Saturday, December 31, 2011

isu masjid

BBSMS pula buat laporan
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 31, 2011
BBSMS pula buat laporan
ALOR SETAR - Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) mahu polis menyiasat kenyataan Ketua Pemuda Pas Alor Setar, Mohd Azam Awang, kelmarin kerana didakwa cuba memfitnah anak kariah, Jawatankuasa Kariah Madrasah Salihiah termasuk BBSMS berhubung penganjuran Munajat Perdana Selamatkan Madrasah Salihiah.

Pengerusinya, Mansor Ahmad berkata, laporan polis dan kenyataan Mohd Azam didakwa berniat jahat dan menimbulkan prasangka bahawa tujuan BBSMS mengadakan program munajat yang diisi dengan aktiviti keagamaan, seperti solat hajat dan tazkirah, adalah untuk memecahbelahkan masyarakat.

“Kita juga kesal kerana beliau dakwa BBSMS dan Jawatankuasa madrasah yang mahu hadir program itu didakwa menderhaka arahan Tuanku Sultan dan menggugat kewibawaan Jabatan Mufti. Kami anggap ianya fitnah besar sebab mereka tidak dapat gambaran sebenar berhubung program itu,” katanya, selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar, pada 10.00 pagi, semalam.

Hadir sama, Setiausaha BBSMS, Zulkifli Salleh dan Ahli Jawatankuasa, Ahmad Fisol Shamsudin.

Menurutnya, pihaknya turut mempertikai kenyataan Mohd Azam ekoran program berkenaan diadakan dalam kawasan madrasah, dan ini suatu pencabulan ke atas hak umat Islam menganjurkan program keagamaan.

“Dakwaan itu jelas berniat jahat, menghasut selain merendahkan imej institusi Islam malah dikhuatiri boleh menimbulkan ketegangan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan Jawatankuasa Madrasah Salihiah,” katanya.

Mansor turut mempertikai siapa yang menderhaka dalam isu ini, kerana jawatankuasa madrasah bertindak atas arahan surat yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah (Maik) bertarikh 10 November, yang mohon perobohan ditangguh sehingga perbincangan seterusnya dibuat.

“Memang kita akur, mulanya Majlis Fatwa kata tidak boleh, tetapi kemudian boleh dibangunkan dengan bersyarat. Terbaru, surat penangguhan ini pula. Ini bermakna Dewan Pemuda Pas Alor Setar yang ingkar arahan, kenapa mereka tidak perakui surat berkenaan,” katanya.

Mansor tidak menolak kemungkinan akan mengemukakan saman sivil terhadap Mohd Azam selepas polis menjalankan siasatan terhadap laporannya itu.

“Jika sekalipun Barisan Nasional (BN) yang memerintah Kedah, kami tetap bantah perobohan madrasah ini, sebab ianya bukan isu politik tetapi keagamaan. Saya juga ingin jemput semua rakyat Kedah termasuk ahli Pas hadir pada program munajat ini,” katanya.

Pada masa sama, Mansor mencabar Dewan Pemuda Pas Alor Setar berdebat isu Madrasah Salihiah secara terbuka, di madrasah itu pada bila-bila masa untuk mengungkai kekeliruan yang timbul.

“Saya sedia debat atau berdialog secara terbuka, saya minta Mohd Azam nyatakan tarikh dan kita bahas secara terbuka untuk dinilai rakyat Kedah," katanya.

No comments:

Post a Comment