Pejuang revolusi atau hanya alat
KETURUNAN MEGAT TERAWIS
Shah Alam
SAYA merujuk kepada isu mahasiswa dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menurunkan bendera Presiden UMNO baru-baru ini yang mencerminkan keperibadian mahasiswa yang telah diperbudak-budakkan.
Secara peribadi, saya tidak ingin menyalahkan mereka ini yang masih 'mentah' dalam kononnya memperjuangkan revolusi.
Bagaimanapun, berdasarkan pembacaan saya dalam media-media alternatif seperti blog, pihak berkenaan menggunakan alasan ''...yang diturunkan hanyalah bendera wajah DS Najib Razak, mengapa perlu terlalu sensitif?''
Mungkin yang diturunkan bukanlah panji-panji UMNO atau Jalur Gemilang, tetapi ia adalah 'simbolik' besar dan satu 'amaran' yang mungkin berbunyi ''...kami akan menjatuhkan kerajaan walau macam mana sekali pun''.
Lihat sahaja di negara-negara lain, jika rakyatnya mahu menjatuhkan kerajaan mereka akan memijak atau membakar wajah pemimpin kuku besi mereka.
Tetapi di negara kita mereka ini menggunakan cara yang 'halus' tetapi membawa makna yang besar terutamanya dalam memikat naluri memberontak golongan muda dan mahasiswa untuk bangkit menentang kerajaan yang entah kenapa dan apa sebabnya.
Saya sukar memahami golongan mahasiswa ini kerana, saya sendiri merupakan bekas mahasiswa dan tidak dinafikan berfikiran kritikal terhadap kerajaan.
Revolusi yang berlaku di negara-negara Arab adalah kerana rakyatnya miskin, daif dan tidak mempunyai wang.
Tetapi jika kita lihat golongan yang sering mengadakan protes ini bukan sahaja badan mereka 'sihat-sihat' malah menggunakan gajet yang canggih-canggih semuanya.
Makan tidak usahlah kita cakap, semuanya dibawa ke hotel-hotel atau restoran mewah dan dijamu oleh 'para pejuang rakyat' yang menyogok mereka.
Apakah sebenarnya yang ingin diperjuangkan? Yang menyedihkan apabila pelajar Melayu yang sering dijadikan kuda tunggangan pihak-pihak tertentu.
Ingatlah bahawa segala tindak-tanduk yang dilakukan akan membawa kesan dan bencana yang besar kelak. Kita hidup di sebuah negara yang majmuk, tidak semua permintaan rakyat pelbagai kaum ini boleh dipenuhi. Bersyukurlah dengan apa yang ada sekarang dan membantu membina negara.
Kepada mahasiswa, anda semua usahlah perasan atau berangan dilabel sebagai pejuang revolusi.
Pejuang mahasiswa yang tulen adalah mereka yang pernah memperjuangkan negara daripada cengkaman penjajah pra-kemerdekaan dahulu seperti Mahathir Mohammad, Syed Jamaluddin Al-afghani dan Sheikh Muhd Abduh.
Bukan seperti anda yang hanya taksub menjatuhkan bangsa sendiri!
No comments:
Post a Comment