Friday, December 9, 2011

tangani masalah awang hitam

Tangani segera Awang Hitam

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMED
UPM, Serdang, Selangor

MUTAKHIR ini perlakuan jenayah dalam kalangan pekerja asing, terutamanya dari negara Afrika yang lebih dikenali sebagai 'Awang Hitam' dilihat semakin merisaukan khalayak dan penduduk tempatan. Bermula dengan pelbagai salah laku jenayah seperti rompak, ragut dan rogol sehinggalah pergaduhan sesama mereka sama ada antara dua kumpulan dari negara yang sama ataupun dari negara lain.

Hampir setiap hari berita mengenai salah laku jenayah kumpulan Awang Hitam ini didedahkan dalam media massa yang cukup menakutkan kita. Antara dua kejadian terkini yang mengejutkan kita ialah pertama kejadian seorang pengedar dadah warga Nigeria yang terpaksa ditembak mati oleh polis setelah mengamuk dalam wad di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini. Dia bertindak agresif setelah beberapa ketulan dadah yang ditelan dipercayai pecah dalam perutnya.

Kejadian kedua pula berlaku di Mantin selang beberapa hari selepas kejadian di HKL. Akibat berang melihat rakan senegara mereka ditahan, lebih 200 Awang Hitam mengepung dan membantah tindakan anggota penguat kuasa dalam satu operasi di penempatan 'Mini Afrika' di sebuah pangsapuri berhampiran sebuah kolej swasta di Mantin.

Dua kejadian ini adalah rentetan daripada beberapa kes yang melibatkan Awang Hitam di negara kita. Senarainya terus panjang jika kita meneliti satu persatu kejadian yang berlaku sebelum ini.

Kejadian seperti ini jelas mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman negara kita secara menyeluruh. Lambakan Awang Hitam baik yang datang secara sah mahupun yang tinggal secara haram dilihat antara punca utama kepada kejadian sebegini.

Apabila bilangan mereka semakin ramai, mereka dilihat lebih yakin dan menjadi kuat, seterusnya berani berbuat apa sahaja di negara orang tanpa rasa takut mahupun segan. Buktinya ialah kejadian di Mantin tersebut di mana mereka seolah-olah mencabar pihak berkuasa dan juga undang-undang negara kita.

Justeru persoalannya ialah di mana silapnya? Apakah punca kejadian sebegini yang dilihat seolah-olah semakin menjadi-jadi dan sukar untuk dikawal?

Punca utama ialah ia berlaku kerana bilangan mereka terlalu ramai. Apabila mereka bersatu sebagai satu kumpulan yang besar kita menghadapi masalah untuk mengawal mereka. Yang penting di sini ialah keperluan untuk mengawal dan memantau kemasukan Awang Hitam secara beramai-ramai ke negara kita.

Awang Hitam yang berada di negara kita terdiri daripada tiga kelompok utama iaitu kategori yang masuk sebagai pelajar atau yang masuk menggunakan pas pelajar; kedua yang masuk menggunakan pas pekerja dan yang ketiga adalah yang masuk sebagai pelancong.

Baik yang sah mahupun yang haram, kemasukan mereka perlu disekat dan dihadkan. Setiap perkara ada hadnya. Begitu juga dalam hal kemasukan pekerja asing, terutama Awang Hitam ini ke negara kita yang jelas lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Hal ini penting kerana kemasukan mereka bukan sahaja menggugat peluang pekerjaan rakyat tempatan tetapi apa yang lebih bahaya ialah kejadian jenayah yang semakin meningkat.

Justeru kita berharap sangat agar pihak berkuasa yang terlibat seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berkaitan akan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya supaya kejadian seperti ini dapat dibendung sama sekali.

Antara cadangan yang kita boleh kemukakan ialah memperketatkan lagi peluang kemasukan Awang Hitam supaya dapat mengurangkan bilangan mereka dengan mengkaji dan melihat semula keperluan mereka dalam bidang yang diperlukan. Ringkasnya, kelulusan kemasukan Awang Hitam perlu diperketatkan.

Kemasukan mereka sebagai pelajar juga perlu dipantau secara lebih terperinci. Kita tidak mahu mereka mengambil kesempatan di atas keterbukaan dan amalan polisi kita yang mahu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa agar dapat mengantarabangsakan sektor pengajian tinggi negara. Kita perlu pastikan individu yang berminat untuk menyambung pengajian di negara kita adalah mereka yang benar-benar berkualiti dan hanya berminat kepada ilmu yang ditawarkan di negara kita.

Bagi mengekang perlakuan jenayah dalam kalangan Awang Hitam yang sedia ada dalam negara kita, diharapkan pihak berkuasa dapat melipatgandakan usaha pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa agar golongan ini akan lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan menghormati undang-undang negara kita. Kita tidak boleh membenarkan mereka membawa masuk dan mengamalkan budaya samseng dari negara masing-masing.

Semoga insiden dan jenayah seperti ini dapat dibendung dan dibanteras dengan segera secara berhemah dan berterusan dengan lebih efektif agar kita dapat terus menikmati kehidupan yang tenteram, selamat, aman dan damai.

No comments:

Post a Comment