Ibu terkilan anak ditahan berjam-jam
IBU TERKILAN
Kota Damansara, Petaling Jaya.
SEMUA mengetahui Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan antara polis terbaik di dunia. Akan tetapi, saya ingin menyuarakan rasa terkilan terhadap pihak polis kawasan Kota Damansara.
Anak saya bekerja di pasar raya yang waktu kerjanya adalah dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Namun, perjalanan pulang yang hanya memakan masa 10 minit telah menjadi hingga 2 jam lebih gara-gara sekatan jalan raya yang mereka jalankan.
Bukanlah niat saya untuk menidakkan tugas pihak polis, akan tetapi yang dipersoalkan di sini, mengapa perlu diambil kunci motor, cukai jalan dan kad pengenalan seterusnya dipegang oleh mereka sehingga beberapa jam?
Saya faham, ini dilakukan kerana mereka ingin menyemak rekod andainya ada yang ditahan melakukan kesalahan jalan raya.
Tetapi tidak perlulah sehingga berjam-jam kerana anak saya perlu bangun awal untuk ke tempat kerja keesokan paginya. Adalah lebih elok andainya penyemakan terus dilakukan tanpa menunggu sehingga sebegitu lama.
Pada minggu lepas, selama tiga hari berturut-turut, dia ditahan hingga jam 4 pagi dan akibatnya tidak cukup tidur, bangun lewat ke tempat kerja dan ironinya anak saya demam panas selama dua hari.
Hati ibu mana yang tidak sedih mengenangkan anak yang pergi kerja seawal jam 9 pagi dan pulang sekitar 4 pagi? Keadaan ini berlaku hampir setiap hari dan paling awal anak saya dibenarkan pulang sekitar 12 tengah malam atau 1 pagi.
Mungkin inilah nasib kami selaku orang awam, namun negara demokrasi yang kita amalkan membenarkan kebebasan bersuara selagi ia tidak keterlaluan dan bertentangan dengan undang-undang.
Di ruangan ini, sudilah kiranya pihak berkenaan mempertimbangkan keluhan kami yang hanya inginkan rasa timbang rasa untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.
No comments:
Post a Comment