Friday, April 27, 2012

kaum india diperbodohkan

ARKIB : 23/04/2012

Kaum India jangan diperbodohkan pembangkang

TAPAH 22 April - Kaum India di negara ini diingatkan jangan terpengaruh dan diperbodohkan parti pembangkang yang sengaja mengeksploitasi isu kerakyatan untuk memburuk-burukkan kerajaan.
Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan berkata, akibat ketandusan modal menjelang pilihan raya umum akan datang, pembangkang dilihat sengaja memanipulasi isu tersebut termasuk mengajak mereka mengadakan perhimpunan.
Tegas beliau, tindakan berhimpun tidak langsung membantu menyelesaikan masalah masyarakat India tetapi hanya satu sandiwara politik pembangkang bagi mengelirukan rakyat.
"Kalau benar-benar prihatin, mereka akan membawa kaum India yang tidak ada kad pengenalan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tindakan lanjut dan bukannya berhimpun di pintu masuk Parlimen.
"Tindakan berhimpun bukan satu penyelesaian masalah. Di negara ini, saya tidak pernah lihat mana-mana kaum yang telah sampai 12 tahun menetap di sini pergi ke JPN membawa dokumen yang sah dihalang daripada masuk ke pejabat tersebut," katanya di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan buku pelaburan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW-Bandar) dan Bantuan Sewa Rumah kepada 34 penerima bagi kawasan Tapah hari ini.
Kelmarin, kira-kira 100 masyarakat India bersama beberapa pemimpin pembangkang berhimpun di hadapan pintu masuk Parlimen bagi menuntut hak agar mereka diberikan status kewarganegaraan.
Saravanan berkata, beliau percaya mereka yang menyertai perhimpunan tersebut juga bukan pengundi tetapi individu yang diperalatkan pembangkang bagi kepentingan parti mereka.
"Mungkin ada satu atau dua yang tercicir, tetapi itu semua sebab kesilapan sendiri kerana mereka tiada dokumen lengkap. Tetapi sekarang banyak cara mereka boleh memohon termasuk Program MyDaftar yang dibuat MIC dan Kementerian Sumber Manusia," katanya.

No comments:

Post a Comment