Monday, December 12, 2011

hasan ali pembela islam pun dipecat pas

Di mana 'silapnya' Dr. Hasan?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

TINDAKAN Pas menggugurkan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Hakikatnya, ramai yang sudah meramalkan bahawa karier politik Dr. Hasan sudah tidak selamat lagi apabila beliau begitu lantang memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan orang Melayu dan Islam di Selangor.

Dr. Hasan hanya akan selamat jika beliau mengikut dan akur dengan corak politik Pas yang bersedia mengorbankan segala-galanya demi menjaga hubungan politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Tetapi 'inilah silapnya' Dr. Hasan, beliau sudah terlupa bahawa Pas yang beliau anggotai sekarang bukannya Pas dulu iaitu Pas yang meletakkan kepentingan perjuangan Islam dan orang Melayu mengatasi segala-galanya.

Pas sekarang ialah Pas yang mengikut sahaja rentak dan kemahuan politik PKR dan DAP, sebab itulah Pas bersedia menggugurkan perjuangan melaksanakan hukum hudud di dalam manifesto pilihan raya akan datang dan hanya terhad di Kelantan dan Terengganu saja.

Sebelum ini, bukannya Dr. Hasan tidak tahu bahawa Pas juga dilihat melakukan pengorbanan tidak berasas apabila bersedia menggugurkan perjuangan negara Islam dan menggantikannya dengan negara berkebajikan.

Semua ini Pas lakukan demi menjaga hati PKR dan DAP, oleh itu kenapakah Dr. Hasan masih lagi hendak memperjuangkan Islam dalam kerajaan negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang?

Tidakkah Dr. Hasan faham bahawa dalam Pas sekarang, tiada lagi istilah pejuang seperti mana beliau lakukan, sebaliknya hanya pengikut.

Kalau hendak selamat dalam politik Pas, ikut sahaja apa kata pemimpin dan taat kepada kesepakatan yang dicapai dengan PKR dan DAP.

Itulah yang sepatutnya Dr. Hasan lakukan bukannya bercakap atas nama kebenaran demi menegakkan perjuangan Islam, apatah lagi mempertahan akidah orang Islam di Selangor.

Tindakan Dr. Hasan berbuat demikian hanya akan 'melukakan hati' PKR dan DAP, bila mereka ini tersinggung, sudah tentulah ia akan menyusahkan kepimpinan Pas yang begitu mahu menjaga hati golongan berkenaan supaya Pas tidak ditinggalkan dalam mengejar impian ke Putrajaya.

Sepatutnya, Dr. Hasan faham bahawa Pas kini ingin berkuasa bersama PKR dan DAP, oleh itu yang mana mereka boleh korbankan, mereka korbankan biar pun berkaitan dengan prinsip perjuangan sendiri.

Justeru tidak perlulah Dr. Hasan bersusah payah hendak memastikan pentadbiran kerajaan negeri yang turut dianggotai oleh Pas melaksanakan perkara-perkara berkaitan Islam.

Tambahan pula, semua orang tahu siapa sebenarnya lebih berpengaruh di Selangor, biar pun jawatan Menteri Besar disandang oleh PKR.

Oleh itu, Dr. Hasan sepatutnya bersetuju sahaja apa yang dibuat oleh kerajaan negeri, biar pun bertentangan dengan Islam kerana beliau hanya exco dalam kerajaan negeri dan tidak memegang apa-apa jawatan utama dalam parti kecuali Ahli Jawatankuasa Pas pusat.

Kalau pun Dr. Hasan hendak berjuang bermati-matian untuk memastikan Pas tidak dilihat sebagai 'pak turut' di Selangor dan pusat, mampukah Dr. Hasan melawan arus? Di dalam Pas, kelompok mana yang lebih menguasai barisan kepimpinan, ulama atau profesional?

Tidakkah Dr. Hasan belajar bagaimana dengan nasib Kerajaan Pas Kedah yang terpaksa membatalkan keputusan tidak membenarkan pusat hiburan beroperasi pada bulan Ramadan lalu kerana dibantah oleh DAP dan disokong oleh Pas Pusat?

Oleh itu tidak perlulah Dr. Hasan hendak menyusahkan diri mahu memperjuangkan Islam di dalam Pas, orang yang bersemangat pejuang seperti Dr. Hasan tidak ada tempat.

Dr. Hasan perlu memahami untuk menjadi pemimpin Pas yang selamat dan boleh terus diberi peluang bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, beliau jangan bercakap soal memperjuangkan perkara menyentuh mengenai masa depan orang Melayu dan umat Islam.

Beliau mesti serasi dengan kehendak kepimpinan Pas yang mahu melihat parti itu senada dengan DAP dan PKR kerana matlamat utama ialah menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Walaupun Dr. Hasan sudah nampak Pas semakin tersasar jauh daripada landasan perjuangannya, beliau jangan kata apa-apa, sebaliknya ikut sahaja.

Amalkan sikap politik seperti pemimpin-pemimpin Pas yang lain diam seribu bahasa atas alasan 'kami taat kepada pemimpin', biar pun Pas kini dilihat sudah tersasar dalam memastikan al-Quran, hadis, ijma' dan qiyas sebagai sumber utama dalam semua tindak tanduk dan kaedah parti itu berpolitik.

Malahan Dr. Hasan perlu faham, selagi beliau berada di dalam Pas, janganlah cuba hendak memperjuangkan nasib orang Melayu.

Ini kerana beliau pun tahu, akibat berkawan rapat dan menjalin kerjasama politik dengan PKR dan DAP, soal Melayu dan Islam ini seolah-olah sudah diletak ke tepi oleh Pas.

Malahan ada antara mereka dengan lantang menuduh UMNO parti perkauman hanya semata-mata kerana UMNO mempertahan hak dan keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan.

Justeru apabila Dr. Hasan bercakap soal orang Melayu, maka beliau dilihat mempunyai nada UMNO.

Ini kerana pada pandangan mereka, pemimpin Pas perlu berpegang kepada slogan 'Pas Untuk Semua' yang dilancarkan baru-baru ini demi mencapai hasrat Pas meraih undi bukan Melayu.

Demikianlah sedikit catatan mengenai 'kesilapan' Dr. Hasan yang memungkinkan beliau telah digugurkan daripada menjadi calon Pas dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengguguran Dr. Hasan pasti akan menggembirakan DAP dan menyeronokkan PKR kerana orang yang mereka anggap menjadi 'duri dalam daging' serta penghalang untuk mereka melakukan tindakan yang boleh menggugat kedudukan orang Melayu dan Islam sudah tiada.

Malahan DAP dan PKR juga kini boleh berpesta kerana tindak terbaru Pas ke atas Dr. Hasan mengesahkan bahawa Pas kini sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik menawan Putrajaya.

DAP dan PKR sudah pasti tidak perlu takut lagi jika Pas hendak membuat tuntutan apa-apa kerana Pas tidak memiliki sebarang kekuatan sebaliknya hanyalah 'pak turut'.

Nasib Dr.Hasan seharusnya menyedarkan mereka yang masih mahu menyokong Pas, apakah parti seumpama itu yang mereka mahukah?

Wajarkah seorang pemimpin yang berjuang demi kepentingan Islam dan orang Melayu disingkirkan semata-mata demi untuk mengejar kuasa politik bersama DAP dan PKR?

Kalau sekarang belum memerintah bersama pun Pas sanggup melakukan segala-galanya demi memuaskan hati kedua-dua parti berkenaan, bagaimana jika selepas memerintah? Apakah ada jaminan bahawa Pas boleh mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam di negara ini? Nasib Dr.Hasan boleh dijadikan 'isyarat'.

No comments:

Post a Comment