Madrasah Salihiah bukan isu politik
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
CUBA bayangkan apa yang akan berlaku seandainya Kerajaan Pas Kedah ingin merobohkan rumah ibadat penganut agama lain bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks beli-belah?
Penulis percaya sudah pasti Kedah 'tidak aman' kerana penganut agama tersebut akan bersatu tanpa mengira fahaman politik untuk bangkit menentang cadangan berkenaan.
Tetapi situasi ini seolah-olah tidak berlaku dalam isu cadangan merobohkan Madrasah Salihiah Kachut, Alor Setar bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks beli-belah.
Walaupun mendapat bantahan keras daripada pelbagai pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam namun Kerajaan Pas Kedah tetap bertegas dengan keputusannya.
Apa yang mengecewakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd.Razak seolah-olah tidak mahu mendengar bantahan tersebut, sebaliknya menegaskan sebagai seorang berkelulusan Universiti Al-Azhar beliau tahu hukum-hakam dan keputusan untuk membenarkan pengambilan tapak serta bangunan madrasah berstatus wakaf khas berkenaan dibuat hanya selepas mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri.
Kita tidak menafikan hak dan kuasa kerajaan negeri Kedah untuk berbuat demikian tetapi tidakkah ada sedikit sikap tolak-ansur dalam soal ini?
Memang betul, Majlis Fatwa Negeri membenarkan langkah yang dinyatakan tetapi tidakkah kerajaan negeri mempunyai pertimbangan lain dalam soal ini?
Tanggapan bahawa UMNO mengemukakan bantahan dalam isu tersebut sebagai bermotifkan politik hanyalah jawapan seorang pemimpin yang seolah-olah tidak mahu mendengar pandangan orang lain.
Isu madrasah tersebut bukan isu politik tetapi soal memulihara dan mempertahankan sebuah rumah ibadat yang telah berdiri tegak sejak 1905 lagi.
Kenapakah atas nama pembangunan, madrasah yang tidak pernah sunyi daripada kunjungan anak kariah dan umat Islam itu mahu dirobohkan?
Atas sebab itulah, isu madrasah tersebut sama sekali tidak harus dilihat dari sudut politik, bantahan dilakukan kerana madrasah berkenaan perlu dipertahan dan dibiarkan wujud buat selama-lamanya.
Dalam soal ini, kita ingin mendengar apa pandangan dan pendirian Dewan Pemuda Pas, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama. Apakah mereka rela membiarkan madrasah tersebut dirobohkan?
Apakah mereka akan mendiamkan diri, jika tindakan merobohkan madrasah itu dilakukan oleh kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO?
Sudah pasti tidak, mereka akan menentangnya dan akan melancarkan kempen habis-habisan bagi menyebarkan dakyah kononnya BN dan UMNO cuba menghalang perkembangan Islam. Pas akan berusaha menonjolkan bahawa mereka perjuang Islam sejati.
Mereka bukan sahaja akan mengadakan demonstrasi, solat hajat dan menghantar memorandum, malah akan mengadakan ceramah ke seluruh negara bagi memburuk-burukkan UMNO dalam isu berkenaan.
Tetapi soalnya di manakah suara pemimpin-pemimpin Pas dalam isu Madrasah Salihiah ini? Kenapakah mereka tidak berkata apa-apa? Usahlah memberi alasan, itu urusan kerajaan negeri pimpinan Azizan.
Kalau benar mereka masih mempertahankan parti itu tetap memperjuangkan Islam walaupun haluan parti tersebut sudah berubah dari negara Islam kepada negara berkebajikan maka bersuaralah!
Begitu juga jika benar mereka mengaku pejuang Islam sejati dan dasar Islam terus menjadi matlamat perjuangan maka mereka perlu memiliki keberanian untuk menasihatkan kerajaan negeri Kedah supaya tidak merobohkan madrasah bersejarah tersebut.
Janganlah mengamalkan sikap double standard, kalau orang lain buat salah, kalau orang kita sendiri buat betul? Apakah ini yang dianjurkan oleh Islam?
Begitu juga kepada penyokong-penyokong fanatik Pas di Kedah. Di manakah suara kamu semua? Apakah sudah 'dibisukan' atau sememangnya sengaja mendiamkan diri kerana cadangan merobohkan madrasah itu adalah keputusan keputusan pemimpin daripada parti kesayangan kalian?
Sepatutnya sebagai seorang Islam tanpa mengira fahaman politik, mereka perlu bangkit melakukan bantahan. Ini bukan soal merebut satu kerusi dalam pilihan raya tetapi soal sebuah madrasah yang dianggap rumah Allah mahu dirobohkan.
Apakah membina sebuah kompleks beli-belah mampu membantu pembangunan ummah di dunia dan akhirat?
Kalau hendak bina juga kenapakah tidak mencari alternatif supaya madrasah tidak dirobohkan? Ini termasuklah mengubah suai pelan pembinaan kompleks tersebut atau mencari lokasi lain.
Tetapi alternatif ini tidak mahu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri Kedah, apa yang mereka nampak, robohkan madrasah, dirikan kompleks beli-belah, soal madrasah itu bersejarah atau tidak bukanlah perhitungan utama.
Hakikatnya, langkah mempertahankan madrasah tersebut bukannya berkaitan soal bangunan itu lama atau tidak tetapi apakah kerajaan negeri sudah 'kemereh' untuk mencari tempat lain, kenapakah madrasah hendak 'dikorbankan'.
Sebab itulah kita mahu melihat sejauh manakah penyokong-penyokong Pas akan hadir dalam majlis solat hajat yang bakal diadakan pada Sabtu ini di madrasah tersebut.
Jika sebelum ini orang Pas boleh berduyun-duyun menghadiri ijtimak, muktamar dan solat hajat yang bermotifkan politik kekuasaan kenapakah mereka tidak boleh melapangkan masa bagi menghadiri solat hajat itu?
Kehadiran mereka amat penting kerana ia akan menunjukkan lambang perpaduan seluruh umat Islam di Kedah tanpa mengira fahaman politik.
Tetapi jika mereka terus dikuasai pemikiran politik kepartian, percayalah, tiada pihak yang akan menggeruni orang Melayu dan umat Islam kerana mereka melihat dalam soal mempertahankan sebuah madrasah pun kita tidak mampu lakukan.
Apa pun kita masih berharap dan berdoa kepada Allah SWT agar Madrasah Salihiah dapat diselamatkan. Ini bukanlah soal mereka yang menentang langkah merobohkan bangunan itu berkelulusan Universiti Al Azhar atau tidak, pihak luar atau pihak dalam, tetapi soal seperti mana kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin:
''Kita bukan tidak mahu pembangunan tetapi sesuatu pembangunan itu harus ada rahmat Allah dan apabila pembangunan didirikan di atas keruntuhan sebuah wakaf masjid pasti ada yang tidak kena.''
Semoga alim-ulama dan mereka yang mengaku pejuang Islam dalam Pas menginsafi pesanan ini dan berusaha menasihatkan Azizan dan kerajaan Kedah.
Kepada umat Islam Kedah di mana juga berada, bangkit dan bersatulah mempertahankan rumah Allah di Kanchut, Alor Setar itu, jangan biarkan Madrasah Salihin menjadi debu akibat 'dihempap' sebuah kompleks beli-belah!
No comments:
Post a Comment