Saturday, December 24, 2011

masih tidak puas hati

Penduduk masih tidak puas hati


PENDUDUK yang kelihatan marah meluahkan rasa tidak puas hati mereka dalam pertemuan dengan Abdul Khalid Ibrahim pada Program Perjumpaan Bersama Penduduk Kampung Sri Aman di Kuala Selangor semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI


KUALA SELANGOR 23 Dis. - Meskipun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap isu pemilikan tanah di Kampung Sri Aman di sini telah selesai, namun masih ada penduduk yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu.
Ini kerana, kerajaan negeri hanya bersetuju untuk memberi pemilikan tanah kepada 111 penduduk meskipun penduduk mendakwa jumlah sebenarnya adalah seramai 149 orang.
Abdul Khalid berkata, selepas bancian yang dibuat oleh Pejabat Tanah Kuala Selangor setahun lalu, pihaknya mendapati sebanyak 111 penduduk layak menerima tanah berkeluasan 4,000 kaki persegi di kampung tersebut.
Jelasnya, mereka yang terpilih untuk menerima pemilikan tanah tersebut hanya perlu membayar wang premium sebanyak RM1,000 walaupun harga pasaran tanah tersebut bernilai kira-kira RM20,000.
"Mereka bagaimanapun diberi pilihan sama ada untuk menerima pemilikan tersebut atau sebaliknya dan sekiranya enggan menerima tanah tersebut, mereka diberi pilihan untuk menjualnya dengan harga pasaran kepada kerajaan negeri.
"Untuk itu, mereka diberi masa selama dua minggu bermula hari ini untuk membuat keputusan tetapi kerajaan negeri menasihati mereka agar menerima pemilikan tanah tersebut," katanya kepada pemberita selepas Program Perjumpaan Bersama Penduduk Kampung Sri Aman di sini, hari ini.
Laporan akhbar sebelum ini menyebut penduduk Kampung Seri Aman membantah cadangan pembinaan projek perumahan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri di kawasan penempatan mereka.
Penduduk sebaliknya mendesak Menteri Besar mengotakan janji pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu iaitu memberi geran tanah kepada mereka.
Mengulas lanjut, Abdul Khalid yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu berkata, mereka yang tidak terpilih menerima pemilikan tanah tersebut tetap diberi peluang untuk memilikinya dengan membuat bayaran sebanyak RM5 sekaki persegi.
Sementara itu, seorang penduduk, P. Loganathan, 56, kecewa kerana namanya tidak terpilih sebagai penerima pemilikan tanah tersebut walaupun dia telah lebih 50 tahun menetap di situ.
"Saya tidak faham mengapa saya tidak terpilih untuk memiliki tanah tersebut dan hari ini Menteri Besar beritahu, kami yang tidak terpilih ini perlu membayar RM5 sekaki persegi sekiranya mahu memiliki tanah tersebut dan ini tidak adil kerana kami tidak mampu untuk membayarnya.
"Contohnya, sekiranya tanah tersebut berukuran 4,000 kaki persegi, ini bermakna kami perlu membayar sebanyak RM20,000 untuk memilikinya, kami mana ada duit sebanyak itu," tegasnya.
Seorang lagi penduduk, R. Anthonysami, 53, berkata, Abdul Khalid ternyata gagal menyelesaikan masalah penduduk dengan baik walaupun menabur pelbagai janji ketika berkempen semasa pilihan raya umum lalu.
"Ketika berkempen pada pilihan raya lalu, mereka janji mahu beri geran pada kami, tapi hingga hari ini janji itu tidak dikotakan, saya sudah serik mengundi calon wakil rakyat seperti ini," katanya.

No comments:

Post a Comment