Friday, April 27, 2012

kampung tergadai

ARKIB : 23/04/2012

ADUN Bayan Lepas sanggup dicerca elak kampung tergadai

Syed Amerruddin Syed Ahmad membincangkan masalah dihadapi penduduk mengenai borang Bantuan Rakyat 1Malaysia di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, baru-baru ini. - utusan/Malinda Abdul Malik
PULAU PINANG 22 April - Menyusuri Jalan Teluk Kumbar di sini ketika waktu puncak mungkin amat memeritkan kepada pemandu kenderaan.
Jalan selorong sejauh kira-kira lima kilometer yang sempit menyebabkan kenderaan terpaksa beratur panjang untuk sampai ke destinasi masing-masing.
Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Syed Amerruddin Syed Ahmad sedar tentang masalah berkenaan.
Namun, beliau tidak mahu mencadangkan projek pembesaran jalan atas alasan kukuh iaitu demi menyelamatkan kampung-kampung tradisional.
Apatah lagi harga tanah di Bayan Lepas kini meningkat kepada RM60 sekaki persegi (0.09 meter persegi) menyebabkan ramai pemilik tanah mula gelap mata dan menjual aset masing-masing kepada pemaju.
Justeru, beliau rela dimaki hamun penduduk kerana tidak mahu perkampungan sedia ada lenyap disebabkan kerakusan pemaju yang hanya berminat mendirikan kediaman mewah demi mendapat untung lumayan.
"Saya buat begini kerana tidak mahu menggalakkan pemaju datang ke kawasan ini atas alasan kesesakan lalu lintas.
"Saya sanggup dimaki hamun kerana saya ikhlas nak selamatkan kampung-kampung di sini," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, cercaan itu tidak sesekali melemahkan semangatnya untuk berkhidmat kepada rakyat.
Apa yang penting baginya adalah menyediakan sekolah mencukupi untuk penduduk bagi mengurangkan beban mereka.
Suatu ketika dulu, ibu bapa terpaksa mengeluarkan duit lebih untuk kos pengangkutan menghantar anak ke sekolah yang terletak jauh dari rumah mereka.
Kini tidak lagi apabila sebanyak lima buah sekolah baru dibina sepanjang tempoh empat penggal beliau menjadi ADUN Bayan Lepas.
Di Teluk Kumbar, dulu hanya ada sebuah sekolah kebangsaan (SK) tetapi kini sudah ada empat buah.
Sementara sekolah menengah kebangsaan (SMK) daripada sebuah ditambah menjadi dua sejak tiga tahun lalu.
Di Bayan Lepas pula, sebuah SK siap dibina tahun lalu menjadikan jumlah terkini dua buah manakala sebuah SMK sedang dibina dan bakal siap tahun depan.
"Kerajaan Pusat juga membina dua sekolah jenis kebangsaan Tamil dengan satu sudah boleh digunakan dan sebuah lagi dijangka siap Jun ini.
"Sekarang tiada alasan lagi untuk anak-anak tercicir pelajaran kerana sudah banyak sekolah dibina di sini," jelasnya.
Infrastruktur lain yang diluluskan di bawah peruntukan Barisan Nasional (BN) adalah pembinaan jeti nelayan yang baru di Permatang Tepi Laut menelan kos RM500,000 dan dijangka dibina tahun ini.
Untuk projek perumahan rakyat pula, Syed Amerruddin berharap pembinaan 500 buah rumah di Sungai Batu dapat dilaksanakan segera.
"Jika diberi mandat untuk mentadbir DUN ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), saya percaya banyak lagi pembangunan bakal dijalankan," katanya.

No comments:

Post a Comment