Dr. M cabar Anwar bersumpah
TASEK GELUGOR 17 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan bekas Perdana Menteri itu pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk meminta bantuan semasa krisis kewangan pada 1999 seperti yang didakwa.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pernah berbuat demikian sebaliknya menolak permintaan daripada Bank Dunia yang datang untuk menawarkan bantuan.
"Saya minta dia (Anwar) tunjukkan surat itu kalau ada. Saya yang menolak semasa wakil Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) datang nak tawarkan bantuan dana.
"Saya nak suruh dia bersumpah menjunjung al-Quran bersama saya jika benar saya menulis surat itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Multaqa Wedatul Ummah Ketiga anjuran Persatuan Kariah-Kariah Masjid Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Kariah-Kariah Masjid Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberitahu, beliau ada bersama Dr. Mahathir ketika wakil IMF tersebut datang menemui mereka.
"Tun (Dr. Mahathir) menghalau mereka keluar dari pejabatnya," katanya yang ketika itu merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara.
Laman portal propembangkang semalam melaporkan, kelmarin ketika berucap pada majlis makan malam membincangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang turut dihadiri wakil kedutaan asing, Anwar mendakwa Dr. Mahathir ada menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.
Anwar berkata, pada tahun 1993, beliau juga pernah menulis kepada Bank Dunia atas kapasitinya sebagai menteri kewangan ketika itu untuk menolak bantuan kewangan.
Katanya, walaupun beliau mempengerusikan jawatankuasa pembangunan IMF dan Bank Dunia, beliau berpendapat Malaysia tidak memerlukan dana itu.
Bagaimanapun, dakwanya lagi, pada 1999, Mahathir menulis kembali kepada Presiden Bank Dunia dan merayu untuk dana dan pinjaman. - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment