Saturday, December 24, 2011

kelemahan pas ketika ini

'Perang terbuka' papar kelemahan segelintir pemimpin Pas

Oleh Zulkiflee Bakar

DATUK Mustafa Ali akhirnya 'meletuskan lava' kritikannya kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr.Hasan Ali.

Dalam apa yang dianggap 'serangan terbaru' ke atas Hasan, Setiausaha Agung Pas itu mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Hasan dengan agenda UMNO.

Sambil merujuk kepada satu pertemuan antara Hasan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa di sebuah hotel bersama sekurang-kurangnya tiga individu lain pada Ramadan lalu, Mustafa menegaskan, Hasan tidak boleh beranggapan pergerakan beliau tidak diketahui oleh pemimpin Pas lain.

Sudah pasti Hasan tidak akan duduk diam dan akan membalas kembali kenyataan Mustafa maka akan tercetuslah peperangan terbuka antara 'dua anak' Ali ini.

Kita tidak pasti siapa yang akan menang, tetapi apa yang nyata, pertelingkahan terbuka ini telah membuka pekung Pas terutamanya mengenai hala tuju parti itu yang semakin mengelirukan.

Selain itu, ia juga memaparkan bagaimana lemahnya pemikiran politik sesetengah pemimpin Pas apabila sewenang-wenangnya mengaitkan UMNO dalam kemelut yang berlaku dalam parti mereka.

Gambaran yang cuba diberikan ialah Hasan seolah-olah tidak bijak berpolitik apabila didakwa sudah terperangkap dengan agenda UMNO. Tidak mengapalah kalau pemimpin Pas hendak terus menyalahkan UMNO, biar pun ia tidak benarkan kerana itulah sikap Pas, bak kata seorang kawan kalau tersandung batu semasa berjalan pun, mereka akan salahkan UMNO!

Apa pun yang lebih perlu diberi perhatian ialah kenapakah Hasan yang mempertahankan pendiriannya menolak negara berkebajikan dan menggesa supaya Pas kembali kepada perjuangan negara Islam harus 'diserang'?

Hasan hanya menegur dan mengingatkan kepimpinan Pas bahawa perjuangan negara Islam perlu diteruskan dan tidak boleh diselindungi dengan slogan negara berkebajikan.

Tetapi ternyata niat ikhlas Hasan tidak mahu diterima oleh kepimpinan Pas, sebaliknya beliau 'diserang' kiri dan kanan, atas dan bawah, tengah dan tepi oleh pemimpin-pemimpin parti itu. Jika sebelum ini ada yang menyokong Hasan kerana tegas dalam soal memperjuangkan Islam dan menyatukan ummah tetapi secara tiba-tiba nada itu berubah.

Hasan digesa meninggalkan Pas jika tidak bersetuju dengan keputusan parti itu manakala ada pula yang menyatakan Pas tidak pernah lari daripada landasan perjuangannya.

Lebih buruk lagi, Hasan didakwa berlatar belakangkan pendidikan sekular dan tidak layak bercakap soal memperjuangkan Islam.

Begitulah hebatnya 'peperangan' dalam Pas, segala-galanya diungkit dan 'dibongkarkan' seolah-olah Hasan adalah musuh yang perlu diperangi habis-habisan.

Berdasarkan kepada hujah-hujah dan serangan ke atas Hasan, jelaslah di peringkat kepimpinan boleh dikatakan Hasan kini sendirian, tiada teman dan kawan yang berani secara terbuka mempertahankan pendirian beliau supaya Pas kembali kepada perjuangan negara Islam.

Tambahan pula selama ini apabila Pas bersedia menggugurkan perjuangan negara Islam, mereka semakin akrab dengan DAP dan berjaya menarik perhatian sesetengah masyarakat bukan Islam.

Justeru apabila Hasan secara terbuka bercakap mengenai konsep perjuangan negara Islam, Pas menganggap ia satu tamparan kerana Pas tidak mahu hasrat menubuhkan negara Islam menggugat hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Apa yang anehnya, biar pun ada pemimpin Pas tidak bersetuju dengan Hasan tetapi mereka menegaskan, Pas tidak pernah lari daripada landasan perjuangannya dan negara Islam tetap menjadi matlamat.

Sudah pastilah kenyataan ini menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong Pas sendiri kerana ia seolah-olah wujud misi tersurat dan tersirat dalam perjuangan Pas.

Yang tersuratnya adalah Pas mengisytiharkan kepada sekutu politik dan rakyat bahawa mereka ingin menubuhkan negara berkebajikan dan yang tersirat pula ada pemimpin parti itu masih mahu negara Islam diperjuangkan, ertinya sama dengan kehendak Hasan.

Oleh itu kenapakah Hasan hendak 'diserang'? Kalau betul Pas masih ingin memperjuangkan negara Islam maka Hasan tidak harus dipersalahkan apabila bercakap perkara berkenaan secara terbuka.

Kalau benar Pas tidak lari daripada landasan perjuangan asalnya, maka janganlah marah Hasan apabila beliau bercakap soal negara Islam kerana itulah matlamat sebenar Pas apabila parti itu ditubuhkan oleh sekumpulan ulama pada tahun 1951.

Janganlah memperkecilkan kenyataan Hasan bahawa penyokong Pas di peringkat akar umbi menyokong apa yang beliau perjuangkan kerana tindakan itu boleh menjejaskan parti. Ini memandangkan biar pun keputusan mewujudkan negara berkebajikan dan meninggalkan perjuangan negara Islam dibuat dalam muktamar namun ia bukanlah bermakna semua penyokong Pas bersetuju dengan keputusan itu.

Pas adalah parti Islam dan itulah yang diuar-uarkan, jika begitulah pegangannya maka tiada matlamat perjuangan lain selain perjuangan menegakkan negara Islam. Inilah yang diperingatkan oleh Hasan!

No comments:

Post a Comment