Friday, December 23, 2011

rakyat malaysia patut bersyukur

Bersyukurlah dengan kemudahan kesihatan

RAKYAT BERSYUKUR
Ulu Kinta, Perak

SABAN hari, banyak paparan surat pembaca di akhbar perdana yang menyiarkan perasaan tidak puas hati terhadap perkhidmatan kesihatan kerajaan. Saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai isu ini.

Pengalaman sebagai doktor pergigian kerajaan selama lima tahun lepas banyak membuka mata saya. Memang betul wang yang kerajaan subsidikan untuk kesihatan penduduk asalnya daripada rakyat juga, daripada rakyat kepada rakyat.

Namun, pernahkah kita terfikir, tanpa perkhidmatan murah yang kerajaan sediakan, mampukah seorang pesakit mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dengan harga sebenar?

Contohnya, seorang tua mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan perlukan cabutan gigi. Cuba anda bayangkan berapa banyak jenis ubat beliau perlukan setiap bulan, ditambah pula dengan cabutan gigi-gigi yang diperlukan? Hanya dengan membayar RM2 sekurang-kurangnya (RM1 di klinik kesihatan, RM1 lagi di klinik gigi), beliau mampu mendapat rawatan maksimum.

Bayangkan berapa ribu ringgit yang perlu dibayar kepada hospital swasta untuk mendapatkan rawatan yang sama. Sudahlah kena dapatkan ubat setiap bulan.

Namun, walaupun perkhidmatan murah dengan kualiti optimum diberikan, rakyat Malaysia masih tidak pernah bersyukur. Mereka hanya nampak apa yang mereka tidak puas hati, tetapi tak pernah berterima kasih kepada kami pemberi rawatan murah dan harga yang bagai 'tidak masuk akal' ini.

Saya terpanggil untuk menulis surat ini bagi meluahkan rasa tidak puas hati saya melihat gelagat segelintir pesakit di klinik kerajaan. Banyak contoh yang saya boleh berikan bagi menunjukkan perangai tidak tahu bersyukur mereka ini. Lambat sikit menunggu, mulalah merungut, walhal mereka nampak dengan mata kepala mereka sendiri berapa ramai pesakit yang menunggu dan memerlukan rawatan seperti mereka.

Itulah harga yang saya rasa perlu dibayar bagi menyediakan perkhidmatan kepada mereka ini. Cubalah anda lihat sendiri surat-surat pembaca di akhbar merungut dan menyalahkan mutu kualiti perkhidmatan kesihatan kerajaan. Walhal, ia mungkin hanya sebahagian daripada 'dahan-dahan yang busuk'. Namun persepsinya jabatan kerajaan semua teruk mutunya.

Cuba anda cari surat pembaca yang memuji kualiti atau harga murah bagi mendapatkan rawatan yang telah diberikan. Jawapannya, tiada. Rakyat yang tidak tahu bersyukur semestinya tidak pernah nampak apakah perkara positif yang mereka dapat daripada klinik kerajaan. Yang mereka nampak ialah apa yang kurang. Itulah manusia, tak pernah bersyukur dan berterima kasih. Ini saya hanya huraikan dari aspek kesihatan, belum lagi aspek akademik anak-anak kita.

Sebagai rakyat Malaysia, banyak lagi hal lain yang perlu kita bersyukur dan berterima kasih di atas segala budi yang telah kerajaan sumbangkan. Jangan pula hanya melihat benda-benda yang kita rasa tidak menguntungkan kita seperti harga minyak, bayaran tol dan sebagainya. Atau bertempik terlalak di tepi jalan, namun tidak pernah memanjangkan ucapan berterima kasih di dalam aspek-aspek lain yang diberi.

Ingatlah, perkhidmatan kesihatan kerajaan mempunyai impian menyediakan perkhidmatan kualiti optimum, walaupun tidak mencapai kualiti maksimum.

No comments:

Post a Comment