Friday, April 6, 2012

pr sendiri wajar tanggung pelajar

Pembangkang dicabar biayai kos pengajian di negeri mereka kuasai

MUADZAM SHAH 4 April - Kerajaan di bawah pentadbiran pembangkang dicabar membiayai kos pengajian universiti anak kelahiran negeri dikuasai mereka sebelum berani berjanji memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, pembangkang tidak mungkin dapat melupuskan hutang PTPTN kerana wang yang digunakan kerajaan bagi membiayai kos pendidikan itu adalah wang rakyat dan seharusnya dikembalikan semula kepada rakyat.

"Siapa mahu bayar duit PTPTN ini jika ia dilupuskan kerana wang diperoleh perbadanan itu adalah wang rakyat yang perlu dikembalikan semula kepada rakyat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Perasmian Pusat Rukun Tetangga (PRT) Felda Keratong 8, di sini kelmarin.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang berjanji akan menghapuskan PTPTN sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat menerajui kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.

Jamaludin yang juga Ahli Parlimen Rompin berkata, pembangkang tidak mempunyai modal politik selain pandai beretorik bagi meraih sokongan pengundi.

Katanya, kerajaan telah membuat pertimbangan sewajarnya termasuk memperkenalkan sistem Ujrah yang menawarkan bayaran upah satu peratus setahun kepada peminjam PTPTN.

Menurut Jamaludin, kos tersebut adalah relevan dan disifatkan sebagai jalan terbaik bagi membantu pelajar memperoleh peluang pelajaran ke peringkat tertinggi dengan tawaran pinjaman yang disediakan oleh kerajaan.

"Kita cabar supaya pakatan pembangkang membiayai PTPTN anak-anak di negeri pentadbiran mereka baru boleh bercakap soal hapus pinjaman itu. Ini tidak lebih sebagai umpan pilihan raya semata-mata," katanya.

No comments:

Post a Comment