Thursday, April 5, 2012

20 juta lesap

MBS persoal kehilangan RM20 juta

SHAH ALAM 3 April - Majlis Belia Selangor (MBS) hari ini mempersoalkan 'kehilangan' RM20 juta yang diperuntukkan di bawah Bajet Selangor 2012 untuk pembangunan belia di negeri itu.

Timbalan Presidennya, Badrul Hisham Badrudin berkata, kehilangan peruntukan itu amat meragukan ekoran kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 31 Mac lalu bahawa peruntukan pembangunan bagi golongan berkenaan hanya berjumlah RM67.5 juta.

Katanya, pengumuman Abdul Khalid itu mencetuskan pelbagai persoalan kerana ketika membentangkan Bajet Selangor 2012, kerajaan negeri menyatakan peruntukan untuk pembangunan belia berjumlah RM87.5 juta.

"Amat menghairankan apabila pada satu majlis baru-baru ini, beliau menyatakan jumlah peruntukan kepada pembangunan belia adalah sebanyak RM67.5 juta sahaja. Ke mana hilangnya peruntukan sebanyak RM20 juta lagi?

"Begitu juga dengan pecahan peruntukan itu untuk program keusahawanan muda yang menyusut kepada RM30 juta berbanding RM50 juta yang diumumkan dalam bajet negeri sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam Bajet Selangor 2012 seperti dibentangkan pada November tahun lalu, Abdul Khalid menyatakan kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM87.5 juta untuk pembangunan belia di negeri itu yang dipecahkan kepada program-program tertentu.

Katanya, pecahan program-program di bawah peruntukan pembangunan belia itu adalah program latihan belia sebanyak RM3.5 juta; program keusahawanan muda (RM50 juta); pembangunan sukan (RM4 juta) dan penyediaan infrastruktur sukan sebanyak RM30 juta.

Bagaimanapun katanya, Abdul Khalid ketika merasmikan majlis Konvokesyen INPENS International College ke-16 pada 31 Mac lalu menyatakan kerajaan negeri memperuntukkan RM67.5 juta untuk pembangunan belia merangkumi program latihan belia sebanyak RM3.5 juta, keusahawanan muda (RM30 juta), pembangunan sukan (RM4 juta) dan penyediaan infrastruktur sukan sebanyak RM30 juta.

"Justeru kita mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai perbezaan peruntukan pembangunan belia itu di bawah Bajet Selangor 2012," katanya.

Beliau meminta kerajaan negeri menyenaraikan jumlah penerima, jenis perniagaan yang dijalankan dan jumlah pengagihan peruntukan di bawah program keusahawanan muda yang sudah dibelanjakan sehingga kini.

No comments:

Post a Comment