Bersatu demi perpaduan Islam
Oleh TOK KI
ISLAM adalah suatu sistem kepercayaan dan suatu cara hidup. Ia adalah suatu agama yang syumul dan sempurna. Al-Quran adalah sumber petunjuk. Ia terhubung dengan manusia dan apa juga corak organisasi supaya petunjuk yang diberi memberi bimbingan dan pedoman kepada manusia.
Insan atau manusia memiliki dua sifat. Pertama, insan itu memiliki sifat nasiyya iaitu pelupa. Al-Quran menyebutkan sifat nisyan itu dimiliki manusia.
Pelupa itu bermakna lemah dan kurang. Manusia itu adalah tidak segala-gala. Kelupaan perlu diperingatkan. Sebab itu Islam adalah agama dakwah. Agama peringatan kepada manusia yang lupa.
Kedua, insan juga memiliki sifat lalai. Lalai itu dalam al-Quran disebut sebagai ghaflah atau ghafiluun. Sifat lalai ini membayangkan kelemahan manusia.
Sebab itu para rasul termasuk Rasulullah SAW dihantar kepada manusia untuk maksud wabashiira wanaziira - khabar gembira dan peringatan.
Sifat ibadah seperti solat dan siyam kita lakukan berulang-ulang. Perulangan itu penting kerana kelupaan dan kelalaian boleh membawa manusia kepada lupa diri dan lalai peribadi.
Sebagai suatu agama yang lengkap dan sempurna ia tidak boleh disamakan dengan kekuatan yang ada pada manusia atau organisasi.
Manusia itu lemah dan amat bergantung kepada pedoman Islam dan al-Quran.
Walaupun manusia ingin menjadi seorang Islam yang terbaik tetapi manusia tidak boleh sama dengan al-Quran milik Allah dan manusia itu juga adalah makhluk Allah. Meski akhlak Rasulullah SAW adalah akhlak al-Quran, Rasulullah ialah sumber qudwah atau contoh menjadi sumber ikutan manusia.
Allah berikan manusia dengan sumber, akal, nafsu dan keinginan dan daya jasmani yang tertentu. Ia tidak segala-gala. Akal manusia yang berfikir selalunya tidak lengkap dan sempurna. Akan ada kekurangan dalam memahami sesuatu dan berfikir akan sesuatu.
Manusia bergantung kepada ajaran Islam dan sumber dari wahyu dan juga seerah dan sunnah Rasulullah SAW. Pada hakikatnya manusia adalah bergantung kepada Allah.
Parti politik adalah organisasi yang dikendalikan oleh manusia. Oleh kerana manusia itu lemah organisasi yang dipimpinnya juga adalah memiliki kekuatan dan kelemahannya.
Kekuatan hanya milik Allah. Manusia bergantung kepada ajaran Islam dan al-Quran untuk mendapatkan kekuatan.
Baik UMNO atau pun Pas adalah parti politik yang diuruskan manusia. Ada kekuatan dan kelemahan yang ditampilkan. UMNO menjadikan perjuangan agama, bangsa dan negara sebagai matlamat perjuangan. Pas kini menjadikan negara berkebajikan sebagai agenda utama.
Kedua-dua parti itu dikendalikan oleh orang-orang Islam. Sudah tentu orang-orang Islam yang mengendalikannya ini memiliki kekuatan dan kelemahan. Kadang-kadang kuat pada semangat dan impian tetapi lemah pada amalan dan pelaksanaan.
Terdapat juga retorik yang mahukan negara Islam, praktisnya masih jauh menjadikan Islam itu sebagai suatu nizam atau cara hidup. Oleh itu menyamakan Islam itu sama dengan parti adalah tidak kena.
Parti ialah wasilah iaitu cara, menjadikan Islam itu hidup dalam perjuangan parti adalah gayyah atau matlamat.
Antara wasilah dan gayyah terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki kerana ia adalah usaha manusiawi.
Ada orang berpendapat masuk parti Pas itu adalah masuk Islam. Masuk parti UMNO adalah jadi jahiliah, taghut dan kafir. Pandangan ini adalah tidak Islamik dan bercanggah.
Kalau dengan parti disamakan dengan Islam, Islam memiliki kesempurnaan. Islam itu adalah pedoman bagi perjalanan parti.
Lebih-lebih lagi sekarang Pas sedang mendukung agenda negara berkebajikan. Sampai hati Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan negara Islam tidak ada dalam al Quran. Konsep negara berkebajikan mana yang diambil oleh Pas?
Apakah ia mengambil konsep negara berkebajikan di Sweden, Norway, Finland atau Singapura.
Kalau mengatakan perjuangan Pas berlandaskan al-Quran dan As Sunnah dan agendanya adalah untuk kebajikan rakyat ia adalah menepati. Pas itu sendiri bukanlah Islam. Perjuangannya ingin menjadikan Islam sebagai landasan dan pedoman.
Tidak kesemua peribadi dan daya kepimpinannya mewakili Islam itu sendiri. Ada kelemahan di sana dan disini.
Tetapi Islam dan al-Quran tetap syumul dan sempurna. Pas dan orang-orang Pas tidak syumul dan sempurna.
UMNO juga begitu. Walaupun UMNO tidak mendakwa sebagai sebuah parti Islam atau menyamakan UMNO itu Islam tetapi sumbangan terhadap pembangunan Islam di Malaysia adalah besar.
Tidak ada orang Pas yang boleh menafikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu projek UMNO dan kerajaan. Anak-anak orang Pas sangat ramai yang dapat manfaat darinya. Kalau universiti itu dianggap taghut dan menyemai faham jahiliah kerana pendukung universiti adalah UMNO dan kerajaan, tidak mungkin orang Pas menghantar anaknya ke sana.
Begitu juga Institusi Darul Quran Malaysia yang dijangkakan akan menjadi Universiti Al-Quran Malaysia bakal menampung anak-anak yang cerdik pastinya termasuk anak-anak orang Pas. Apakah ia tidak bermanfaat untuk Islam secara jangka panjang.
Hal yang sama terhadap Bank Islam, keusahawanan halal, sukuk, peningkatan perundangan syariah dan berbagai-bagai lagi adalah usaha UMNO/kerajaan melaksanakan Islam tanpa perlu menamakan Islam itu UMNO dan UMNO itu Islam.
Kesannya pada orang-orang Pas bahawa oleh kerana Pas itu Islam dan Islam itu Pas maka Pas melihat orang lain sebagai kafir dan jahiliah.
Lalu timbul isu dua imam, undi UMNO adalah kafir, bertanding melawan orang Pas rosak akidah dan berbagai-bagai lagi.
Cukuplah dengan kepalsuan yang sudah berjalan sekian lama. Baik Pas atau UMNO lakukanlah yang terbaik untuk Islam. Orang Pas dan orang UMNO ialah orang Islam.
Kita solat menggunakan kiblat yang sama. Al-Quran yang dibaca adalah al-Quran yang sama. Syahadah kita adalah syahadah serupa. Nabi kita adalah Nabi yang sama.
Yang berbeza mungkin orientasi perjuangan. Yang tidak sama adalah cara mendekati masalah. Yang tidak serupa adalah siri keutamaan.
Perbezaan ini kalau ditemukan dengan muzakarah dan perbincangan yang ikhlas bakal menghasilkan natijah yang bermakna.
Ulama-ulama pernah berada di bawah sayap UMNO suatu ketika dulu. Kemudian tertubuhnya Pas sebagai sebuah entiti politik. Bersengketa kemudian berbaik semula dalam suatu kerajaan. Dan berpisah semula.
Kalaulah Hamas sebuah parti Islam di Palestin boleh bersama semula dengan PLO yang dikatakan sebuah pasti nasionalis dan sekular atas pertimbangan maslahah dan syara' yang mana yang UMNO dan Pas tidak boleh duduk semeja berbincang untuk kebaikan umat Islam di Malaysia.
No comments:
Post a Comment