Lahad Datu: “Abah, jangan tinggalkan kami...”
30 Mac 2013
Fazlina Md Sherif, 28, isteri kepada Koperal Mohd Zulfadli Othman berkata, semenjak suaminya diberitahu untuk menyertai operasi tersebut, dirinya sudah bersedia menerima sebarang kemungkinan yang berlaku.
Namun beliau berharap suaminya akan pulang dengan selamat selepas tamat operasi..
“Saya sebagai isteri gembira kerana suami terpilih untuk ke sana, namun jauh di sudut hati, hanya ALLAH mengetahui betapa sedih dan sayunya hati saya untuk melepaskan dia. Tambahan pula apabila melihat gelagat dia bermanja dengan anak kami, Mohd Azril Irfan yang masih berusia dua tahun.
“Saya bangga kerana suami ke sana untuk mempertahankan negara, saya berharap dia akan menjalankan tugas dengan sempurna dan selamat bersama rakan-rakan yang lain walaupun terpaksa meninggalkan saya, anak dan ibu mertua saya kini tidak dapat melihat dan mendengar dengan sempurna akibat sakit tua,” katanya.
Perkara sama turut dinyatakan ibu kepada empat cahaya mata iaitu Alawiyah Mohamad, 32, isteri kepada Sarjan Mat Rani Jaafar yang turut serta dalam pasukan tersebut.
“Saya sudah biasa dengan situasi berjauhan kerana selama 15 tahun sejak suami berkhidmat dalam tentera, kami sentiasa ditinggalkan jika suami terpaksa bertugas di luar kawasan, apa yang penting, saya berharap dia akan pergi dan pulang dengan selamat.
“Saya juga berharap pemberontakan di Sabah akan berakhir secepat mungkin dan perwira-perwira kita pulang dengan selamat, termasuk suami dan rakan-rakan. Walaupun saya tahu perasaannya bercampur baur, namun saya yakin, pengorbanannya adalah untuk menjaga keselamatan negara, itulah tekad yang dipegang sejak dulu,”katanya.
No comments:
Post a Comment