UNTUK APA...tindakan seperti ini hanya akan menjatuhkan imej mahasiswa sebagai golongan intelektual.
PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan 15
tahun lalu bagi membantu dan meringankan bebanan ibu bapa membiayai kos
pengajian anak mereka.
Peningkatan kos pengajian terutama di Institusi Pengajian Tinggi
Swasta (IPTS) menyebabkan kerajaan berpendapat satu tabung perlu
diwujudkan bagi membantu ibu bapa.
-
TIDAK RELEVAN...tidak perlu lagi memperjuangkan hasrat
memperoleh pendidikan percuma kerana sudah tidak relevan dengan keadaan
dunia masa kini.
-
JANGAN TAKSUB...mahasiswa perlu memahami situasi serta fakta sebenar sebelum mengambil keputusan bertindak begini.
-
JASA...apakah PTPTN tidak berjasa kepada mahasiswa ini sehingga sanggup mengambil tindakan di luar batasan?
-
SIA-SIA...jangan lakukan tindakan sia-sia dan mudah diperkudakan orang lain.
Sejak itu, PTPTN membantu mahasiswa membiayai pengajian mereka di universiti dan ibu bapa hanya menyediakan duit poket.
Hakikatnya,
pelajar dan ibu bapa mendapat manfaat tetapi ramai tidak menunaikan
janji apabila menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan.
Kegagalan pelajar membayar balik pinjaman menyebabkan PTPTN
menanggung kerugian kerana terpaksa menambah jumlah pembiayaan setiap
tahun.
Ketegasan pengurusan PTPTN melarang pelajar yang gagal membayar
balik pinjaman meninggalkan negara selain menyiarkan nama mereka di
akhbar, sedikit sebanyak membenihkan kemarahan pelajar.
Ada
pelajar menggelar PTPTN sebagai ‘along’ kerana mengambil tindakan tegas
terhadap mereka padahal sebagai pemilik, mereka berhak berbuat demikian.
Akhir-akhir
ini apabila ada pihak menyarankan supaya kerajaan memansuhkan pinjaman
PTPTN, pelajar mengambil kesempatan daripada isu itu untuk menangguk di
air keruh.
Mereka begitu drastik mahukan PTPTN dimansuhkan tetapi
persoalannya, apakah benar tabung itu menyusahkan atau mahasiswa enggan
memikul tanggung jawab?
Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi
dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Wan Azman Saini Wan Ngah
berkata, tindakan keterlaluan itu
mencerminkan sikap sesetengah mahasiswa yang tidak tahu mengenang budi.
Baginya,
golongan itu hanya mentafsir PTPTN secara luaran yang mengaitkannya
sebagai ‘penindas mahasiswa’, namun tidak mengambil kira aspek lain yang
turut dijana hasil pemberian badan pinjaman berkenaan.
“Mereka
sebenarnya tidak tahu hujung pangkal perjuangan. Mereka hanya sekadar
berteriak mahu memansuhkan PTPTN kerana dianggap menindas dan
menyusahkan.
“Hakikatnya, banyak lagi kepentingan PTPTN tidak
diketahui. Jika mereka faham mengenai sumbangan PTPTN, pasti tidak akan
bertindak begini,” katanya.
PTPTN yang ditubuhkan pada 1997 kini
melalui saat sukar apabila dituduh penindas mahasiswa termasuk
menyenarai hitam peminjam yang culas membayar kembali pinjaman selain
menanggung kos pentadbiran satu peratus.
Bagaimanapun, beliau
menegaskan, apa dianggap membebankan itu nilainya terlalu kecil jika
dibandingkan nikmat diperoleh mahasiswa selepas tamat pengajian.
“Bayangkan,
pinjaman diterima hanya sekitar lima hingga 10 peratus saja daripada
seluruh kos pendidikan. Yang lainnya sudah diber subsidi.
“Dengan
pinjaman seperti itu, mereka akhirnya menjadi manusia dengan kerja dan
pendapatan yang baik. Jadi mengapa mesti bising dan tidak berpuas hati?
“Adakah
nilai itu terlalu besar berbanding nikmat bakal diperoleh pada masa
depan? Kadar semasa dikenakan institusi pinjaman seperti bank juga lebih
tinggi, nilai satu peratus ditambah pinjaman itu sebenarnya tidak
berbaloi,” katanya.
Mahasiswa tidak perlu memasang angan-angan inginkan pendidikan percuma kerana harga pendidikan hari ini mahal harganya.
“Ya, kita boleh melakukannya seperti negara maju, tapi sanggupkah rakyat negara ini membayar cukai melebihi 26 peratus?
“Jangan bandingkan dengan negara maju sebab cukai mereka sangat tinggi seperti Jerman sebanyak 46 peratus.
“United
Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Sweden dulunya memberi
pendidikan percuma tetapi kini mula mengenakan bayaran pengajian untuk
mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).
“Di UK dan AS
misalnya, mereka juga ada badan pinjaman seperti PTPTN kerana tahu tidak
mampu lagi memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya,” katanya.
Katanya, jika negara berkenaan sudah melakukannya, apa relevan permintaan seperti itu di negara ini?
Melalui
PTPTN, jumlah mereka yang mampu memperoleh pendidikan melonjak daripada
hanya 27,000 tempat ditawarkan di IPT sekitar 1990-an kepada 381,000
pada 2010.
“Lonjakan 14 kali ganda ini membuktikan sumbangan
PTPTN untuk membantu masyarakat memperoleh pendidikan sangat besar,
sekali gus melonjakkan lagi sektor tenaga kerjaya, ekonomi dan
pembangunan.
“Industri makanan, pembinaan, teknologi dan
penerbitan juga memperoleh manfaat kerana adanya permintaan tinggi
daripada warga IPT. Bayangkan, jika tiada PTPTN, adakah sektor ini mampu
bertahan?
“Pada saya, mahasiswa ini hanya dipergunakan sedangkan mereka sendiri tidak tahu apakah perjuangan sebenar,” katanya.
Menekankan
tanggungjawab sebenar mahasiswa adalah belajar hingga tamat pengajian,
seterusnya memperoleh pekerjaan baik bagi membayar semula pinjaman
diperoleh.
“Mentaliti ini yang perlu disemai kerana hakikatnya
mereka masih belajar dan perlu terus belajar hingga berjaya menggenggam
ijazah.
“Ini bukan tanggungjawab mereka. Apa jua kehendak dan
keputusan biarlah dibuat berlandaskan hasil perbincangan pihak berkaitan
yang lebih berkepentingan serta arif.
“Mengadili PTPTN dengan
cara melancarkan tindakan provokasi bukan penyelesaian terbaik. Ini
bukan cara golongan intelektual,” katanya.
Menegaskan fungsi
PTPTN sebagai institusi pemudah cara sokongan pendidikan masih relevan,
beliau percaya jika pendidikan percuma diberikan, pastinya mahasiswa
tidak akan menghargai peluang di depan mata.
“Rasionalnya, barang
percuma, nilainya tidak begitu berharga. Jika sekarang pun mereka tidak
pandai menghargai, bayangkan jika diberi pendidikan percuma.
“Keadaan
ini berbeza dengan mahasiswa dulu sebab mereka bersungguh-sungguh
menggunakan peluang untuk mengubah nasib manakala ibu bapa sanggup
bergolok gadai. Kesukaran dan keperitan menjadikan mereka fokus dan
tidak banyak meminta-minta.
“Malangnya, mahasiswa hari ini mensia-siakan peluang yang diberikan,” katanya.