Saturday, April 21, 2012

pintar dan degil

Beza perangai pelajar pintar dengan pelajar degil...
Oleh Azman Anuar

Minggu hadapan, pelajar Malaysia yang mengambil bidang perubatan di Dublin, Ireland akan berhabis-habisan menjawab soalan peperiksaan. Sebagai persediaan, ada yang mengurung diri menghafal dan memahami apa yang dipelajari. Ada yang membentuk kumpulan belajar.

Kunjungan saya yang mengikuti Program Pengantarabangsaan Dakwah Yadim 1Malaysia ke Dublin, di Malaysia Hall baru-baru ini menginsafkan diri betapa sukarnya pelajar kita di seberang laut.

Demi mencapai cita-cita sebagai doktor, mereka banyak mengorbankan masa. Apatah lagi subjek bidang perubatan bukannya mudah. Kalau mereka ‘main-main’ maka alamat ‘kantoi’ jawabnya.

Sebab itu kalangan doktor Melayu kita yang sudah lama berkhidmat di Ireland sebagai doktor pakar merangkap pensyarah tidak lokek ilmu dan tenaga untuk membimbing anak-anak muda kita.

Di Malaysia Hall, Dublin, pada Ahad lalu lebih 10 pelajar kita berdebar-debar untuk menyampaikan pembentangan tugasan masing-masing dalam bahasa Inggeris kepada ahli panel.

Itulah tugasan yang mereka harungi sebelum menghadapi peperiksaan sebenar. Mereka juga mahu menunjukkan anak-anak Melayu mampu menjadi doktor.

Sekembali ke tanah air Selasa lalu, lain pula dilakukan oleh segelintir pelajar Melayu di Kuala Lumpur.

Ada yang berkhemah di Dataran Merdeka. Mereka berkempen menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di pusat tumpuan awam dan pelancong itu.

Malangnya ada pula ‘samseng’ melakukan provokasi di kawasan yang dilabel pelajar degil itu sebagai University of Dataran Merdeka.

Apa yang mereka cari? Jika mereka rasa teraniaya oleh tindakan ‘samseng’ dan tidak mendapat bantuan polis, maka beri peluang polis menyiasat dan membuat tangkapan pihak yang terbabit dalam kejadian itu.

Tak payah buat dakwaan negara sudah tidak selamat. Tidak perlu mengatakan tahap kesedaran demokrasi rakyat negara ini masih rendah.

Ada banyak tempat lain untuk mereka berkhemah selain daripada Dataran Merdeka kalau semata-mata untuk menyuarakan tuntutan kepada kerajaan. Cara ini tidak lain hanya untuk menunjukkan di mata pelancong, ‘Malaysia dalam krisis.’

Sebagai mana yang berlaku di Medan Tahrir, Mesir nampaknya begitulah yang mereka harapkan akan berlaku di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Mereka mahu menarik lebih ramai lagi mahasiswa berkampung dan berkhemah di Dataran Merdeka.

Kita tahu ini adalah strategi pemanas badan untuk mengadakan Himpunan Bersih 3 pada 28 April ini.

Agak pelik, adakah kumpulan pelajar itu tidak membaca maklumat sehingga menyifatkan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak seolah-olah tidak memandang berat tuntutan mereka.

Bukankah Najib sudah menjelaskan kerajaan tidak dapat menghapuskan PTPTN sebab kerajaan akan kehilangan RM43 bilion.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, PTPTN telah memberikan pinjaman kepada 1.926 juta peminjam dengan jumlah peruntukan yang diluluskan sebanyak RM42.9 bilion setakat akhir 2011. Dan daripada jumlah itu, ramai yang telah bayar dan mula membayar. Terdapat seramai 144,000 peminjam yang ingkar.

Barangkali kumpulan ingkar ini menunggu-nunggu hasil perjuangan kumpulan pelajar yang mahu PTPTN dimansuhkan.

Dalam pada itu, kumpulan pelajar di Dataran Merdeka yang mahu kerajaan memberikan jawapan positif mengenai desakan agar PTPTN dimansuhkan, cuba mengugut kerajaan. Jika tidakada jawapan daripada kerajaan, maka mereka sanggup tunggu dan teruskan berhimpun di sana. Begitu tinggi tekad mereka.

Satu ingatan untuk kumpulan pelajar berkenaan, walaupun bulan peperiksaan belum tiba, tetapi bolehkah mereka belajar di sana? Atau mereka mahu ‘main-main.’

Jangan menyesal kalau kawan-kawan lain dapat keputusan cemerlang, awak sekadar cukup makan. Lainlah kalau kamu memang pelajar pintar.

No comments:

Post a Comment