Wednesday, December 28, 2011

isu islam

Malaysia dan sensitiviti isu-isu keislaman

Oleh MOHD. ZAIDI ABDULLAH
PENULIS ialah Ketua Penyelidik,
Akademi 'Ulum Pondok dan Pencerahan
Tamadun, Shah Alam, Selangor.

INJAKNYA kaki tentera Napoleon Bonarparte di Mesir pada 1798 boleh dikatakan bermulanya 'mimpi buruk' kepada dunia Islam seluruhnya. Beberapa abad sebelum itu, di Asia Tenggara, bukan sekadar mimpi buruk malah 'kerap mengigau' akibat penjajahan Portugis di Melaka pada 1511 Masehi. Jauh dari pusat utama kebudayaan Islam, Asia Tenggara beberapa buah wilayah terkemuka terpaksa berdepan dengan perancangan-perancangan Portugis, Belanda dan Inggeris.

Cuma Belanda dan Inggeris masih menjalankan aktiviti orientalisme yang mengemudikan sebelum lahirnya hubungan antarabangsa yang dijalankan oleh Amerika terhadap negara-negara Asia Tenggara khususnya.

Isu usaha memurtadkan umat Islam secara faktanya terzahir pada ketika lahirnya penjajah di rantau ini. Arus kemodenan dan pasca-modenisme serta hak asasi manusia dan globalisasi makin terbuka peluang pemurtadan. Dalam pengajian Islam di universiti-universiti Barat masih dibayangi oleh agama lain pada struktur universiti-universiti tersebut. Islam dikaji sebagai agama tetapi dari segi antropologi dan persejarahan misalnya. Melalui program pengajian seperti ini, non-muslim dapat mengenal Islam dan segala aktivitinya melalui fellowship, penulisan tesis dan seumpamanya.

Perakuan bahawa Islam sebagai agama rasmi oleh Barisan Nasional (sebagai pemerintah sekarang) dan Pas (dalam buku Negara Berkebajikan) pastinya akan tergugat dengan cabaran-cabaran profesional yang sering dikatakan sebagai memenuhi hak asasi manusia. Islam dikenal sebagai bahan bacaan (adalah malang jika dibaca tentang Islam menerusi kajian orientalis). Profesionalisme dalam pengkajian-pengkajian Islam diberikan geran sekali di bawah bimbingan non-muslim sebenarnya adalah satu bid'ah yang tidak berlaku sepanjang Islam berada di bayangan Khilafah Rashidin, Khilafah Umayyah, Khilafah 'Abbasiyyah dan Khilafah 'Uthmaniyyah.

Secara logiknya, penulis mengutarakan prinsip bahawa hanya orang Islam layak membicarakan tentang hakikat Islam bukan orang lain. Profesionalisme di kalangan orientalisme adalah satu aktiviti yang tidak diiktiraf oleh Islam itu sendiri. Kajian tesis atau seumpamanya yang dibaca oleh orientalis sekalipun ada yang dikatakan memberi manfaat dari sedar mereka akan agama Islam. Akan tetapi sebaliknya, mudarat lebih besar.

Firman Allah yang mutawatir, "Dan tidak akan reda sesekali Yahudi dan Nasrani akan kamu sehingga kamu mengikuti ajaran mereka…" Nas mutawatir ini patut sentiasa diingati oleh mereka yang suka terlibat diri dalam kerja kepartian.

Kepartian dalam sistem demokrasi jika melebihi had pastinya akan bercanggah dengan Islam. Adalah sesuai dengan realiti Islam dan umatnya di Malaysia dihayati Demokrasi Raja Berperlembagaan. Raja-Raja ini sebagai ketua agama secara eksekutif boleh menyekat mana-mana usaha pelampau hak asasi manusia yang bercanggah Islam seperti program seksual bebas dan pemurtadan.

Dari sudut hubungan antarabangsa, Islam masih dilihat menjadi isu utama sama ada mengekang kemunculan kekuatan pengaruh Islam atau mempropaganda golongan yang disukainya untuk mengenepikan golongan yang tidak disukainya. Islam Liberal atau lain-lain nama.

Memang dalam ajaran Islam kebebasan beragama termaktub dalam al-Quran. Akan tetapi yang jelas sekali mesejnya Islam perlu disebarkan dan menyekat murtad adalah satu tuntutan penting. Inilah sebenarnya yang kurang disenangi oleh pihak yang suka memurtadkan umat Islam dengan alasan hak asasi manusia dan demokrasi.

Tuntutan demi tuntutan untuk keluar dari Islam terdapat di mahkamah. Ini satu bukti usaha memurtadkan umat Islam memang terdapat. Adakah mereka murtad tanpa ada yang memurtadkan ?

Terdapat di kalangan pengusaha murtad ini cuba berhujah seperti orang Islam yang pastinya mereka menerima cara-cara dari hasil kajian yang diperolehi. Dari mana itu? Memang penjajah telah pulang ke tempat masing-masing. Akan tetapi, berapa ramai orang Islam sendiri belajar di universiti-universiti di Barat yang dibayangi oleh agama lain dari struktur penubuhan dan perjawatannya. Adalah malang jika kita terpengaruh oleh mereka pula. Lepas itu cendekiawan muslim bawa pulang ke negara-negara masing-masing. Ini malangnya.

Implikasi penjajahan pula memang termaktub dalam sejarah lalu pecahnya muslimin kepada kaum tua dan kaum muda, modenis dan liberalis, ortodoks dan konservatif atau macam-macam nama lagi.

Orientalis juga suka menimbulkan pendapat yang lemah di kalangan ulama Islam bagi mengetepikan ijma' yang menjadi aspek kekuatan Islam pada satu ketika dulu. Dikatakan ulama tradisional sebagai konservatif atau ortodoks. Ini semua label dari barat yang dibayangi agama lain.

Dalam kajian penulis bertajuk Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal Jamaah: Suatu Keluhuran dan Kemurnian Pegangan Hidup (diterbitkan pada tahun 2000M) dinyatakan antara institusi terawal barat di dunia Islam yang mengkaji Islam dan dunia Islam di barat malah yang diketuai oleh non-muslim patut disangsi muslim sebenarnya. Ini hak kita sebagai orang Islam. Ini seolah-olah campur tangan mereka dalam hal-ehwal Islam. Rasanya pasti ada yang akan menuding saya sebagai tidak terbuka. Akan tetapi, ini satu realiti yang patut diakui . Non-muslim pelajari Islam tetapi terdapat di kalangan mereka cuba mengajar orang Islam.

Kenapakah mereka tidak memeluk Islam dengan pengetahuan yang dimiliki oleh mereka ? Ini satu keraguan. Sering orang bercakap takdir Allah SWT tetapi dalam Ahli Sunnah-Islam pastinya pilih dan usaha perlu disertakan. Seperti orang yang dituduh memasuki rumah seseorang tapi dia boleh bercerita apa jua dalam rumah itu. Pastinya orang dituduh disangsikan pernah memasuki rumah dengan curi atau lain-lain.

Jadi, isu murtad dan kebebasan atas nama hak asasi manusia yang bercanggah dengan Islam tidak patut disebarkan di negara ini. Mana-mana pihak yang berusaha memurtadkan umat Islam patut didedahkan. Ini sebagai keselamatan umat Islam dari segi dakyah dan hasutan.

No comments:

Post a Comment