Monday, December 19, 2011

warga kemboja dari blog bersamamazidul

Awal petang semalam saya berusaha mencari rakan untuk bersama melakukan tinjauan ke Kubu Gajah, Selangor. Namun majoriti mereka sibuk dan tidak menjawab panggilan telefon saya.

"Bro, nanti saya hubungi adik saya, Bob," ujar kru 666, Razali Harun.

Jam 4.15 petang, Razali menelefon saya kembali.

"Bob sekarang berada di Sungai Buloh, saya sudah maklumkan dia, dia tunggu bro pada jam 5 petang dekat masjid besar," ujar Razali.

Bertahun saya ingin meninjau Kampung Kubu Gajah, penempatan begitu sinonim dengan warga pelarian Kemboja.

Hampir setiap kali terserempak pengemis warga sama, saya dimaklumkan mereka menetap di kampung itu.

Baca di sini dan di sini.


Saya kemudian memandu ke Sungai Buloh dan bertemu Bob atau nama sebenarnya Mohd Azhar@Abdul Hadi Harun, 26 tahun.

Bob memandu bagi memudahkan saya merakamkan gambar dalam perjalana ke lokasi.


"Pencawang elektrik itu, boleh dianggap sempadan di antara Paya Jaras dan Kubu Gajah. Selepas pencawang, abang akan nampak majoriti rumah warga Kemboja," jelas Bob.


Sebaik melintasi pencawang, kami membelok ke kanan. Spontan saya terlihat kanak-kanak menaiki basikal dan duduk di tepi jalan tanpa tar.


Selepas merakamkan gambar mereka, Bob memandu kereta ke arah Jalan Kubu Gajah 23. Sebaik kenderaan bergerak, saya terfikir, tidakkah Akta Pengangkutan Jalan 1987 diaplikasikan di kawasan itu?

Sebebas kanak-kanak di atas berbasikal, begitu juga majoriti pengguna jalanraya bebas menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. 

Berikutan tidak gemar membuat dakwaan tanpa bukti justeru banyak gambar saya rekodkan untuk tatapan semua pembaca setia blog ini.


Hairan, bagaimanakah ibu bapa tergamak membiarkan anak mereka bermaharajalela menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar.


Untuk rekod, kini penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ, berkuasa mengambil tindakan terhadap pengguna jalanraya melanggar undang-undang di SEMUA jenis jalan di negara kita, sila klik di sini

Andai pembaca mempunyai kenalan di JPJ, sila sebarkan maklumat ini.

"Abang tengok itu," kata Bob.


Berikutan permintaan saya, Bob kemudian memberhentikan kereta di tepi jalan, pantas saya turun dan bergerak ke arah gerai didirikan di tepi jalan.

"Itu perut (usus) lembu, kita cuci bersih dan masukkan daging di dalam, sausage," kata peniaga wanita.


Selain sausage itu, saya berpeluang merekodkan gambar beberapa jenis lagi makanan lain dijual oleh peniaga Kemboja terbabit, antaranya ikan haruan salai.


Ingin benar saya bertanyakan status lesen perniagaan mereka tetapi perasaan tiba-tiba bertukar sayu sebaik terlihat gadis cilik berniaga di gerai sebelah.

Saya dimaklumkan Kampung Kubu Gajah berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam, MBSA.

"Satu ikat sayur, ada satu ringgit dan ada lima puluh sen," tuturnya petah berbahasa  Melayu.


"Ini sayur apa?," soal saya.


"Teratai, banyak dalam tasik," balasnya.

Menurut Siti Nora Sulaiman, 8 tahun, dia hanya menuntut di sekolah agama, tidak di sekolah kebangsaan. Pada musim cuti sekolah Nora membantu ibu dan ayah menjual sayur.

"Ayah dengan emak keluar mencari sayur, saya berniaga di sini dari pagi sampai petang," tambahnya.


"Berapa ringgit sayur sudah dijual sejak pagi?," spontan saya mengajukan soalan.

"Lima ringgit, orang beli sikit," jawabnya.

Saya menghulurkan sepuluh ringgit tanpa mengambil sayur dijual oleh Nora. Simpati melihat usaha gigih peniaga comel puas duduk dan berdiri di tepi jalan.


"Saya hanya pergi sekolah agama. Pagi, ayah menghantar ke sekolah naik motosikal, bila balik waktu petang, singgah ambil adik di tadika dan berjalan kaki pulang ke rumah sebab ayah keluar mencari sayur. Saya ada dua adik lelaki berumur 3 dan 5 tahun," jelas Nora.

Saya dimaklumkan, jika ayah berstatus warganegara Malaysia dan ibu hanya pemiliki passport Kemboja, anak mereka masih berpeluang bersekolah di negara ini. Jika ayah bukan warganegara, anak tidak layak menuntut di sekolah kebangsaan justeru mereka dihantar ke sekolah agama sebagai alternatif. 

"Datang ke sini hendak ambil gambar apa?," soal Nora.

Saya kemudian mengusiknya.
"Abang itu hendak kahwin tetapi tidak apa perempuan hendak dengan dia, datang sini untuk mengambil gambar gadis Kemboja," kata saya merujuk kepada Bob.

"Kahwin sahaja dengan perempuan gemuk," balasnya spontan.

"Kenapa perempuan gemuk?," soal saya.


"Perempuan gemuk, perempuan juga tetapi orang lelaki jarang hendak berkahwin dengan dia," jawabnya selamba.


Tercuit hari saya mendengar jawaban Nora memandangkan usianya masih mentah tetapi mulutnya petah bercakap.

Saya melihat Bob tenang merakamkan gambar.

"Bob! Jom minum, saya belanja," saya mempelawa rakan sudah berpunya itu.

"Kalau hendak kawankan boleh, minum sekali? Maaf, tidak boleh masuk," balasnya perlahan.

Saya percaya selera Bob hilang selepas melihat kebersihan diabaikan oleh pengusaha gerai menjual makanan berhampiran lokasi kami berdiri.


"Itu tanah siapa?"

Soalan itu saya kemukakan kepada lelaki Kemboja menghampiri kami. Barangkali dia berasa hairan memerhatikan saya dan Bob sibuk merakamkan gambar di kawasan sekitar.

"Orang Melayu punya," jawabnya ringkas.


Lihat keadaan deretan kedai didirikan berhampiran kawasan berpagar itu.


"Abang tinggal di rumah sewa?," tanya saya.

"Rumah sendiri tetapi sewa tanah orang Melayu, bayar seratus ringgit sebulan," katanya.

Tambahnya, dianggarkan terdapat lebih seribu rumah warga Kemboja di Kampung Kubu Gajah. Secara kasar, jika setiap rumah dihuni lima orang, lebih 5 ribu warga negara sama menetap di situ.

Menurut sejarah, ribuan warga Kemboja melarikan diri ke Malaysia sewaktu zaman pemerintahan zalim Pol Pot, Perdana Menteri Kemboja di antara tahun 1975 dan 1979. Untuk rekod, dianggarkan lebih 3 juta rakyat negara itu terkorban sewaktu era pemerintahannya.

Baca fakta berhubung kekejaman Pol Pot di sini.

"Dulu memang ramai orang kosong (pelarian tanpa dokumen perjalanan sah) di sini tetapi sekarang berita di televisyen kata banyak kilang dibuka di Kemboja. Jadi mereka sudah ramai balik," kata Dara Abdullah.

Dara, 48 tahun, ibu 3 anak berusia di antara 4 dan 25 tahun, berkahwin dengan lelaki tempatan, kakitangan kerajaan, saya temui di gerai berhampiran.


"Saya anak Malaysia bukan Kemboja!," celah anak bongsunya.

"Betul, dia dilahirkan di Hospital Selayang. Orang Kemboja kalau tidak ada kad pengenalan susah sebab bersalin secara normal di hospital kerajaan kena bayar RM1,000, kalau operation RM3,000. Hendak pergi ke hospital swasta, bayaran lagi mahal, normal, RM3,000 dan kalau operation, lebih kurang RM6,000," jelas Dara.

"Dulu masa di Kemboja, agama apa?," soal saya.

"Buddha, kemudian bila datang ke Malaysia, saya masuk Islam. Di Kemboja ada dua agama sahaja, Islam dan Buddha, sekarang ini baru ada Kristian," balas Dara.


"Awak datang ke Malaysia menggunakan dokumen apa?," soal saya kepada lelaki berdiri di belakang Dara.

"Permit," katanya.

"Tidak baik menipu. Berapa bulan awak boleh tinggal di sini?," desak saya.

"Dua bulan kemudian kena keluar dari Malaysia, cop passport sebelum masuk balik," jawabnya.

"Awak keluar ke? Cuba cakap jujur sikit," soal saya.

Dia hanya tersenyum.

Majoriti warga asing bertandang ke negara kita menggunakan visa lawatan sosial, kononnya ke sini untuk melancong tetapi kemudian menetap di Malaysia melebihi tempoh masa ditetapkan, 2 bulan. Sekaligus mereka melanggar Akta Imigresen 1959/63. Ramai juga warga asing didapati menyalahgunakan permit kerja dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen. Contohnya, memasuki Malaysia menggunakan permit pekerja sektor perladangan kemudian mengeluh sukar, mereka melarikan diri dari majikan dan kemudian berkhidmat dalam sektor pilihan sendiri.


"Di Malaysia, kalau jumlah jualan bulanan kedai melebihi RM20,000 baru pemilik boleh menggunakan pekerja orang Kemboja," celah Dara.

Sebagai pemilik kedai, dia pastinya lebih arif berbanding saya berhubung hal itu. Menurut peniaga itu, premis terbabit disewa dengan harga RM600 sebulan.

"Bulan Julai lalu, ada operasi besar-besaran. Polis dan imigresen menyerbu kampung ini dan menangkap ramai orang kosong," jelas Dara lagi.

Sewaktu beredar, saya terlihat kawasan lapang di bawah pencawang elektrik dipenuhi pelbagai jenis tanaman. 

Terlintas persoalan di fikiran, sejak bila Tenaga Nasional Berhad, membenarkan ruang seperti itu diusahakan? Barangkali pegawai dan kakitangan syarikat korporat itu tidak menyedari kegiatan berlaku biar pun pokok tebu ditanam kelihatan hampir sama tinggi berbanding bumbung rumah berhampiran.


Firasat saya, andai tanah itu diusahakan orang tempatan, lazimnya sudah pasti tindakan lebih awal dilaksanakan  oleh pihak berkuasa. 
 


Lihat sahaja sebilangan peniaga goreng pisang dan nasi lemak warga tempatan beroperasi tanpa lesen perniagaan di tepi jalan, mereka disaman berulangkali oleh pihak berkuasa tempatan.

Kampung Kubu Gajah barangkali terlalu istimewa lalu tindakan penduduk tidak boleh dipertikaikan.  

Saya dan Bob kemudian meneruskan tinjauan biar pun matahari kelihatan sudah hampir tenggelam di ufuk langit.

"Di hujung itu sudah masuk kawasan Subang," jelas Bob sambil memandu.


Perlahan saya berjalan bersama Bob menuju ke arah deretan kedai dan bertemu peniaga, Aishah Ali, 47 tahun, juga warga Kemboja.


"Berapa lama sudah berniaga di sini?," soal saya.

"Lebih kurang lima bulan. Sewa kedai ini murah, sebulan 50 ringgit sahaja," balas ibu kepada 10 anak itu.

Menurutnya, sewa terbabit dibayar kepada MBSA dan tanpa diminta dia menunjukkan dokumen pendaftaran perniagaan (bukan lesen perniagaan kepada saya).


Hemat saya, pasti ramai peniaga Melayu bakal melakukan sujud syukur setiap hari jika mereka juga berpeluang membayar kadar sewaan premis perniagaan semurah itu.

RM50 sebulan.

Tidak salah membantu warga pelarian tetapi usah sampai kera di hutan disusukan, anak di riba mati kelaparan.

Beruntung benar wanita itu, biar pun berhijrah ke Malaysia sewaktu berstatus pelarian, setelah puluhan tahun bermastautin di bumi bertuah ini, dia mampu membesarkan kesemua anaknya.

"Sepuluh anak saya ada MyKad," ujar Aishah.


Aishah kelihatan amat berbangga menunjukkan kepada saya MyKad dua daripada anaknya, tidak seperti sebilangan kita, kekadang tidak berkisah biar pun bertahun kehilangan kad pengenalan. Malahan segelintir rakyat Malaysia terpaksa diperingatkan oleh Jabatan Pendafataran Negara untuk mengambil MyKad tidak dituntut.

Lihat gambar kedai lain disewa oleh warga Kemboja sebaris kedai Aishah. Premis kelihatan tidak tersusun, barangan bersepah dan kotor tetapi adakah penguatkuasa MBSA kisah?


Beranikah mereka menguatkuasakan peraturan di 'kubu' Kemboja ini?


Berhadapan deretan kedai itu, tanah lapang kelihatan sedang giat dibangunkan.


Saya kemudian terlihat lelaki Kemboja di tapak pembinaan rumah di kiri laluan masuk ke kawasan lapang.


"Rumah siapa di belakang itu?," soal saya.

"Mak cik," jawabnya.

Saya cuba bertanyakan beberapa soalan lain tetapi kecewa kerana mendapati dia tidak fasih berbahasa Melayu.


Teruja saya melihat saiz rumah bakal diperbesarkan itu dan sekaligus terfikir, ramai rakyat Malaysia tidak mampu mendirikan tempat tinggal sebesar itu. 

"Ambil gambar! Ambil gambar!" 

Saya terdengar teriakan itu.


Lalu saya tunaikan permintaan puluhan anak kecil sedang bermain rounders di padang berhampiran dan mereka semua kelihatan gembira.

"Mari tengok gambar," pelawa saya.


Beberapa saat kemudian, saya telah dikelilingi lebih ramai kanak-kanak lain.


"Siapa pergi sekolah?," tanya saya kepada mereka.

Majoriti mereka mengangkat tangan sebelum saya terdengar kenyataan agak mengejutkan dilontarkan oleh seorang daripada kanak-kanak di hadapan saya.

"Dia tidak pergi ke sekolah sebab emak dan ayah dia kosong"

Spontan saya melihat anak kecil dimaksudkan.


"Awak pandai membaca?," tanya saya keapda gadis itu.

Dia menggelengkan kepala dan wajahnya kelihatan sayu.


"Kalau dia tidak tahu membaca, awak semua sebagai kawan kena ajar dia, boleh?," kata saya.

"Boleeeeeeeeh!," teriak rakan gadis berusia 10 tahun itu.

Saya kemudian dimaklumkan oleh Bob, gadis itu menemuinya.

"Tadi budak itu cakap, pandai pandai kawan kata dia tidak mahu ke sekolah. Sebenarnya dia hendak belajar tetapi ayah dan emak dia barangkali tidak memiliki dokumen untuk melayakkan dia bersekolah," jelas Bob.

Jika benar dakwaan rakan gadis itu, hak asasi kanak-kanak untuk mendapat pendidikan tidak dipatuhi.

Itu fakta.


Kanak-kanak kekadang nakal dan perkataan terkeluar dari mulut mereka tidak mampu dijangka.

"Itu anak Bangladesh, emak dia Kemboja!," usik mereka.

Pantas Ismail Abdullah, 8 tahun menolak rakannya dengan ganas.


Pantas saya menenangkan keadaan.

"Jangan bergaduh, awak semua kawan," ujar saya.

"Ayah dan emak saya ada IC lah," celah Ismail.

Saya kemudian meminta kanak-kanak itu menjadi penterjemah.

"Tanya dia, berapa lama dia sudah tinggal di sini?," pinta saya.


Mereka kemudian bercakap dalam bahasa Kemboja.

"Tiga tahun," kata gadis berbaju merah.


Gadis berusia 12 tahun itu kedengaran petah berkata-kata.

"Tolong tanyakan, dia kerja apa?," ujar saya.

Gadis sama kemudian mengajukan soalan itu dalam bahasa ibunda mereka.

"Jual kain dan baju di pasar malam," jelasnya.

Status pekerjaan lelaki itu terjawab dan saya berasa puas hati.

Dari awal saya melangkah ke kawasan lapang terbabit, mata saya terpaku memerhatikan rumah dua tingkat tersergam indah di tepi padang.


"Itu rumah orang Kemboja juga ke?," soal saya.

"Ya," balas mereka serentak.

Ternyata sebilangan warga Kemboja kini hidup mewah di Kubu Gajah.


"Tuan rumah itu tidak pakai kereta tetapi dia ada tiga motosikal dan dua anak. Kalau pergi beraya di ruamh dia, kami hanya dapat 30 atau 40 sen seorang," kata mereka.

Saya tersenyum, kanak-kanak selalunya bercakap jujur dari hati.


"Siapa nama dia?," tanya saya spontan sebaik terlihat kelibat remaja di atas.

"Hanafi Ashaari!," teriak mereka.

"Dia penyanyi k-pop (Korean pop) ke?," usik saya.

"Bukan! Dia Justin Beiber! K-pop itu apa?," gurau mereka.


Hanafi tersipu-sipu malu. Tidak disangka, di kalangan kanak-kanak berketurunan Kemboja terbabit, Justin Beiber lebih terkenal berbanding penyanyi k-pop.

Pendirian saya, perlaksaan undang-undang tidak seharusnya memilih bulu.

Pada masa sama, pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa wajar memantau kegiatan warga Kemboja di Kampung Kubu Gajah, penempatan diwujudkan lebih 30 tahun lalu itu secara konsisten. Membantu warga pelarian itu satu usaha murni tetapi pemerintah harus sedar, sebilangan mereka kini hidup mewah dan berupaya membantu rakyat senegara.
Catatan Lama

No comments:

Post a Comment