Friday, March 15, 2013

fitnah

Fitnah lebih dahsyat daripada pembunuhan

USAHA pembangkang menabur fitnah tidak pernah berhenti sedetik, malahan pemikiran mereka selalu berputar untuk mencari apa sahaja ruang yang boleh meruntunkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkara yang menjijikkan dilakukan oleh pembangkang itu, bukan sahaja dalam suara yang lantang, tetapi mempergunakan pihak lain untuk memfitnah asalkan kepuasan dapat dicipta untuk mengambil kuasa dalam negara ini ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin diterima diatas sikap keikhlasan membangunkan rakyat.
Di Negeri Sembilan ini juga tidak terkecuali dalam soal fitnah yang dilemparkan pembangkang dalam beberapa siri ceramah, sama ada yang dilakukan Pas, DAP mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka juga menggunakan elemen gertak dengan menakut-nakutkan rakyat.
Ini terbukti melalui ceramah di satu kawasan dalam daerah Port Dickson baru-baru ini, apabila pemimpin PKR bercakap, jika BN menang dalam pilihan raya umum kelak, rakyat bakal hidup dalam era kegelapan.
Fitnah yang dilakukan ini adalah satu bentuk ‘pembunuhan senyap’ yang jahat terhadap komitmen yang dilakukan oleh kerajaan BN, terutama usaha murni BN mensejahterakan rakyat.
Tidak ada kegelapan jika rakyat mengundi BN kerana kerajaan inilah yang telah banyak menerangi kehidupan yang gelap, menceriakan mereka yang sedih, mengukirkan senyuman bagi mereka yang bermasam muka dan paling penting, negara dilonjakkan dalam cahaya kerahmatan.
Pemimpin PKR itu juga menyebut, jika BN masih memerintah selepas pilihan raya umum, rakyat akan hidup dalam tempoh lima tahun yang amat menggerikan. Rakyat lebih ngeri hidup dibawah pembangkang.
Kenyataan yang dibuat ini juga mengheret persoalan bahawa fitnah yang dilakukan pemimpin PKR untuk menamatkan kuasa politik BN di negara ini, adalah amat kotor sekali.
Malah lebih menjijikkan apabila pemimpin PKR ini berkata, jika BN menjadi kerajaan, rakyat akan merasai dunia yang gelap, BN akan menjadi maharaja dan menggunakan semua wang untuk mereka. Cukai akan dinaikkan serta pelbagai fitnah lain yang dilemparkan dalam ceramah itu.
Soalnya, siapa yang bermaharajalela ketika ini dalam pakatan pembangkang. Rakyat mana yang akan gelap selepas kerajaan BN diumumkan menang kelak. Selama lebih 50 tahun di bawah ‘pentarbiahan’ BN, rakyat hidup dengan aman dan damai.
Nyata, puak pembangkang ini tidak akan mengiktiraf mahupun bersetuju dengan apa sahaja langkah baik dan tindakan yang dibuat oleh Najib serta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam membangunkan negara dan negeri beradat ini.
Maka rakyat di Negeri Sembilan ini dan negara amnya perlu sedar bahawa orang yang melakukan fitnah seperti pembangkang ini seolah-olah telah menjadikan ia sebagai rutin harian dan merasakan kehidupan akan menjadi kosong tanpa menabur fitnah.
Ia seakan-akan menjadi makanan yang melazatkan kepada pengamalnya yang juga menyebabkan dia semakin jauh dari merasakan kewujudan hari kiamat, di mana pada hari tersebut semua makhluk akan dikumpulkan dan dihadapkan di Mahkamah Pengadilan Allah SWT.
Golongan yang membuat fitnah ini dan memburuk-burukkan individu, kerajaan mahupun negara yang tercinta ini, pada asasnya adalah pembunuh yang kejam dan melakukan jenayah dalam keadaan dayus dan pada masa yang sama menikam serta berusaha mencabut nyawa seseorang dalam keadaan seseorang itu tidak mati.
Disebabkan itu, Allah SWT menyatakan bahawa gejala memfitnah adalah lebih dahsyat daripada membunuh sebagaimana firmanNya di dalam surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud, “Ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan."
Allah SWT juga berfirman di dalam surah al-Qalam ayat 10-12 yang bermaksud, “Janganlah engkau menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa."
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Buruj ayat yang ke 10 yang bermaksud, ‘‘Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana fitnah untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahanam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)."
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah."
Oleh itu, dalam kita ghairah untuk mencari kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, pembangkang semakin terlupa peringatan yang diberikan oleh Allah SWT serta junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Fitnah yang ditaburkan dalam banyak ceramah, diulang-ulangi di banyak tempat dan sepatutnya pemfitnah ini merasa takut terhadap dosa-dosa yang dilakukan itu.
Malangnya, lidah mereka semakin bercabang dan ungkapan mereka bertambah berbelit. Setiap hari ada sahaja fitnah baru akan terbit daripada mulut mereka.
Maka bagi rakyat, adalah penting sesuatu khabar itu dipetik dari sumber yang sahih dan diyakini keaslian dalam sesuatu periwayatan kerana ia akan menghalang dari budaya fitnah yang mampu merobekkan kesatuan umat Islam serta keharmonian sesebuah negara, khususnya Malaysia ini.
Akhirnya dalam al-Quran sendiri terdapat 60 ayat yang menyebutkan tentang fitnah yang mengandungi dua maksud iaitu ujian atau cubaan di mana yang lainnya bermaksud penganiayaan seperti penyeksaan, pertuduhan, pembunuhan, mendatangkan bencana dan sebagainya.
Ingatlah bahawa, membuat tuduhan jahat terhadap seseorang adalah suatu penganiayaan yang lebih dahsyat daripada pembunuhan.
Penulis ialah Ketua Biro Negeri Sembilan Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment