Thursday, March 14, 2013

apa buat 5 tahun

ARKIB : 11/03/2013

Lima tahun salah gunakan kuasa!

Noh Omar menjelaskan situasi politik Selangor ketika ditemu bual oleh Azman Anuar (kanan) dan Nizam Yatim di Putrajaya baru-baru ini.
PADA 8 Mac lalu genap lima tahun kerajaan pakatan pembangkang memerintah Selangor, negeri paling maju di negara ini. Sepanjang tempoh itu pelbagai masalah kronik telah timbul seperti krisis air dan pembatalan projek institusi pendidikan yang berpunca daripada sikap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang banyak bermain politik dan menyalahgunakan kuasa.
Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, AZMAN ANUAR dan NIZAM YATIM serta jurugambar, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, DATUK SERI NOH OMAR berkata, kalau dibiarkan kerajaan pakatan terus memerintah, Selangor akan menjadi mundur.
UTUSAN: Nampaknya banyak kelemahan sepanjang lima tahun kerajaan pakatan pembangkang memerintah Selangor?
NOH: Pakatan pembangkang ini, dia hanya tahu berpolitik dan hendak menunjukkan kuasa. Mereka juga menyalahgunakan kuasa yang ada kerana politik dan akhirnya rakyat yang menderita, rugilah.
Saya ambil contoh yang pertama, isu pembinaan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah. Pembinaan kampus ini duit daripada Kerajaan Pusat, peruntukan lebih kurang RM400 juta. Tanah pun bukan tanah kerajaan negeri, itu tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).
Ertinya kerajaan negeri hanya diminta kuasanya untuk meluluskan ‘development order’ sahaja. Tetapi apa yang kita tengok, kuasa yang ada itu disalahgunakan apabila dia menolak penubuhan UiTM. Akhirnya yang rugi rakyat Selangor. Kalau hari itu dia lebih mementingkan rakyat Selangor, hari ini universiti itu saya ingat dekat 80 peratus hendak siap.
Kedua, yang kerajaan Selangor mahu tunjuk kuasa ialah isu air. Pada 16 tahun dahulu, kerajaan BN dah nampak tahun 2014 ini akan ada krisis air, sebab itu kita dah merancang untuk membina loji Langat 2. Kita tak minta duit daripada kerajaan negeri, apa yang kita minta kepada kerajaan negeri hanya untuk membenarkan kita buat loji, itu sahaja kuasa dia, tapi dia salah guna kuasa apabila tidak meluluskan projek ini.
Apa kesan kalau loji Langat 2 ini tak dibina?
Kesannya Selangor akan menghadapi krisis air kerana peratus simpanan air sekarang hanya satu peratus berbanding sepatutnya 20 peratus.
Hari ini pun 420 projek baru tidak boleh dilaksanakan termasuklah projek pembinaan rumah, kilang, industri, sekolah, rumah ibadat, hotel dan pusat beli-belah kerana air tak cukup. Jadi ini menunjukkan kalau kita biarkan kerajaan pakatan terus memerintah, Selangor akan menjadi mundur.
Ketiga, universiti swasta dengan kerjasama Sekolah Perubatan University Johns Hopkins hendak membina Universiti Perdana di tanah Mardi di Serdang. Kita sanggup berkorban dengan menjual tanah pertanian, demi Kerajaan Pusat dan untuk pendidikan masa depan kerana kita tahu perubatan dan kesihatan kita cukup penting.
Kita mohon kuasa kerajaan negeri ini untuk membenarkan tanah pertanian ditukar syarat kepada institusi. Itu pun dia tak sokong, macam mana Selangor nak membangun. Itu yang saya kata, dia salah guna kuasa, sehingga rakyat rugi.
Banyak lagi isu lain dalam bidang pendidikan yang umpama tikus membaiki labu seperti Yayasan Selangor dan Universiti Selangor (Unisel).
Apa kena mengena penstrukturan air dengan loji Langat 2?
Ini berpunca kerana dia lebih kepada berpolitik. Kerana politik dia cuba nak campur aduk antara urusan pembinaan loji Langat 2 dengan penstrukturan air yang merupakan dua isu yang berbeza dan tidak kena mengena.
Penstrukturan semula air di Selangor dan mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) adalah urusan bisnes, bergantung kepada persetujuan pembeli dan penjual, bincanglah.
Kita sudah cakap lebih empat tahun dulu iaitu Kerajaan Pusat tidak ada halangan, nak ambil, ambillah, tetapi jangan menyebabkan loji Langat 2 menjadi mangsa. Sepatutnya, kita jalan serentak, dia nak ambil alih - buatlah, tentang loji bagilah kita buat. Esok bila (Langat 2) sudah siap, dia ambillah loji ini. Tetapi nampaknya dia nak main politik, dia sengaja tak nak bagi, dia nak tunjuk kuasa.
Bagi saya isu nak ambil alih Syabas ini hanya gimik politik sahaja. Mengapa sekarang baru nak ambil sedangkan empat tahun lepas kita sudah suruh dia ambil? Bulan sembilan tahun lepas, dia ada buat kenyataan kata dalam tempoh 14 hari nak ambil tetapi tak buat juga. Sekarang sampai nak bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) baru dia kata nak serius.
Ini gimik dan saya yakin benda ini tak akan berlaku. Dia hanya cakap bila dah dekat pilihan raya, nak pancing undi, nak tunjuk dia serius. Esok kalau lepas pilihan raya, dia akan kata dia tak boleh nak ambil alih sebab bukan senang, dan sebab ini syarikat senaraian awam. Dia akan bagi berbagai-bagai alasan, yang akhirnya penstrukturan air itu tidak akan berlaku.
Bagaimana prestasi kerajaan PKR dalam soal agama?
Kerajaan PKR Selangor juga tidak memberi sokongan kepada pendidikan agama. Hari ini guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor dikategorikan sebagai golongan asnaf miskin.
Golongan asnaf ini di Selangor ialah mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah sebulan, sedangkan elaun guru KAFA baru RM1,300. Termasuk dalam golongan asnaf ini ialah imam yang menerima elaun RM750 sebulan dan guru takmir yang mengajar di masjid dengan elaun sebanyak RM800 sebulan. Ini semua tergolong dalam golongan asnaf miskin. Kerajaan negeri tidak ada usaha untuk mengeluarkan golongan ini daripada kategori asnaf miskin.
Guru KAFA mendapat RM800 daripada Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi RM500. Sepatutnya dia bagi juga RM800 supaya menjadi RM1,600 dan mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
Begitu juga imam yang Kerajaan Pusat bagi RM750, kalau dia beri RM750, bermakna imam juga akan dapat RM1,500, ertinya keluarlah daripada asnaf miskin. Guru takmir pula kita bagi RM800, dia langsung tak bagi.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri ini tidak prihatin dan tidak peka mengenai kepentingan pendidikan agama.
Apa akan terjadi jika pembangkang terus memerintah Selangor?
Kalau kerajaan negeri ini diperintah oleh kerajaan berlainan parti dengan Kerajaan Pusat, rakyat yang akan rugi dan menjadi mangsa.
Cara untuk menyelesaikan semua ini, kena bagi BN memerintah balik, macam dulu. Masalah air kita boleh selesai dengan cepat dan kita boleh teruskan pembinaan satu institusi pendidikan di tapak UiTM Serendah yang sudah pun mendapat persetujuan Kabinet.
Apakah tanda-tanda yang rakyat Selangor kembali menyokong BN?
Satu perubahan yang saya nampak sendiri adalah dari segi sokongan rakyat. Dulu waktu kita mula-mula kalah pada 2008 dan 2009, memang terasa dari segi sokongan rakyat yang menurun.
Bila kita hendak buat program atas nama parti, kita tengok rakyat tak berminat untuk datang. Bila kita ada program di peringkat negeri, kita mahu bawa orang, kita sediakan bas, bas pun tak penuh. Jadi pada masa itu kita nampak memang rakyat masih tak bersama dengan kita.
Tetapi selepas kemenangan BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 2010, saya dapat merasakan telah bermulanya satu titik perubahan dan terdapat gelombang rakyat menyokong kita. Apa juga program yang kita buat selepas itu, kehadiran rakyat memang di luar dugaan.
Adakah BN Selangor ketandusan pemimpin sehingga Perdana Menteri menjadi Pengarah Pilihan Raya negeri?
Ini disebab Selangor ini istimewa. Cuba lihat kenapa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Penasihat Ekonomi di Pulau Pinang, Kedah atau Kelantan? Mengapa dia pilih Selangor?
Apakah PKR Selangor ini kurang pemimpin sedangkan sudah ada Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali sebagai Pengerusi PKR Selangor dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar? Ini bermakna, kalau didakwa kita tak ada pemimpin, PKR Selangor pun lagi tak ada pemimpin sehingga Anwar perlu menjadi Penasihat Ekonomi.
Sebagai Pengerusi PKR negeri, sebab apa Azmin tak mau jadi Menteri Besar? Sebab apa bagi kepada Abdul Khalid, apa jawatan beliau dalam parti? Sebab itu orang kata kerajaan PKR Selangor caca marba. Sepatutnya parti menguasai kerajaan, tetapi di Selangor ini saya ingat kerajaan yang cuba menguasai parti.
Boleh komen mengenai manifesto pembangkang?
Saya baca kenyataan Menteri Besar Selangor kata pihaknya telah buat kajian dan mendapati kementerian saya pun lembap sebab gagal untuk meninggikan pendapatan rakyat.
Ini menunjukkan Menteri Besar cakap tak serupa bikin. Kalau betul-betul dia seorang pejuang dan mengambil berat mengenai masalah pertanian dalam negara kita dan negeri Selangor, mengapa manifesto pembangkang tak sebut pasal dasar agro makanan.
Kalau dia dah ada kajian dan sudah tahu bahawa petani perlu pembelaan dan sebagainya, mengapa dia tak mahu masukkan manifesto bagi membangunkan bidang pertanian dan membela nasib petani dan nelayan.
Dia asyik bercerita pasal janji-janji manis lain sahaja, sedangkan dunia dijangka menghadapi krisis makanan menjelang tahun 2050. Hari ini pun sudah mula krisis makanan.
Dia cakap sahaja. Dia buat ‘buta mata’ berhubung hasil kerja kementerian termasuk dalam menambah hasil padi di Selangor. Sebenarnya hasil padi Selangor bertambah dan sektor pertanian pun bertambah.
Sebagai Menteri Besar, saya minta dia umumkan sama ada hasil padi ini naik atau turun? Dia dah buat kajiankah atau belum? Saya cabar dia, tolong buat pengumuman.
Kemudian dia juga kena umum berapa bajet yang dia beri kepada petani. Rasanya bajet dia hanya RM13 juta sahaja untuk pesawah. Bagi RM13 juta, cakap macam bagi beratus juta. Ini menunjukkan dia tidak memikirkan masalah rakyat marhaen.
Ini berbeza dengan BN yang telah membuat transformasi ekonomi termasuk dalam sektor pertanian. Perdana Menteri baru-baru ini turut mengumumkan buat pertama kali, bajet yang paling banyak untuk pertanian iaitu sebanyak RM5.8 bilion. Untuk peladang yang selain daripada nelayan dan petani, Perdana Menteri beri lagi RM28 juta.
Adakah BN berpeluang menang majoriti kerusi DUN terutama di 36 kawasan Melayu?
Kita UMNO bertanding 35 kerusi di Selangor, MCA 14, MIC tiga dan Gerakan empat, menjadikan keseluruhan 56 kerusi.
Kalau kita lihat kerusi ditandingi UMNO pada 2008, kebanyakannya kita kalah dengan Pas dan PKR. Kita yakin sepanjang tempoh pemerintahan pembangkang, rakyat sudah boleh menilai dan ahli-ahli Pas pun sudah boleh menilai.
Sebab tiga parti ini tidak sehaluan dan tidak dapat menjalankan dasar dengan baik kerana mereka tidak berdaftar sebagai satu gabungan yang sah. Masing-masing mempunyai ideologi yang berbeza, Pas nak Islam, DAP kesamarataan dan PKR hanya untuk memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri sahaja.
Jadi apabila mereka menjadi kerajaan ia seperti orang kata perkahwinan yang tidak sesuai.
Kita tengok kerajaan pakatan pembangkang Selangor sentiasa bergolak. Walaupun ada pergolakan dalam kerajaan dan ada parti yang tak bersetuju dengan sesuatu perkara, mereka tak mampu hendak keluar daripada pakatan pembangkang kerana kalau ada parti yang keluar, kena diadakan pilihan raya baru.
Pada waktu mula-mula selepas pilihan raya 2008, kalau tak silap saya Pas ada lapan kerusi, PKR 15 dan DAP 13. Kalau Pas keluar, tinggal hanya 28 kerusi, mereka tak boleh membentuk kerajaan kerana ia memerlukan 29 kerusi.
Kalau DAP keluar, lagi tak cukup. Di Selangor ini, kalau Pas keluar pun kerajaan pembangkang akan runtuh. Sebab itu, setiap parti kena teruskan juga walaupun mereka berada dalam keadaan tidak berpuas hati.
Dalam erti kata lain, sekarang yang menjadi ‘drebar bas’ di Selangor ini ialah DAP, Menteri Besar hanya jadi konduktor sahaja dan Pas hanya menjadi penumpang.
Bila parti tak boleh keluar, maka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak berpuas hati melihat perkara yang tidak betul terpaksa keluar seperti ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.
Bekas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali juga jadi mangsa apabila dia banyak bercakap mengenai kelemahan kerajaan negeri. Dia tak keluar tapi dia terpaksa dipecat.
Ini pergolakannya, jadi di situ kita nampak bahawa kedua-dua ADUN Melayu ini daripada PKR dan Pas tak puas hati dengan kerajaan negeri.
Kerusi UMNO kita kalah kepada Pas dan PKR. Jadi daripada perkembangan itu kita nampak ‘mood’ rakyat sudah mula berubah, jadi bermakna UMNO boleh dapat balik kerusi ini. Kalau kita menang 35 kerusi, kita sudah boleh tubuh kerajaan.
Bagaimanakah jika pengundi terus memberikan mandat kepada pembangkang?
Orang kata mahu lakukan sesuatu atau mati. Kalau kita ambil pengalaman daripada Kelantan, bila Pas menang, kemudian Pas menang lagi kali kedua, bermakna susah hendak ambil balik, sampai 20 tahun Pas memerintah.
Kalau kita ambil pengalaman daripada Terengganu, kita bagi Pas memerintah sepenggal, lepas itu Terengganu diambil balik dan kita akan dapat balik seterusnya, itulah formula yang kita nilai.
Sama juga di Selangor, kalau kita tak dapat kali ini, kita ramalkan mungkin agak lebih sukar selepas ini kerana akan ada banyak rintangan dan halangan untuk kita ambil balik.
Kita sedar perkara ini, sebab itu kita sebagai orang Selangor, apa juga perjuangan kita sekarang, pemimpin terutamanya, kena letak kepentingan parti untuk ambil balik Selangor. Itu kepentingan kita, bukan kepentingan-kepentingan peribadi.
Abdul Khalid berkata pemerintahannya bebas rasuah hingga membolehkan Selangor mengumpul rizab tunai sebanyak RM2.5 bilion?
Kalau dia prihatin, kenapa dia simpan banyak-banyak. Bagilah kepada rakyat. Dia jangan megah dengan duit yang dia simpan. Patutnya dia merasa malu kerana dia gagal untuk mengeluarkan imam dan guru KAFA daripada golongan asnaf miskin.
Dia kata ada simpanan RM2 bilion lebih. Kita dah buat kajian, kalau dia tunaikan segala janji yang ada dalam manifesto itu, kerajaan negeri kosong, tak ada simpanan langsung.
Dia patut rasa malu kerana tak boleh tunaikan janji. Kalau dia tunaikan janji, dia tak dapat simpan, sebab hutangnya kepada rakyat Selangor berjumlah RM2.4 bilion.
Apa mesej Datuk Seri kepada pengundi di Selangor?
Kalau rakyat selangor sayangkan negeri mereka, maka mereka kena yakin dengan BN. Kalau terus bagi kepada pembangkang, banyak lagi isu salah guna kuasa yang menjejaskan kepentingan rakyat akan berlaku. Ini akan menyebabkan negeri Selangor menjadi lebih mundur.
Ertinya kalau sayangkan negeri Selangor yang sudah lama kita bangunkan sampai menjadi negeri maju, pengundi kena yakin dengan BN. Kalau biarkan kepada PKR, ia ibarat macam tikus membaiki labu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130311/re_02/Lima-tahun-salah-gunakan-kuasa#ixzz2NSivrqZ6
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment