Sunday, December 25, 2011

kacau lagi

'Kenapa baru sekarang?'
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 25, 2011
'Kenapa baru sekarang?'
GEORGETOWN - “Sudah 40 tahun saya berniaga di sini, tidak ada siapa kacau, kenapa sekarang mahu kacau?,” demikian kata-kata yang dikeluarkan seorang peniaga char kuey teow paling popular di negeri ini apabila kedainya diserbu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kerana kotor.

Ketika serbuan dilakukan, didapati peniaga berkenaan meletakkan pinggan-pinggan yang digunakan untuk pelanggan di atas lantai begitu sahaja.

Malah pinggan kotor juga diletakkan secara merata di bahagian pintu masuk ke kedai kopi.

Bukan itu sahaja, MPPP juga mendapati peniaga wanita itu mencuci peralatan kotor di longkang dengan sisa minyak yang mengalir ke dalam parit utama.

Pengerusi Gantian Tetap Kesihatan Awam, Ong Ah Teong berkata, MPPP sudah menerima begitu banyak aduan daripada pelancong mengenai masalah di kedai berkenaan.

Salah satunya ialah masalah sikap penjual makanan berkenaan, namun ia bukan di bawah bidang kuasa MPPP, tetapi terbaru seorang pelancong mengemukakan aduan mengenai masalah kebersihan di situ.

“Ketika membuat pemeriksaan secara mengejut sememangnya keadaan kedai tidak bersih walaupun ia adalah kedai makanan yang paling popular di negeri ini.

“Kedai itu dikatakan popular kerana mendapat sambutan di kalangan pelancong tempatan dan juga luar negara.
“Tetapi kerana adanya masalah kebersihan dan juga sikap peniaga yang kurang memuaskan membuatkan ia kurang disenangi orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemeriksaan gerai-gerai di Lorong Selamat Georgetown, turut sama ialah 14 kakitangan MPPP.

Bukan sahaja mencuci di atas lantai, peniaga itu juga menyebabkan jalan di Lorong Selamat itu sesak akibat sikapnya yang meletakkan troli perniagaan bergeraknya di situ.

Ketika ditanya, peniaga itu berkata, dia terpaksa meletakkan lagi satu tempat memasak di bahagian luar kedai kerana menerima pelanggan yang begitu ramai.

“Saya ada kedai kopi sendiri, dan dalam kedai juga ada jual char kuey teow tapi pelanggan terlalu ramai, saya tidak boleh kendalikan seorang diri.

“Jadi kakak saya menguruskan satu lagi kedai di luar, kami terpaksa kerana orang begitu ramai,” katanya.

Akibatnya dia dikenakan kompaun oleh MPPP mengikut Akta Establishment Makanan iaitu kedai kopi yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sebanyak RM250.

Sementara kompaun bahan sisa tercemar juga dikenakan kompaun sebanyak RM250, tidak menjalankan suntikan thyphoid denda sebanyak RM80 dan kedai penjaja di bahagian luar yang tidak berlesen pula dikenakan kompaun sebanyak RM50.

Katanya, peniaga berkenaan diberikan masa selama tujuh hari untuk memindahkan troli bergeraknya masuk ke bahagian dalam kedai.

Jika gagal mengikut arahan, MPPP tidak akan teragak-agak untuk merampas kesemua barangan peniaga berkenaan.

Selain kedai popular itu, tujuh kompuan lain juga turut dikeluarkan oleh MPPP.

“Ini adalah operasi terakhir yang dijalankan oleh saya bagi tahun ini, namun ia akan tetap diteruskan oleh jabatan-jabatan yang berkaitan di dalam MPPP,” katanya.

No comments:

Post a Comment