Tuesday, April 17, 2012

penaga

ARKIB : 16/04/2012

Penduduk miskin di Penaga terbela


AZHAR Ibrahim (dua dari kanan) melihat seorang petani, Shafiee Saidin menghidupkan enjin jentera pembajak sawah yang diterimanya pada Program Peningkatan Peserta E-Kasih di Permatang Sintok, Kepala Batas, Pulau Pinang, baru baru ini.


BUTTERWORTH 15 April - Selepas menabur bakti sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga selama lima penggal, Datuk Azhar Ibrahim membayangkan untuk tidak mengekalkan jawatan itu pada pilihan raya umum akan datang.
Tempoh 22 tahun sebagai wakil rakyat bukanlah jangka masa yang singkat.
Pelbagai peristiwa suka duka mewarnai kanvas hidupnya sebagai ADUN, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Exco dan kini Ketua Pembangkang di DUN Pulau Pinang.
Menurut Azhar, 66, kini tiba masanya golongan muda mengambil alih kepimpinan di kawasan itu serta menabur khidmat kepada rakyat bagi mewakili Barisan Nasional (BN).
Namun, katanya, beliau akan tetap membantu jentera BN bagi menjamin kemenangan di kawasan yang mempunyai 15,701 pengundi yang terdiri daripada 14,217 Melayu, 1,406 (Cina), 65 (India) dan 23 (lain-lain kaum).
"Saya rasa sudah cukuplah 22 tahun jadi wakil rakyat di Penaga ini. Justeru, sudah tiba masa kita beri peluang kepada orang muda ambil alih tanggungjawab yang saya pikul selama ini.
"Tapi saya tetap akan bantu mereka kerana sudah lima kali sejak tahun 1990 penduduk di DUN ini membantu saya. Jika diizinkan Allah, saya pun nak bantu mereka lima kali lagi dalam pilihan raya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Azhar berkata, sepanjang perkhidmatannya, antara peristiwa tidak akan dilupakan adalah tragedi tsunami pada 2004 yang melanda Kampung Kuala Muda, mengakibatkan kemusnahan teruk terhadap rumah dan kehidupan penduduk di situ.
Ekoran kejadian tersebut, kerajaan BN membina 1,020 rumah kos rendah sebagai ganti kepada nelayan yang terlibat serta memberi keselesaan kepada mereka untuk menghuni rumah tiga bilik tidur dengan hanya membayar RM50 sebulan.
Selain rumah untuk mangsa tsunami, beberapa projek perumahan lain turut dibina di kawasan tersebut antaranya Taman Penaga Jaya sebanyak 1,066 unit dan projek JKP Sdn. Bhd. (600 rumah kos rendah).
"Sebuah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu dan dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Penaga dan SK Penaga Jaya dibina di DUN saya.
"Kerajaan BN juga membina masjid baru, antaranya di Kampung Permatang Tinggi, Pulau Mertajam, Kuala Muda dan Kota Aur bagi memberi kemudahan kepada jemaah menunaikan ibadat," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berkata, sebuah jambatan baru juga dibina bagi menghubungkan Permatang Bendahari dan Kota Kuala Muda, selain projek tebatan banjir yang memberi kemudahan kepada penduduk kampung berikutan sering kali terpaksa berpindah setiap kali hujan lebat.
Tidak dilupakan, bantuan kepada warga emas dan fakir miskin yang sebanyak 42 rumah teres tiga bilik dibina di Kampung 20 bagi meringankan beban mereka.
Melalui bantuan ekonomi dan pelbagai agensi kerajaan seperti Perda, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), penduduk Penaga berjaya keluar dari kepompong kemiskinan.
Namun apa yang dikesalkan Azhar, kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah meminggirkan kawasan luar bandar kerana golongan miskin tegar masih ada di Penaga biarpun bilangannya amat kecil.

No comments:

Post a Comment