Antara Anwar, Khir, Harun dan Mat Taib
Oleh Zaini Hassan
SAYA mempunyai hubungan masam-manis dengan Dr. Mohd. Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor dua penggal. Beliau kini didapati bersalah atas satu kes membabitkan sekeping tanah yang mahu dijadikan tempat tinggalnya selepas persaraan.
Tanah rumah itu menjadi kontroversi yang mengheretnya ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan. Tanah yang dibeli dengan hutang bank itu turut dirampas.
Dr. Khir ternyata tenang. Beliau tidak gelabah. Beliau tidak membawa parti bersamanya menentang keputusan undang-undang. Beliau juga tidak membawa orang-orang UMNO bersama-sama menemaninya. Beliau tidak menghasut para pelajar untuk menyokongnya.
Dr. Khir, yang menjadi MB selama dua penggal, berseorangan. Dulu semasa beliau menjadi MB, saya pernah menghentam beliau dengan kes Bukit Cerakah, penerokaan tanah-tanah di Seksyen U10 Shah Alam sehingga mengakibatkan taman botanik di sebelahnya terjejas teruk. Kini tanah-tanah residensial di situ menjadi cukup bernilai tinggi.
Semasa isu itu sedang panas, beliau dan konco-konconya memarahi saya. Pelbagai tuduhan dilemparkan oleh orangnya ke atas saya. Tapi kemudian kami berbaik semula. Sebagai wartawan, saya tidak ambil hati. Begitu juga beliau.
Pendek kata perwatakan Dr. Khir cukup tenang. Mungkin kerana asas kuat agama dan sifat orang kampung yang ada di dalam jiwa dan dirinya, doktor gigi itu tidak meloncat ke sana ke mari.
Untuk rekod, jawatan MB Selangor ini cukup keramat. Sudah tiga orang MBnya menghadapi tuduhan di mahkamah -- termasuk Harun Idris dan Muhammad Muhd. Taib (Mat Taib). Harun dan Mat Taib kemudiannya membawa diri. Harun sudah meninggal dunia dan Mat Taib jarang-jarang kelihatan dalam dunia politik.
Namun, bukan semua orang bersifat seperti mereka. Mereka tidak memporakperandakan negara angkara bala yang menimpa mereka itu. Mereka reda.
Anwar Bin Ibrahim sebaliknya, yang terlalu menonjolkan imej baik, warak, intelek, pandai, bijak, tidak pula begitu.
Dia juga menghadapi perbicaraan mahkamah. Bukan sekali, tapi dua kali. Sisa-sisa hidupnya kini bergelumang dengan perbicaraan mahkamah. Jika sekali bolehlah dikatakan fitnah, tapi sudah masuk dua kali apakah juga fitnah? Apa hebatnya sangat Anwar sehingga acap kali orang mahu memfitnahnya? Mungkin di mata Amerika Syarikat dia hebat.
Keputusan perbicaraan kes liwat membabitkan seorang pemuda Saiful Bukhari Azlan akan diketahui pada 9 Januari 2012 ini. Kempen untuk menyelamatkan Anwar kini rancak dijalankan.
Jika dulu Anwar membawa slogan Reformasi, kini dia membawa slogan Revolusi pula.
Pelajar-pelajar universiti akan digembling sekali lagi untuk membuat angkara pada tarikh yang dikenali sebagai 901 itu.
Saya masih ingat di zaman refomasi dulu. Satu KL kecoh dengan demonstrasi jalanan. Harta-harta awam dimusnahkan. KL lumpuh. Kebetulan Naib Presiden Amerika, Al Gore yang berada di KL turut menuang minyak dengan menyokong kumpulan itu. Pelajar-pelajar universiti, rata-ratanya dari UIA, UM, UKM berhimpun dan membuat kecoh.
Setelah keadaan reda menjelang tengah malam, saya dengan beberapa rakan bercadang keluar minum sambil meninjau keadaan di Kampung Baru. Kami keluar dengan Pajero pejabat. Apabila tiba di lampu isyarat antara Masjid Kampung Baru dan Pusat Perubatan Kampung Baru, sekumpulan pemuda yang rata-rata pelajar universiti tiba-tiba memekik Utusan, Utusan, Utusan. Kami tidak perasaan ada logo Utusan di pintu Pajero itu.
Beratus-ratus mereka mula rapat ke arah kenderaan kami. Ekoran gema laungan Hancur Utusan, Hidup Reformasi semangat menjadi ganas. Pajero kami dibaling dengan batu. Kami bernasib baik kerana kenderaan itu tidak dilontar dengan bom api, molotov cocktail oleh pelajar yang hilang waras. Pemandu kami cepat menyelamatkan kami memecut masuk ke dalam Balai Polis Dang Wangi.
Itu kejadian lebih 10 tahun lalu. Kini pelajar-pelajar tersebut – termasuk yang membaling batu menembusi tingkap Pajero itu – sudah menjawat pelbagai jawatan tinggi dalam kerajaan, mahupun swasta. Perasaan mereka kini tidak lagi memberontak seperti dulu. Mereka kini sudah boleh menilai baik dan buruk, hitam dan putih serta siapa sebenarnya Anwar Bin Ibrahim.
Kini pelajar-pelajar yang mentah, pasca-10 tahun reformasi, digunakan sekali lagi. Mereka menggunakan NGO pelajar universiti.
Anwar sendiri mengadakan perjumpaan dan dialog dengan anak-anak muda mahasiswa itu di kediamannya di Bukit Segambut pada 23 Disember lalu. Hadir lebih kurang 100 orang.
Antara intipati perjumpaan, Anwar mahukan mahasiswa tegas dan lantang memperjuangkan hak rakyat.
Persoalannya hak siapa? Hak rakyat atau hak Anwar sendiri? Timing beliau serta kempen-kempen 901 itu cukup membuktikan dia cuba menarik para pelajar itu untuk membuat kacau bagi menyelamatkan dirinya pada 9 Januari ini.
Satu lagi persoalannya apakah beliau sudah mengetahui kes liwat itu tidak akan menyebelahinya?
Majlis perjumpaan itu diadakan selepas Anwar selesai berjumpa dengan sekumpulan kononnya puak reformis dan ahli-ahli akademik. Siapa ahli-ahli akademik itu saya tidak boleh sebutlah.
Sebelum majlis bermula Anwar telah membaca puisi bertajuk Takut 66, Takut 98 hasil karya Taufik Ismail. Taufik ialah seorang penyair Indonesia terkenal. Dia salah seorang daripada puluhan budayawan dan seniman Indonesia yang mencetuskan Manifest Kebudayaan pada tahun 1966. Golongan ini menerbitkan antologi puisi diberi nama Angkatan 66. Angkatan inilah yang mencetuskan revolusi menentang rejim Sukarno. Sukarno pada masa itu dikuasai oleh PKI - Parti Komunis Indonesia.
Semangat 1966 di Indonesia dan reformasi 1998 di KL itulah yang mahu dibangkitkan semula oleh Anwar. Anwar mahu samakan Najib dengan Sukarnokah?
Mood mahasiswa yang mendengar bacaan puisinya di perjumpaan itu cukup membara dan bersemangat. Anwar memang terkenal sebagai seorang yang pandai membakar semangat kemarahan orang.
Difahamkan esok, jam 11 pagi bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru satu kempen Bebaskan Anwar 901 bertemakan Tolak Fitnah 2, Lawan Konspirasi akan dilancarkan.
Tetapi difahamkan juga, ia dibatalkan di saat-saat akhir kerana ramai pemimpin bercuti dan tiada sambutan dari Pas dan DAP.
Benarlah Anwar dan konco-konconya sedang merancang satu lagi reformasi. Kali ini atas nama revolusi, setelah reformasi dulu gagal. Matlamatnya ialah untuk menyelamatkan tengkuk Anwar sendiri.
Itulah Anwar yang kita kenali. Dia umpama anak nakal yang jika ibu bapa marah atas kesalahannya, dia akan memberontak bagi menegakkan kebenarannya yang salah itu.
Secara logik tiada siapa yang akan memfitnah Anwar buat kali kedua.
Kes liwat pertama dulu tidak dinafikan berlaku oleh mahkamah. Kini negara dan dunia sedang menanti kes liwatnya yang kedua pula dengan seorang pemuda bernama Saiful Bukhari Azlan.
Saiful dalam facebooknya menulis: Saya reda apa jua keputusan. Akan terus doa, istiqamah dan sabar.
Anwar sebaliknya gelabah. Anak-anak muda digunakan untuk menjadi perisainya – buat kali kedua. Itulah uniknya Anwar Bin Ibrahim berbanding dengan tokoh-tokoh yang lain.
Selamat Tahun Baru 2012. Semoga Malaysia terus maju, makmur dan sejahtera.