Thursday, March 14, 2013

konon idea pr

ARKIB : 13/03/2013

Penyokong parti kerajaan atau parti pembangkang, semua dapat!

"INI semua berkat tekanan daripada parti pembangkang. Tengok kakitangan awam, tentera, polis, semua gaji naik. Jadi apa lagi, pastikan anda mengundi pembangkang dalam PRU-13 ini, nanti kita dapat kemudahan-kemudahan lain pula."
Itu kata seorang hamba Allah ini, yang saya baca dalam laman sosial ketika mengulas tentang gaji baharu yang bakal dinikmati oleh kira-kira 1.4 juta penjawat awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.
Tidak pasti saya, hamba Allah ini bekerja di sektor awam atau swasta. Daripada gambar profail di laman sosial tersebut, dia bertali leher dan memakai kot, nampak gaya macam orang terpelajar dan cerdik. Nampak sajalah, tetapi jika tidak dapat membezakan kebaikan tangan siapa yang memberi tanpa mengira siapa yang menerimanya - sama ada penyokongnya atau tidak, atau pihak yang boleh sahaja 'menggigitnya' semula, kecerdikan itu boleh saja diragukan.
Ada juga yang buat bising mengatakan yang diumumkan oleh parti pembangkang mengenai kenaikan gaji kakitangan awam dalam manifesto PRU mereka baru-baru ini adalah lebih baik daripada apa yang diumumkan kerajaan kelmarin.
Mungkin tidak pernah membaca surat khabar, sebab asyik membaca blog-blog propembangkang sebagai maklumat rujukan mengenai isu-isu semasa, menyebabkan ada yang tidak tahu manifesto pembangkang itu telah difatwakan sebagai 'bukan janji' pula oleh salah seorang pemimpin parti yang berpakat itu sendiri.
Maka bila dikata bukan satu janji, kalau tak buat pun tak apalah, tiada jaminan apa-apa di situ. Maknanya, belum tentu lagi kakitangan awam akan dapat kenaikan dalam manifesto terbaharu pembangkang itu sekiranya mereka dipilih menjadi pemerintah lepas PRU nanti.
Jadi benda yang belum nampak, kenapalah pula hendak diangkat-angkat tidak tentu pasal. Ini satu lagi masalah orang kita.
Dan seperti biasa mengambil kira PRU yang semakin hampir, blog-blog propembangkang pula, cepat-cepat memperlekehkan apa yang diumumkan kerajaan itu.
Antaranya: Berapa kerat sangatlah kakitangan awam yang ada dalam Malaysia ini berbanding sektor swasta, kerajaan mestilah tolong penjawat awam, itu memang sudah tugas kerajaan, jadi tiada apa yang hendak dihairankan dengan kenaikan itu dan kenapa perlu naikkan gaji anggota tentera dan polis yang tidak efisien dalam Ops Daulat.
Tetapi, begitulah. Naik dikutuk, tak naik lagilah teruk kena kutuk. Diberi tak berterima kasih, tak diberi lagilah tak rasa kasih. Itulah mentaliti rakyat kita yang terlalu taksub menyokong mana-mana parti politik. Semua isu pun mahu disangkutkan juga dengan politik, mereka ini hanya berdegar-degar menjadi pengulas-pengulas yang tidak sudah-sudah di alam siber.
Pada hakikatnya mungkin juga mereka ini banyak yang serba 'ditinggalkan'. Kerja hakiki pun ditinggalkan untuk membuat kerja-kerja lain yang tidak dikira langsung dalam gaji mereka, kerja tidak bersungguh-sungguh, menjadi 'tukang bangkang' itu ini yang ada saja serba tidak kena di tempat kerja tetapi pada masa sama sebenarnya mengharapkan gaji naik dan macam-macam lagi imbuhan.
Memanglah rakyat sekarang sudah cerdik, semua benda sudah mahu dipersoalkan. Tetapi jika yang dipersoalkan itu untuk kebaikan bersama, tidak mengapa. Tiada siapa pun menghalang anda mengemukakan idea-idea cerdik anda itu untuk memajukan rakyat dan Malaysia yang bertuah ini.
Tetapi, jika misi anggota keselamatan mempertahankan Sabah pun diperlekehkan, antaranya mempersoalkan berapa ramai anggota pengganas yang berjaya ditembak dalam Ops Daulat, membazir peluru (duit rakyat) saja tidak ramai pengganas yang mati, kenapa anggota keselamatan kita guna AirAsia, anggota keselamatan kita tidak efisien dan macam-macam lagi segala benda soalan pelik keluar, adakah soalan-soalan itu dikatakan cerdik?
Dan apabila Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa menangkis tanggapan bahawa pengumuman kenaikan gred gaji bagi perkhidmatan awam adalah buah tangan untuk menghadapi PRU, tidak perlulah beliau dilanyak dan dihentam kuat-kuat di laman-laman sosial. Agak-agaklah.
Bukannya apa, kerajaan beri kenaikan itu kepada semua kakitangan awam. Tidak kira penyokong parti kerajaan atau parti pembangkang, semua dapat. Yang sebelum-sebelum ini pun begitu juga. Jadi mengapa hendak bising-bising.
Begitu juga dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan persekolahan, baucar buku dan lain-lain. Yang mengutuk dan memaki hamun kerajaan sampai nampak anak tekak pun sama-sama bersusah payah, berpeluh-peluh, sabar beratur, mereka ini terima juga bantuan itu dengan hati terbuka, tidak pula bising-bising.
Jadi mana datangnya kejam dan tidak adilnya pihak yang memberi itu?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130313/re_06/Penyokong-parti-kerajaan-atau-parti-pembangkang-semua-dapat#ixzz2NSkTf8b4
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment