Saturday, April 21, 2012

politik sesumpah da

ARKIB : 20/04/2012

Politik 'sesumpah' Lembah Pantai

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) menendang bola sebagai tanda gimik pelancaran program 'Remaja Sihat, Remaja Pelapis Negara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
PETANG kelmarin seorang jiran ketua salah sebuah cawangan UMNO di Lembah Pantai dari kelas menengah terserempak dengan rakannya itu di Bangsar.
Dahulunya dia ini penyokong kuat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sehingga dapatlah satu undi anak Penasihat PKR ini pada Pilihan raya Umum (PRU) Ke-12.
Hari berganti hari, bulan beralih bulan, tahun berganti tahun dan sekarang apabila melihat kelibat Nurul Izzah ini, dia lantas memberikan markahnya - tak boleh 'deliver'.
Itulah resam kehidupan. Waktu itu tahun 2008, Nurul Izzah kelihatannya satu produk baru dan masih suci sebagai ahli politik. Tetapi setelah masuk tahun keempat, jiran ketua cawangan UMNO tadi mengandaikan Nurul Izzah sama sahajalah seperti 'perangai' bapanya. Bapa borek, anak rintik.
Ketika Naib Presiden PKR ini sibuk berkempen pada pilihan raya negeri Sarawak sekitar April tahun lepas, kebetulan terjadi satu kes kebakaran di Jalan Kubur, Pantai Indah. Waktu itu sibuklah penduduk di situ memunggah dan memindahkan barang perkakasan rumah-rumah di situ sambil dibantu oleh anggota-anggota UMNO Lembah Pantai. Ini termasuklah set-set televisyen dan kerusi rotan mangsa-mangsa kebakaran dibawa ke dewan penempatan UMNO berdekatan.
Tapi yang menghairankan, tiba-tiba di 'tweet' oleh Nurul Izzah bahawa dia dan para penyokongnya sedang berada di tempat kejadian kebakaran dan sibuk pula membantu mangsa.
Maka, orang yang membaca 'tweet'nya sudah tentu akan percaya kepada 'drama-drama' ini. Tetapi apabila 'dibantai' oleh pesaingnya, Nurul Izzah membisu terus.
Suatu ketika wakil rakyat Lembah Pantai ini turun menjenguk kawasan pembangunan flat Kampung Kerinchi. Waktu itu masih terdapat kira-kira 35 penduduk di situ enggan berpindah mengikut jejak 432 lagi rakan sekampung yang telah bersetuju ditempatkan di rumah-rumah flat sebelum ditempatkan semula ke situ (kawasan pembangunan baru Kg. Kerinci).
Sejurus kemudian melawatlah dia ke situ dan akhirnya memberi 'janji mulut' bahawa pembangkang khususnya PKR akan mempertahankan rumah-rumah 'mangsa' dan surau di situ. Kemudian, dia pun balik.
Keesokannya, apabila beberapa blog memuat turun gambar mempertikaikan perbuatan beberapa wartawan bukan Islam kelihatan memasuki surau di Kg. Kerinchi itu tanpa menanggalkan kasut, terus boleh pula dijawab Nurul Izzah: "Eh! ini bukan surau lagilah."
Itu belum lagi habis diadu dombanya bahawa kawasan Kerinchi itu molek untuk 'heritage' (tapak warisan).
Kawasan Parlimen Lembah Pantai bukanlah asing bagi UMNO. Di bawah wakil rakyatnya sebelum ini, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, ia telah berkembang pesat sejajar kemajuan ibu negara.
UMNO sendiri telah lama bertapak di Lembah Pantai ketika Nurul Izzah masih hingusan. Banyak kemelut kehidupan di depan mata di situ disaksikan serta diselesaikan oleh Shahrizat mahupun kini oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Shahrizat dan Nong Chik jugalah yang berganding bahu dengan penduduk-penduduk dari kalangan orang lama Lembah Pantai menyelesaikan masalah banjir, kebakaran dan penempatan setinggan di situ.
Dari penempatan setinggan ke flat-flat habis digagah penyelesaian masalah penduduknya oleh pemimpin UMNO.
Cuma sekarang, kalau dilihat kelibat anak- anak muda BN khususnya dari UMNO mengecat flat-flat usang di Taman Bukit Angkasa, Lembah Pantai, maka timbul rasa cemburu Nurul Izzah dan penyokongnya. Habislah ditohmah dan difitnah bukan-bukan terhadap kepimpinan UMNO ini.
Realitinya usaha kepimpinan UMNO Lembah Pantai untuk bantuan murni itu dengan mencari sendiri pihak swasta yang sanggup mengerjakan kerja baik pulih flat-flat di Lembah Pantai sudah bermula lama. Semasa itu, Nurul Izzah sibuk nak jadi calon PRU-12 (2008). Mengapa ketika PKR dikatakan memiliki dana 'pilihan raya' cukup besar dengan wakil-wakil rakyat pembangkangnya kini berkereta mewah, dia tak terfikir nak mencari pihak swasta untuk berbuat demikian.
Ini tidak. Habis 'dijajanya' di sekitar Lembah Pantai bahawa Raja Nong Chik yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kononnya adalah 'timbalannya'. Dan dia sebagai wakil rakyat dikatakan boleh 'approach' pihak swasta untuk membaik pulih flat-flat penduduk. Namun setelah menjadi wakil rakyat pada 2008, tak pula dicari pihak swasta berkenaan. Dan apabila blok-blok flat Taman Bukit Angkasa itu nampak cantik warnanya menenggelamkan tompok-tompok cat lama, dia (Nurul Izzah) tahu pula malu sendiri.
Demikianlah halnya kini apabila Raja Nong Chik mahu melunaskan permintaan kira-kira 432 penduduk Kg. Kerinchi supaya dipercepatkan pembangunan flat 4 tingkat di situ. Padahal pihak kementerian Raja Nong Chik tidak terlibat secara langsung dengan pihak pemaju kerana urusan projek adalah antara persefahaman bersama antara pihak pemaju dan penduduk. Kerajaan cuma diminta oleh penduduk Kerinchi bertindak sebagai penyelaras.
Cuma kerana memikirkan kawasan pembangunan itu didiami 100 peratus orang Melayu, maka Raja Nong Chik sendiri meminta pihak pemaju berjumpa Nurul Izzah. Apabila pihak pemaju meminta izin hendak berjumpa Naib Presiden PKR itu, maka Raja Nong Chik memberi respons 'tak apalah asalkan segala masalah yang menyekat pembangunan Kg. Kerinchi selesai'. Setelah berjumpa, Nurul Izzah bersetuju pula.
Itu antara secebis pengalaman Raja Nong Chik yang dikongsinya bersama penulis kelmarin mengenai taktik dan muslihat wakil rakyat pembangkang yang bukan sahaja berlaku di Lembah Pantai tetapi hampir sebahagian besar kawasan Parlimen dan DUN yang diwakili orang mereka. Dikatakan taktik ini digerakkan begitu hebat kebelakangan ini.
"Tapi kalau tak tahu muslihat ini, maka kita pengundi ini tak akan tahulah apa jasa Shahrizat dan kepimpinan UMNO kini kepada Lembah Pantai. Macam orang kelas menengah di Bangsar, dia mungkin tak tahu sebab biasanya apabila layari Internet dan disebut tentang perlunya Kg. Kerinchi dijadikan 'heritage', maka dia percayalah.
"Bagi yang faham kawasan ini...katakanlah mereka memang asal dari sini (Lembah Pantai), adik beradik dan saudara mara pun kat sini sejak 1980-an, mereka tahulah maksudnya," kata beliau di Putrajaya semalam.
Cuma ada sesuatu yang ingin dikongsi oleh Raja Nong Chik kepada penduduk Wilayah Persekutuan:
"Apabila 35 penduduk Kg. Kerinchi mula nak naik flat baru (berpindah), muka-muka dari PKR ini sorang pun tak pula nampak batang hidungnya. Padahal 35 orang ini atas nasihat Nurul Izzahlah enggan berpindah sekali gus mengganggu hasrat majoriti 432 penduduk lagi yang inginkan pembangunan Kg. Kerinchi dipercepatkan. Hari itu, kitalah dari UMNO dan BN tolong punggah dan angkat barang mereka naik flat.
"(Politik PKR) Ini bukan politik untuk perjuangan tapi politik untuk politik sahaja."
Dan pesan Raja Nong Chik lagi: "Kepada penduduk Lembah Pantai fikirlah baik-baik dan buatlah pilihan terbaik (pada PRU-13 nanti)... sense of belonging (perasaan kepunyaan) mereka (pembangkang) memang sukar dinilai.
"Tian Chua sendiri pun bukan dari (kawasan Parlimen) Batu...Nurul Izzah juga bukan asal Lembah Pantai....mereka boleh 'lari' bila-bila masa sahaja ke kawasan lain (bila PRU-13 nanti) sebab perasaan kepunyaan untuk kawasan itu tidak ada pada mereka."

No comments:

Post a Comment