Melayu jangan menang sorak, maruah dan negara tergadai
Hassan Mohd Noor
RABU lalu, penulis berkesempatan menghadiri Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Ulu Kinta, Perak. Sebagai makluman, kedudukan KSKB berhampiran kawasan Hospital Bahagia, Tanjong Rambutan.
Berduyun-duyun ibu bapa dan graduan memasuki kawasan itu bagi menghadiri ‘hari bahagia’ mereka. Majlis berlangsung mulai 5 hingga 10 Disember. Ini adalah kali pertama semua graduan dari seluruh negara dikumpulkan secara bersepadu pada satu majlis yang sama.
Tema majlis ialah Sinergi Memacu Kegemilangan. Disebabkan ia melibatkan ILKKM dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, maka graduan yang terlibat tentulah melibatkan jumlah yang ramai iaitu hampir 9,000 orang. Maka Tanjong Rambutan, Perak Darul Ridzuan (bukan darul kartun ciptaan DAP) menjadi tumpuan seluruh negara. Ini satu promosi yang baik bagi Perak Darul Ridzuan yang akan melancarkan Tahun Melawat Perak 2012.
Malahan dalam perjalanan menuju ke KSKB, salah satu lokasi yang boleh dijadikan persinggahan ialah Lost World of Tambun, Sunway City Ipoh, yang mempunyai taman tema serta kemudahan untuk pelbagai aktiviti rekreasi.
Berada di kawasan KSKB memang membahagiakan. Suasana begitu tenang walaupun dalam kesibukan ibu bapa dan graduan menghadiri majlis raptai dan konvokesyen itu.
Semasa hari konvokesyen, suasana dalam dewan begitu tertib. Satu persatu nama graduan dipanggil. Dan disebabkan graduan datang dari pelbagai negeri, maka banyak juga nama yang ‘pelik-pelik’ atau mungkin memberi gambaran melucukan atau tidak manis bagi sesetengah orang. Dan ketika nama-nama itu disebut, ada juga yang tersenyum, mungkin tidak dapat menahan kelucuan. Ada juga yang terpaksa menahan gelak tawa mereka. Apa yang pasti masih ada rasa hormat terhadap nama-nama yang diberi oleh generasi terdahulu.
Tidaklah seperti berlaku di khalayak yang dihadiri oleh orang Pas pada satu majlis ceramah oleh pemimpin DAP di pentas Pas di Taiping, Perak pada 9 September lalu. Ibu bapa dan graduan pada hari itu tidaklah ketawa terbahak-bahak seperti orang yang berketayap putih di majlis ceramah DAP di pentas Pas apabila wakil rakyat DAP, Nga Khor Ming (Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis), melabelkan Perak Darul Ridzuan sebagai Perak darul kartun; Menteri Besar Perak, Dr. Zambry Abd Kadir sebagai hitam metalik dan haram jadah.
Mungkin ibu bapa serta graduan yang hadir pada majlis itu lebih terdidik untuk menghormati nama atau peribadi seseorang berbanding khalayak yang hadir pada ceramah DAP di pentas Pas.
Tidak pasti sama ada disebabkan politik, orang yang cerdik, berakal dan berhemah tiba-tiba menjadi bodoh, bebal atau dungu.
Mungkin juga ibu bapa yang hadir pada hari itu lebih memahami soal hak asasi berbanding pemimpin politik yang kononnya memperjuangkan hak asasi tetapi mereka menghalalkannya kerana politik. Bagi ibu bapa itu, tindakan mencerca seseorang mengenai warna kulit, agama, budaya, asal usul dan keaiban lain dianggap sebagai melanggar hak asasi manusia dan jika di negara maju boleh disabitkan di mahkamah.
Malang sungguh suasana politik hari ini terutama melibatkan orang Melayu. Kerana politik, mereka sanggup membiarkan orang lain mencerca sesama bangsa dan seagama. Mereka bersorak gembira macam Pak Pandir dan Pak Kaduk.
Cuba amati apa yang dikatakan oleh Kor Ming pada ceramah itu yang turut memuji Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) yang juga kawan baik Mat Sabu (Timbalan Presiden Pas). Lebih kurang dalam ceramah itu, Kor Ming berkata:
‘‘Di negeri Perak darul kartun ini, kita ada menteri besar hitam metalik yang haram jadah itu masuk dari pintu belakang naik kapal selam dari Pangkor’’.
Jika bukan Melayu tidak faham atau pura-pura tidak faham maksud perkataan haram jadah, tetapi apakah orang Melayu Pas yang ada pada majlis itu juga tidak faham? Bagaimana jika ada pemimpin pakatan 3P - DAP, Pas, PKR yang tergolong dalam golongan orang kelainan upaya (OKU) termasuk tempang, pendek, terlalu putih atau hitam, berjanggut macam kambing, bongkok sabut, tidak fasih bercakap Melayu dan macam-macam lagi menjadi menteri besar atau ketua menteri? Adakah mereka ini boleh dihina sebegitu rupa?
Cuba fikirkan bagaimana perasaan anda sekiranya diri anda atau keluarga anda digelar sebegitu rupa oleh orang lain – tidak kiralah sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.
Mengenai darul kartun, siapakah yang bertanggungjawab menjadikan Perak seolah-olah negeri kartun? Lupakah siapa yang bertindak bersidang di bawah pokok, tidur di atas jalan dan macam-macam lagi? Semuanya macam filem.
Ini bukanlah kali pertama, pemimpin pembangkang mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati orang Melayu beragama Islam.
Mungkin bagi sesetengah orang Melayu yang beragama Islam boleh menerima label seperti haram jadah, hitam metalik, masuk pintu belakang, pengkhianat dan macam-macam lagi. Ini kerana dalam golongan Melayu sekarang, ada yang tidak kisah itu semua sebab apa yang lebih penting bagi mereka ialah kuasa politik mengatasi segala-galanya.
Justeru tidak hairanlah orang lain semakin berani memperlekeh, memperkecil dan menghina orang Melayu termasuk agama dan institusi raja Melayu dengan kata-kata kesat serta tindak tanduk atau perbuatan yang tidak sewajarnya dilakukan.
Bagi bukan Melayu, inilah masanya untuk mereka melahirkan lebih ramai Pak Kaduk dan Pak Pandir untuk mencapai cita-cita politik mereka.
Dan bagi Melayu yang bersorak gembira serta ketawa apabila raja, bangsa, agama dan negeri mereka diperkecilkan, golongan seperti ini lebih bangga menang sorak biarpun di sebalik kemenangan sorak itu, kampung dan maruah mereka tergadai.
Ingatlah, dalam politik kita boleh buat teguran atau kritikan tetapi janganlah bersikap kurang ajar sehingga mencetuskan unsur-unsur rasis serta menjejaskan keharmonian yang sudah terbina begitu lama dalam masyarakat pelbagai kaum.
Ya... memang mudah meminta maaf selepas seseorang bertindak kurang ajar. Sering kali kita mendengar orang politik khususnya dalam kumpulan 3P mengeluarkan pelbagai kenyataan yang ‘menyakitkan’ dan menyinggung perasaan. Dan setiap kali dikritik hebat, mereka tampil memohon maaf sedangkan ‘matlamat’ mereka sebenarnya sudah tercapai.
No comments:
Post a Comment