju tak bagi percuma seperti AS, Singapura dan United Kingdom.

Kedua, di negara itu populasi usia rakyat yang umur 17 hingga 25 tidak ramai. Tidak banyak universiti di Jerman yang memberikan pendidikan percuma iaitu dianggarkan tidak lebih 10 yang berbuat demikian. Ini kerana disebabkan populasi usia jadi jumlah pelajar yang masuk universiti sedikit.

Ketiga, dia tiada subsidi lain. Di negara kita ada subsidi minyak, tepung, gula macam-macam subsidi, mereka tiada subsidi. Dan keempat, cukai negara itu tinggi, kita belajar percuma bila keluar kena bayar cukai tinggi. Ini kerana kita membiayai pelajar yang ada di universiti dan kerajaan boleh buat?

Okey, katakan kita buat keputusan belajar percuma dengan pindahkan pembiayaan itu kepada rakyat Malaysia dengan naikkan cukai untuk bayar yuran ini. Mahu tak rakyat Malaysia? Sebab bila kita kata pendidikan percuma, percumakah? Seseorang kena bayar, jadi siapa yang bayar? Bila Anwar kata percuma siapa akan bayar sebenarnya?

Sebelum ini, Anwar ada persoal duit ketirisan, kalau dia jadi kerajaan ada duit ketirisan tak? Tentu dia kata tiada, habis tu siapa nak bayar? Tapi dia pun tak cakap berapa jumlah duit ketirisan tersebut. Cukup tak nak bayar untuk RM43 bilion yang dah digunakan itu? Bagaimana pula dengan mereka yang telah buat bayaran, jadi kenalah memulangkan bayaran itu. Jadi di negara lain, cukainya tinggi sebab ia dipindahkan, jadi atas sebab itu banyak kesan akan timbul nanti.

Apa yang dia cadangkan itu memang popular apatah lagi kepada orang yang berhutang, memang suka, tapi banyak masalah lain akan timbul yang akhirnya rakyat akan menanggung beban. Banyak yang tidak akan dapat masuk ke universiti seperti yang berlaku di Chile dan Argentina, ia mungkin murah tetapi tidak inklusif dan keterangkuman. Ia mungkin percuma tetapi ramai yang tidak dapat masuk sebab tiada pinjaman dan tiada sebarang bantuan,

Pembangkang kata kerajaan kenakan banyak cukai, kita ada hasil balak, kita ada hasil petrol, kenapa kita tidak dapat beri pendidikan percuma?

Kena lihat pada perbelanjaan lain, kalau kita galakkan banyak pelajar menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi, pada masa sama juga kita perlu lihat kepada sektor-sektor lain, tidak akan ada pekerjaan kalau kita tidak bina infrastruktur lain seperti lapangan terbang, pelabuhan untuk tingkatkan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, kita tak dapat buat pelaburan masuk ke negara kita, kita tidak dapat mencipta pekerjaan. Macam mana pula nasib pelajar yang akan keluar universiti ini nanti, akan kerja sebagai apa? Sebab itu, kita kata tadi kita perlu belanjakan secara holistik, supaya pada masa sama sektor-sektor lain dapat membangun dengan itu dapat menampung keperluan modal insan yang telah kita lahirkan.

Samalah pendapatan seorang keluarga kalau semua duit digunakan untuk anak dia pergi sekolah, dia tak beli kereta, tak beli pakaian, tak beli makanan tak jaga kesihatan. Jadi itulah soalnya dekat situ, pokoknya kita seperti dengan negara lain sedang melihat dan beralih ingin menjayakan konsep perkongsian kos dalam membiayai pendidikan di peringkat tinggi. Antara yang mereka putuskan adalah melalui pengenalan sebagai mana kita telah buat melalui PTPTN.

Pelajar yang mendapat kelas pertama dikecualikan untuk bayar balik. Setakat hari ini kita telah kecualikan 3,082 pelajar, apabila kenalkan kembali program ubah pinjaman PTPTN ini dalam 2010.

Selain soal adanya pelaburan dan pulangan, ada juga hal lain di sebalik falsafah pengenalan yuran pelajar. Ia adalah untuk berikan nilai kepada pengajian tinggi itu sendiri. Bidang pengajian tinggi mesti mempunyai nilai jika ia percuma ia tidak akan dihargai.

No comments:

Post a Comment