Monday, December 26, 2011

mahasiswa alat pembangkang ni xcerdik mana pun

Siapakah mahasiswa ini?

JAMAL LULKHIR JALUDIN
Pasir Salak

MELOYAKAN dan menjijikkan atau lebih tepat sekali mereka ini telah tersasar daripada identiti diri sebagai bangsa Melayu yang penuh dengan adab dan sopan-santun.

Itulah gambaran sebenar gelagat segelintir pelajar yang mengaku bergelar mahasiswa. Mereka mengenalkan diri mereka sebagai 'Solidariti Mahasiswa Malaysia'.

Mereka merasakan diri mereka golongan cerdik pandai. Namun, benarkah seperti yang didakwa mereka? Adakah keputusan peperiksaan mereka yang lalu iaitu SPM mendapat keputusan yang cemerlang?

Jawapannya pasti tidak, jika mereka merupakan pelajar yang cemerlang, sudah pasti sekarang ini mereka menuntut di salah sebuah universiti terkemuka di luar negara yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan mahupun swasta kerana pelajar cemerlang ini merupakan aset negara yang begitu berharga.

Kumpulan ini perlu sedar diri dan bersyukur. Bagaimana pula keputusan peperiksaan yang bakal mereka peroleh kelak, setelah memegang segulung ijazah. Ijazah kelas ke berapa? Atau sama seperti keputusan SPM yang mereka peroleh iaitu sekadar lulus 'cukup makan' sahaja. Benarlah seperti nasihat Tun Dr. Mahathir Mohamad, mahasiswa perlu fokus pada pelajaran kerana itulah matlamat sebenarnya.

Agak mengecewakan dan juga menggelikan hati apabila diamati kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Syukri Abdul Razab (Pengerusi SMM) di YouTube 'tuntutan SMM kepada Perdana Menteri Malaysia' dan 'Isu turun bendera, SMM: Kami buat cara beradab', cara beliau bercakap sama seperti lenggok 'Anwar Ibrahim' sedang berceramah, mungkin Anwar adalah idola Ahmad Syukri.

Beliau bercakap seperti mewakili suara sebuah parti politik ditambah pula dengan kenyataan yang bongkak juga terlalu sombong dari Adam Adli yang merupakan seorang penuntut UPSI yang menegaskan bahawa beliau tidak akan memohon maaf atas tindakan menurunkan bendera termasuklah kepada Perdana Menteri.

Satu siasatan dan tindakan tegas oleh pihak yang berwajib perlu dilakukan dalam kadar segera atas tindakan biadap dan kurang ajar mereka ini.

Adakah mereka ini alat perkakas mana-mana parti politik? Siapakah dalang yang sebenarnya di belakang mereka? Perlukah mereka ini terus belajar di IPTA?

Mereka ini merupakan kumpulan yang terlalu kecil dan bukanlah mewakili kumpulan majoriti dalam kalangan mahasiswa IPTA seluruh negara. Perlu diingat, walaupun mereka ini merupakan kumpulan yang terlalu kecil tetapi mereka membawa satu virus yang amat bahaya kerana kesannya akan mempengaruhi mahasiswa lain dan akhirnya virus ini akan merebak dalam skala yang lebih besar.

Besar kemungkinan juga kumpulan virus ini mempunyai dana khas yang dibiayai oleh kumpulan tertentu untuk menjayakan agenda jahat lagi tersembunyi.

Kepada semua bangsa Melayu perlu bersama-sama dalam membenteras gejala ini.

Cukupkah kita hanya sekadar melihat tanpa membantu menghentikan budaya songsang ini?

Jangan kita biarkan gejala ini berleluasa cukuplah dengan perpecahan yang telah terhidang di depan mata dalam kalangan orang Melayu angkara fahaman politik masing-masing.

Jangan kita biarkan IPTA yang dibina oleh kerajaan dan hasil usaha perjuangan orang kita terdahulu untuk membantu anak-anak kita menimba ilmu dijadikan gelanggang politik yang bakal menimbulkan perpecahan dalam kalangan pelajar dan akhirnya anak-anak kita terkebelakang dari segi pencapaian akademiknya daripada bangsa lain bak kata perpatah 'yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran'

No comments:

Post a Comment