Friday, April 6, 2012

pr main2

Temberang terbongkar, pembangkang masih 'tegak benang basah'

IPOH 4 April - Pembangkang masih mahu menafikan menyokong projek hab pengagihan bijih besi Vale International (Vale) dibina di Teluk Rubiah, Lumut, walaupun temberang mereka telah dibongkarkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Ibarat menegakkan benang basah, pembangkang masih berdolak dalik meskipun ketua mereka, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui menandatangani satu surat bertarikh 17 Disember 2008 yang membuktikan kerajaan negeri pembangkang menyokong projek tersebut.

Surat itu merupakan dokumen sulit yang dikelaskan semula oleh kerajaan negeri dan didedahkan Zambry pada sidang DUN hari ini.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mendakwa, surat itu tidak menunjukkan bahawa kerajaan pembangkang meluluskan projek tersebut di Teluk Rubiah sebaliknya hanya surat mengalu-alukan pelaburan Vale ke negeri ini.

"Kerajaan pakatan tidak pernah luluskan projek itu. Apa sahaja surat-menyurat cuma layanan kepada rundingan yang sedang berlaku.

"Sebelum meluluskan pelaburan itu, kita akan minta laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Jadi, tidak boleh kata kerajaan pakatan (pembangkang) yang luluskan projek itu," katanya pada sidang DUN Perak, di sini hari ini.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan itu mendakwa, Zambry bersikap selektif apabila hanya mendedahkan surat itu dan tidak kesemua dokumen-dokumen lain berkaitan termasuk minit-minit mesyuarat.

Koo Ham turut mempertahankan dakwaan bahawa kerajaan pembangkang ada mencadangkan projek Vale dibina di Tanjung Hantu, Segari, walaupun Zambry menjelaskan bahawa tiada satu pun dokumen kerajaan negeri yang menyatakan demikian dan meminta beliau mengemukakan bukti berkenaan jika ada.

Tidak cukup dengan itu, Koo Ham menuduh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) meluluskan projek tersebut bagi membantu syarikat pemilik tanah di Teluk Rubiah melangsaikan hutang tertunggak berjumlah ratusan juta ringgit.

Beliau juga mendesak Zambry memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa syarikat tersebut menerima layanan istimewa daripada kerajaan negeri kerana mempunyai tunggakan hasil berjumlah jutaan ringgit sejak 2001.

Ketika menjawab perkara tersebut, Zambry berkata, urusan jual beli tanah itu adalah antara Vale dengan syarikat yang memiliki tanah tersebut dan kedua-duanya dengan rela hati bersetuju dengan urusniaga berkenaan.

Katanya, bukan urusan kerajaan negeri untuk menyelongkar segala hal dalaman syarikat terbabit termasuk soal hutangnya dengan bank.

Namun, beliau mengakui syarikat itu mempunyai tunggakan hasil sebanyak RM21.8 juta tidak termasuk denda dan syarikat tersebut telah melangsaikan sebanyak RM14.9 juta manakala bakinya akan dijelaskan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment