Thursday, March 14, 2013

guru selatan thai di ambang maut

ARKIB : 13/03/2013

Tidak ulangi nasib pelajar selatan Thai

TUTUP dan buka, buka dan tutup. Begitulah kalendar sekolah di selatan Thailand yang diancam gerakan pemisah sehingga sekolah di situ terpaksa ditutup dari semasa ke semasa sebaik sahaja pihak berkuasa mengesan ancaman yang mungkin menggugat keselamatan guru dan murid.
Walaupun tentera dihantar untuk mengiringi guru-guru malahan askar berkawal di sekolah ketika proses pengajaran dijalankan, namun kumpulan militan tetap berjaya membolosi garisan pertahanan dengan hampir 160 cikgu terkorban di selatan Thailand dalam tempoh sembilan tahun.
Kebanyakan guru yang dibunuh ialah penganut agama Buddha tetapi mangsa ke-158 iaitu Cikgu Chonlathee Charoenchol, 51, ialah seorang Muslim. Beliau dibunuh oleh anggota kumpulan militan yang menceroboh masuk sebuah kantin sekolah di Narathiwat.
Cikgu Chonlathee dibunuh tidak lama selepas para guru di Narathiwat, Pattani dan Yala berikrar untuk tidak meninggalkan anak murid walaupun nyawa mereka mungkin terancam ketika berkhidmat di tiga wilayah bergolak tersebut.
Bukan disebabkan dendam atau soal etnik apatah lagi soal pegangan agama, guru malang tersebut dibunuh kerana berkhidmat di sekolah kerajaan, institusi pendidikan yang melambangkan kedaulatan kerajaan Thailand.
Sejak kejadian rompakan bersenjata di kem tentera di selatan Thailand pada Januari 2004, sudah sembilan tahun guru dan rakyat di selatan Thailand hidup dalam ketakutan dengan bom menggegar pekan dan bandar di kawasan mereka bertugas.
Kejadian pengeboman dan serangan juga tidak terhad di Narathiwat, Pattani dan Yala, kadang kala ia menjangkau kawasan yang lebih jauh iaitu sehingga bandar Hatyai di wilayah Songkhla, bandar komersial terbesar di selatan Thailand.
Tujuan kumpulan militan di situ tidak lain dan tidak bukan adalah mahu mewujudkan kesangsian penduduk selatan Thailand terhadap kemampuan kerajaan Bangkok untuk menjaga keselamatan mereka.
Dengan mewujudkan suasana huru-hara dan tidak tenteram di mana orang awam dan tentera dibunuh, kumpulan militan berkenaan menaruh harapan bahawa penduduk tempatan akan hilang kepercayaan terhadap kerajaan sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mengambil alih pentadbiran.
Taktik perang ala gerila bukan sesuatu yang luar biasa malahan Malaysia sendiri pernah berdepan keadaan yang lebih kurang sama ketika melawan Parti Komunis Malaya (PKM) semasa zaman darurat satu ketika dahulu.
Pengganas PKM tidak mempunyai markas yang tetap dan bekalannya bergantung kepada mingyuen iaitu 'organisasi' yang terdiri daripada penyokong-penyokong yang memberi bantuan makanan, perubatan, senjata malahan memberi maklumat secara senyap-senyap kepada pengganas komunis di hutan.
Dengan bekalan tersebut, pengganas PKM dapat melakukan serangan hendap ke atas kampung dan juga kemudahan awam lain seperti landasan kereta api. Matlamat mereka tidak lain dan tidak bukan mahu menggugat keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan dalam menjaga keselamatan negara dan penduduk.
Memang sukar untuk PKM berdepan dengan tentera kerajaan yang kuat, maka PKM berasa adalah lebih mudah untuk menggugat keyakinan orang ramai terhadap kerajaan daripada menumpaskan kerajaan di medan perang.
PKM juga bijak mengatur strategi dengan menjadikan sempadan Malaysia dan Thailand sebagai kubu. Sebaik sahaja melancarkan serangan, mereka dengan mudah dapat melarikan diri ke Thailand apabila dikejar oleh tentera kerajaan.
Strategi sama kini diguna pakai oleh pengganas Sulu di Sabah. Mereka seakan-akan meniru taktik yang pernah digunakan oleh kumpulan militan di selatan Thailand mahu pun PKM dengan melakukan serangan gerila selain cuba memanfaatkan sistem minyuen di Sabah.
Namun taktik pengganas Sulu sudah ditakdirkan gagal kerana perkembangan terkini menunjukkan kumpulan penceroboh itu gagal memanfaatkan beberapa unsur utama yang menentukan kejayaan serangan, ini termasuk faktor geografi selain faktor kemanusiaan.
Dari segi faktor geografi umpamanya, walaupun pengganas Sulu dilihat dapat melarikan diri dengan mudah ke kepulauan Mindanao, tetapi pihak Malaysia berjaya mengepung dan memutuskan laluan maritim tersebut.
Pengganas Sulu kini dikepung berkali-kali di darat dan juga laut malahan Malaysia berjaya mendapat kerjasama daripada Manila yang turut mengetatkan kawalan di perairan selatan Filipina.
Dalam pada itu, pengganas Sulu juga kehilangan kelebihan kemanusiaan apabila gagal mendapat sokongan daripada penduduk keturunan Suluk di Sabah yang telah mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan Malaysia ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Lahad Datu baru-baru ini.
Sokongan etnik Suluk kepada kerajaan juga terbukti melalui keputusan beberapa pilihan raya umum sebelum ini. Dua kawasan Parlimen iaitu Silam dan Semporna yang merangkumi kawasan Lahad Datu dan Kunak merupakan kubu terkuat Barisan Nasional (BN), melambangkan penduduk di situ berpuas hati dengan apa yang dilakukan kerajaan.
Memang tidak dinafikan terdapat segelintir penduduk Suluk yang menjadi tali barut dan memberi bantuan kepada pengganas Sulu. Namun ramai kalangan penduduk tempatan turut membantu polis dan tentera Malaysia dengan membekalkan informasi mengenai gerakan kumpulan pengganas itu sejak saat-saat awal mereka menceroboh Sabah.
Sekiranya pengganas Sulu mengharapkan pembentukan organisasi mingyuen yang membantu PKM pada zaman darurat, maka impian mereka mungkin tidak dapat direalisasikan.
Keadaan itu disukarkan lagi kerana Sabah merupakan negeri pelbagai etnik dengan diduduki Kadazandusun, Murut, Runggus dan sebagainya yang tidak mempunyai sebarang legasi dengan Kesultanan Sulu. Mereka sudah pastinya tidak akan berkompromi sekiranya negeri mereka ditadbir oleh entiti yang asing bagi mereka.
Sejarah menunjukkan Kesultanan Sulu hanya mempunyai pengaruh di kawasan yang terhad iaitu di pantai timur manakala Kesultanan Brunei berpengaruh di pantai barat Sabah. Ramai etnik Sabah hidup bebas daripada mana-mana kuasa sehingga kedatangan British.
Jika penceroboh berniat mengganggu ketenteraman atau menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan Malaysia, maka misi mereka gagal. Ini kerana penduduk Sabah bersatu dan berazam untuk menentang musuh yang mengancam kedaulatan negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130313/re_03/Tidak-ulangi-nasib-pelajar-selatan-Thai#ixzz2NSjP1DRw
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment