Tuesday, March 19, 2013

masyarakat siam

'Di sinilah kami tumpang hidup, mati'

JUMLAH masyarakat Siam di negara ini cukup kecil iaitu hanya kira-kira 60,000 daripada keseluruhan 28 juta rakyat Malaysia. Meskipun begitu, sumbangan mereka terhadap pembangunan bangsa dan negara tidak boleh dipandang enteng. Apatah lagi setiap satu undi ‘sumbangan’ rakyat negara ini memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan negara.
Oleh sebab itu, suara mereka harus didengar. Keperluan dan kehendak mereka turut wajib dipenuhi sama seperti yang dinikmati kaum-kaum lain di negara ini.
Menjelaskan kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. RAFIE AZIMI, Presiden Siam Malaysia, SIRI NENG BUAH mengakui betapa masyarakat Siam tidak pernah berasa terpinggir malah berterima kasih kepada kerajaan atas segala pengiktirafan dan pemberian kerajaan.
Namun katanya, masih ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian termasuk tindak-tanduk pembangkang yang tampak kian agresif mengelirukan masyarakat Siam demi memancing undi pada pilihan raya akan datang.
UTUSAN: Bagaimana perkembangan masyarakat Siam di negara ini?
SIRI: Dahulunya masyarakat ini mendiami kawasan sempadan terutamanya di Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak. Tetapi hari ini orang Siam sudah ‘berselerak’. Dengan mobiliti sosial, orang Siam bukan lagi pekerja agraria.
Orang Siam antaranya sudah jadi pegawai kerajaan, peniaga dan kontraktor berjaya. Bahkan Tun Dr. Mahathir (Mohamad) pada 1996 telah bermurah hati memberikan satu kuota Senator UMNO kepada orang Siam.
Ini satu pengorbanan daripada Melayu kepada orang Siam. Daripada situ, terlantiklah Datuk Charern Intachat sebagai senator Siam pertama sebelum digantikan Siw Chun Eam dan kini diteruskan oleh Senator Boon Som Inong. Kami kenang jasa-jasa ini dan berterima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu.
Apakah isu dan masalah yang sering dieksploitasi pembangkang berkaitan masyarakat Siam?
Pembangkang mengatakan orang Siam dipinggirkan. Bahkan saya pernah dengar dakwaan kononnya jika orang Siam menyertai pembangkang dan mempunyai kebolehan, kami boleh dilantik sebagai calon, exco mahu pun jawatan lain yang tidak bersandarkan kaum.
Kata mereka, masyarakat Siam tiada tempat dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN). Apa jawatan pun tidak akan dapat kecuali ihsan satu jawatan senator saja kerana parti komponen BN hanya memperjuangkan kaum tertentu, tidak seperti mereka yang mempunyai parti berbilang kaum.
Pada saya, dengarnya memanglah cantik dan lunak seperti mana manifesto yang mereka tawarkan di Selangor dahulu. Siapa yang tidak tertawan dengan manifesto itu? Seolah-olah tiada tempat yang lebih baik untuk didiami di negara ini selain daripada Selangor.
Tetapi sekarang apa sudah jadi? Tidak ada tempat yang rakyat begitu ramai bangkit membuat piket dan tunjuk perasaan. Malah menjadi satu-satunya kerajaan negeri yang disaman sebegitu ramai rakyat. Bukankah Selangor negerinya?
Inilah yang kita bimbangkan. Maka usahlah terpengaruh dengan apa yang didendangkan. Konsep yang kelihatan adil dan begitu indah, tidak semestinya baik.
Pada saya, bukan soal konsep dan idea saja yang perlu dipertimbangkan. Malah kita harus berfikir lebih jauh dengan menilai sejauh mana keupayaan seseorang itu mengotakan janji ditabur. Pada saya, pembangkang tidak ubah seperti ‘rosak bawang ditimpa jambak.’
Bagaimana masyarakat Siam melihat suasana politik tanah air ini?
Tidak dinafikan sejak era Internet mula berkembang, sebahagian daripada masyarakat Siam turut terkeliru dengan dakyah ditabur pembangkang. Sebab itu di sesetengah tempat wujud kelab pembangkang sedangkan dahulu tiada tempat untuk Pas mahu pun parti pembangkang mengadakan ceramah di kampung-kampung masyarakat Siam.
Bagaimanapun, saya masih yakin majoriti orang Siam bersedia memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN). Perlu diketahui, terdapat beberapa kawasan di Kelantan dan Kedah di mana orang Siam menjadi kuasa penentu.
Sebagai contoh, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, UMNO menang dengan majoriti hanya 100 undi pada pilihan raya umum lalu. Untuk pengetahuan anda, di situ terdapat kira-kira 1,800 masyarakat Siam.
Kemenangan ADUN UMNO itu tidak dapat dinafikan hasil daripada bantuan orang Siam. Buktinya peti undi dari kawasan masyarakat Siam menunjukkan 600 undi adalah untuk BN, 81 untuk Pas dan 17 rosak.
Itu menunjukkan masyarakat Siam memang taat. Kalau ada antara mereka yang mengundi untuk pembangkang, itu bukan disebabkan oleh prinsip, sebaliknya rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi yang bukan disebabkan dasar BN.
Bermakna kebanyakan mereka menjadikan isu lokal sebagai keutamaan untuk mengundi?
Ya, orang kampung termasuk masyarakat Siam lebih mementingkan isu-isu lokal. Sebagai contoh, di Kelantan sebelum ini pernah berlaku kejadian seorang pengerusi jawatankuasa kampung yang dilantik Kerajaan Pusat tidak membahagikan wang bantuan banjir kepada mereka yang layak menerimanya.
Beliau didakwa mengagihkan bantuan itu kepada sanak-saudara dan rakan rapatnya sahaja. Itu bukan dasar BN, sebaliknya perbuatan individu. Tetapi apa yang berlaku, masyarakat Siam tetap menyalahkan BN. Itu masalahnya.
Saya pernah dengar juga di mana permintaan mereka untuk mendapat jalan tar di lorong dan jalan kampung dari wakil BN tidak ditunaikan. Memanglah tak dapat kerana kampung itu terletak di negeri yang ditadbir pembangkang.
Bukankah lorong dan jalan negeri terletak di bawah kerajaan negeri. Jika negeri itu ditadbir BN, bolehlah ditunaikan permintaan itu. Jika tidak, apa yang boleh dilakukan?
Namun perlu difikirkan, adakah kerajaan memberi pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara terpilih? Tetapi isu-isu sebeginilah yang perlu diberi perhatian di mana perlu ada usaha untuk membuat lebih penerangan kepada mereka.
Mungkin ada beberapa perkara atau tuntutan masyarakat Siam yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan?
Banyak manfaat yang diterima masyarakat Siam negara ini. Paling menggembirakan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan masyarakat Siam sebagai sebahagian daripada bumiputera pada 25 Februari 2012.
Ini merupakan satu pengiktirafan yang tiada tolok bandingnya. Secara automatik, kami layak menerima kelebihan seperti dinikmati bumiputera lain. Namun beberapa ahli persatuan ada mengadu yang mereka masih belum menikmati kemudahan itu. Sebagai contoh, terdapat pemaju yang enggan memberikan diskaun bumiputera kepada masyarakat Siam untuk membeli rumah.
Apa pun, kami faham. Pengisytiharan itu baru dibuat tahun lepas. Tentunya semua pihak mengambil masa untuk memahami dan mengetahui perkara ini. Apatah lagi surat pekeliling sudah pun dikeluarkan kerajaan berhubung perkara ini. Jadi, masyarakat Siam perlu bersabar dan berusaha mendapatkan hak mereka menggunakan saluran yang betul.
Namun dalam beberapa isu lain, tidak timbul masalah malah kami diberi pengiktirafan yang tidak disangka. Sebagai contoh, masyarakat Siam turut diberi peluang belajar di universiti dikhaskan untuk bumiputera.
Itu belum lagi dikira peruntukan diberi untuk sekolah-sekolah Siam yang terletak di wat-wat kami di Kelantan dan Kedah. Boleh anda berikan negara lain yang buat begini di mana kerajaannya bersedia beri komitmen kepada kumpulan yang benar-benar minoriti seperti kami?
Dipendekkan cerita, saya tidak rasa kami masyarakat Siam didiskriminasi mana-mana pihak. Cumanya ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan daripada masalah setempat yang menimpa masyarakat Siam.
Bagaimana sokongan masyarakat Siam terhadap kerajaan hari ini?
Dengan perkembangan semasa serta bantuan diberikan kerajaan kepada kami, kecenderungan menyokong kerajaan, tampak jelas. Saya berharap agar kerajaan sedia ada terus diberi mandat untuk pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Siam.
Di Kelantan, saya akui memang ada kalangan kami yang memegang jawatan sebagai pemimpin pembangkang untuk kawasan setempat. Begitu pun, jumlah penyokongnya tidak ramai.
Faktornya bukan dipengaruhi oleh isu-isu nasional sebaliknya lebih kepada isu-isu setempat seperti saya nyatakan tadi. Bagaimanapun, saya yakin dan percaya majoriti masyarakat Siam akan tetap menyokong BN.

Apa harapan saudara mewakili masyarakat Siam di negara ini?
Saya amat mengharapkan dasar-dasar kerajaan yang memberi manfaat kepada masyarakat minoriti seperti kami dapat diteruskan semakin dunia menuju kemodenan, pelbagai cabaran mula timbul.
Sesuatu yang perlu saya tegaskan adalah kami ini merupakan rakyat Malaysia sejati. Buktinya dalam seminar Persatuan Siam Malaysia 1998, kami ambil keputusan untuk tidak ada perkataan Thai walaupun persatuan ini asalnya bernama Persatuan Thai Malaysia.
Bagi kami, perkataan Thai merujuk kepada Thailand sedangkan kami rakyat Malaysia. Dahulu dalam surat beranak kami tertulis kaum ‘Thai’ tetapi kami minta ditukarkan kepada Siam. Kini permintaan kami itu ditunaikan.
Taat setia kami pada Malaysia. Di sinilah kami tumpang hidup, membesar, membangun dan mati. Disebabkan itu, kami berharap agar dasar-dasar yang telah membantu kami selama ini dikekalkan. Itu harapan kami pada kerajaan. Kami berjanji untuk sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

No comments:

Post a Comment