Janganlah takut...
Bisik-Bisik Mingguan
Shahabudeen Jalil, yang masih muda berazam tidak mahu makan gaji. Malah dia mahu melakukan sesuatu yang berbeza. Menyedari ramai peniaga kecil Melayu terlalu bergantung kepada pemborong yang ghairah mengaut keuntungan besar, Shahabudeen membuka jalan membantu mereka membeli terus barangan dari tanah besar China.
Ratusan peniaga kecil lega dan berterima kasih kepada beliau. Sesungguhnya ada peluang untuk mengubah keadaan. Awang angkat topi kepada orang muda seperti Shahabudeen. Seorang lagi, Mohd. Zainuri Mohd. Idrus tidak pernah makan gaji. Ketika belajar, dia sudah berniaga kecilan-kecilan untuk menampung kos pengajian agar tidak membebankan ibu bapa. Hari ini, Zainuri adalah usahawan berjaya yang menceburi pelbagai bidang termasuk industri pertanian dan pertahanan.
Pemilik Restoran Sekincan Ikan Bakar, Jamal Yusof tidak belajar tinggi. Dia bermula dengan menjual burger tetapi sekarang membina nama. Jamal juga mampu melawan putaran ganas orang tengah yang menyebabkan pengguna menanggung harga yang tinggi. Bukan mereka bertiga sahaja, ramai lagi yang berjaya kerana berani mengambil risiko untuk berniaga biarpun secara kecil-kecilan. Awang sentuh hal ini kerana resah dengan pembawaan ramai orang Melayu yang masih mengikat diri kepada makan gaji. Apatah lagi terlalu mengharapkan pekerjaan di sektor awam.
Kita kini berdepan dengan realiti dan cabaran baru. Janganlah biarkan hanya kaum tertentu sahaja menguasai bidang perniagaan dan keusahawanan. Ingatlah, margin perolehan yang tinggi bukan dengan makan gaji.
Maka jangan takut untuk menceburi bidang perniagaan asalkan berdisiplin dan sentiasa belajar meningkatkan pencapaian. Bina nilai diri dengan berdikari. Awang pun sudah penat makan gaji.
No comments:
Post a Comment