Ada pihak cuba sabotaj BN
Oleh : SH SElANGOR / Nor Azihan Md Ghazali
Tarikh : December 15, 2011
KAPAR - Pemuda Umno Bahagian Kapar mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penyebaran Borang Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang didakwa disalahgunakan pihak tertentu.
Ketuanya, Mohd Roslee Abdul Hamid mendakwa, terdapat pihak tertentu yang cuba mensabotaj tindakan yang dilakukan BN dengan turut sama mengedar borang berkenaan kepada orang ramai kemudian mengambil kembali borang dan membuangnya.
“Walaupun kita tiada bukti namun kita dapat menghidu perbuatan ini. Kita akan terus mendapatkan bukti agar pihak berkenaan dapat didakwa ke muka pengadilan.
“Kita yakin perbuatan ini dilakukan pihak yang tidak puas hati dengan tindakan BN yang berusaha menjaga kebajikan rakyat walaupun pihak lawan sering mengecam apa yang kita lakukan,” katanya.
Malah menurutnya, perbuatan itu juga sengaja dilakukan dengan tujuan untuk melabelkan BN sebagai menipu rakyat sedangkan mereka yang melakukan perbuatan itu lebih teruk dan tiada perikemanusiaan tambahan lagi golongan yang mengisi borang adalah golongan yang susah.
Oleh itu beliau meminta orang ramai supaya berwaspada dengan perkara ini dengan mengambil borang tersebut menerusi saluran tertentu yang diiktiraf sama ada di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh kawasan.
“Lebih elok jika borang yang sudah siap diisi dikembalikan ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setiap daerah supaya ia terus diproses selain keselamatannya yang terjamin,” katanya.
No comments:
Post a Comment