Monday, January 31, 2011

Putar Sejarah

Jangan seret ahli akademik

UTUSAN: Apa pandangan Datuk terhadap pandangan Azmin Ali bahawa Datuk sering memutar belit sejarah?
RAMLAH: Bagi saya itu tidak patut berlaku. Masyarakat mempunyai pelbagai golongan yang berbeza, ada ahli politik, ahli akademik dan pelbagai lagi. Kami diberi tugas untuk membuat penyelidikan dan hasilnya kita akan membuat penulisan dan meluahkan pendapat. Pendapat juga boleh berubah bergantung kepada bahan yang diperoleh. Jika ada penemuan baru sejarah, maka fahaman kita tentang sejarah akan turut berubah.

Selain itu, ia juga bergantung kepada interpretasi tentang fakta yang ditemui dan ia bergantung kepada pengalaman. Macam satu kajian yang saya buat, institusi raja telah ada sejak zaman Melaka. Maka kita akan kaji pula undang-undang yang digunapakai dan sistem pengurusannya. Tapi kita jumpa pula apakah Melaka yang mula-mula sekali mempunyai sistem beraja. Kita buat lagi kajian dan didapati Melaka adalah sebuah kerajaan sambungan dari zaman Sriwijaya yang bermula sejak kurun satu Masihi.

Kemudian kita kaji lagi wujud sebuah kerajaan di wilayah Funan atau sekarang Kemboja. Maka kita sedar bahawa kita mempunyai sejarah yang panjang sebelum ini. Ini adalah hasil daripada keinginan untuk mencari asal usul.

Maka kita sedar bahawa semua ini memerlukan kajian mendalam. Dengan kajian, ia akan turut melahirkan kepakaran dan pandangan yang berbeza. Itu yang menyebabkan kita berbeza pendapat. Bagaimanapun, kita tidak boleh menyatakan bahawa pandangan orang lain salah. Ini kerana mungkin orang lain tidak menemui bahan yang saya ada. Mereka tidak boleh kata saya salah kerana saya ada bukti. Apa yang perlu ialah universiti memainkan peranan mengurus perkembangan ilmu tidak kira ada dalam apa-apa bidang. Itulah sebabnya perlu ada orang seperti kami di universiti. Institusi ini sangat penting kerana ia melahirkan orang-orang boleh memberi data dan buah fikiran.

Oleh itu, jika orang seperti saya sudah di cerca sebagai alat kepada sesuatu pihak, ia bermakna mereka tidak menghormati institusi universiti dan kepakaran kami.

Kenapa perkara ini ditimbulkan?

Perkara ini berlaku apabila politik diletak di hadapan. Apabila ia menjadi perkara utama, pihak ini akan meletakkan apa saja sebagai kepentingan politik. Dalam politik, ia bersandarkan kuasa. Bagaimana untuk mendapat, mengekal, melangsungkan kuasa? Ia jelas sebagai satu kenyataan berdasarkan politik. Ini perkara yang tidak betul dan ia perlu dibuktikan. Sekarang, kita bercakap tentang sejarah negara berdasarkan fakta dan rekod. Bukan berdasarkan mitos dan sebagainya. Sebagai contoh Sultan Melaka melawat China pada 1409, fakta ini ditemui dari rekod di negara China. Banyak sejarah silam kita disimpan oleh orang luar. Janganlah keterlaluan dalam berpolitik sehingga sengaja menuduh yang bukan-bukan. Kami bercakap menggunakan fakta, ahli politik sepatutnya tidak mengheret ahli akademik kerana pandangan golongan tersebut berdasarkan fakta dan kajian mereka.

Malah ahli akademik merupakan sumber pendapat yang boleh dipercayai kerana ia berteraskan pemerhatian dan kajian secara intelektual menggunakan dokumen-dokumen yang sah.

Apakah orang politik ini sangat terdesak hingga terpaksa mengganggu sejarah?

Bagi saya ia mudah. Apa yang berlaku sekarang adalah berasaskan kepada pilihan raya. Mungkin ia akan diadakan tahun ini atau pun tahun depan. Maka ahli politik ini sedang berusaha untuk bersedia menjadi popular. Oleh itu, jika ada pada pandangan mereka yang tidak sealiran, maka orang seperti saya akan dipersalahkan atau dinafikan. Tapi dalam pindaan undang-undang Selangor yang cuba dilakukan baru-baru ini, mereka mengambil pula ahli akademik Dr. Aziz Bari sebagai pendraf dan penasihat mereka. Jadi, kenapa mereka ini perlu marah dengan saya, sedangkan pada masa yang sama mereka menggunakan ahli akademik seperti Dr. Aziz untuk kepentingan mereka? Padahal UMNO tidak pernah minta saya buat apa-apa untuk parti itu. Cuma sekadar memberi ceramah tentang sejarah bukan saja kepada UMNO tetapi jabatan-jabatan kerajaan, NGO dan sebagainya. Bagi saya, itu tidak adil kepada orang akademik seperti saya.

Apa kepentingan mereka untuk mengubah sejarah yang sedia ada?

Berdasarkan kajian, selepas PRU ke-12, kerajaan Barisan Nasional (BN) dikatakan lemah kerana tumbang di lima negeri. Ini memberi semangat kepada pihak pembangkang untuk mencabar BN serta melemahkannya. Selepas itu, banyak dasar-dasar yang sedia ada diminta untuk diubah seperti biasiswa, artikel 153 dan pelbagai lagi.

Saya ambil contoh ketika kita hendak merdeka, MCA dan MIC telah meminta kerakyatan diberikan berdasarkan jus soli dan sebagai timbal balik, itu sebab adanya artikel 153. Hak ini sudah ada sejak zaman British lagi iaitu pada 1948 dan dijaga oleh Pesuruhjaya British dan apabila merdeka, ia dijaga pula oleh Yang diPertuan Agong. Jadi maknanya artikel 153 sudah ada sebelum merdeka lagi. Oleh itu, apa perlunya diubah walaupun hakikatnya ia sudah ada sebelum merdeka lagi. Saya berpandangan orang politik janganlah menganiaya orang akademik seperti saya kerana apa yang saya lakukan adalah berdasarkan kajian dan fakta. Sama ada saya sokong UMNO atau tidak, itu adalah hak peribadi saya.

Apakah kerana mereka beranggapan sejarah yang ada sekarang banyak melibatkan UMNO?

Tidak betul jika ia lebih kepada UMNO. Ini bukan sejarah UMNO tetapi sejarah Melayu dan negara. Saya kasihan kepada UMNO kerana walaupun banyak yang telah dilakukan untuk negara tetapi orang ramai terutama generasi muda membenci UMNO. Pada hal, kalau tidak ada UMNO mungkin lain ceritanya dari perjuangan Tunku Abdul Rahman dalam mencapai kemerdekaan dan seterusnya. Saya tidak rasa kebencian orang ini ada kaitan dengan perang saraf yang dilakukan pembangkang. Ia lebih kerana ramai orang sekarang tidak membaca dan menghayati sejarah. Maka apabila ada pihak memasukkan fakta palsu tentang sejarah, maka mereka akan bulat-bulat percaya. Kita tidak boleh nak salahkan pembangkang jika mereka menyebarkan perang saraf kerana ia adalah satu tindakan politik untuk mendapat kuasa.

Mungkin apa yang Azmin buat itu adalah kerana menjadi alat atau desakan orang lain. Seperti yang dilalui oleh Rashid Maidin yang dilihat berjuang sebagai alat komunis. Apa yang cuba dilakukan oleh mereka ini adalah cuba mewajarkan fakta yang salah tentang sejarah dan kemudian akan cuba memaksa kerajaan mengubah fakta dalam buku sejarah. Namun yang saya bimbangkan sejak dari zaman Tunku lagi, orang Melayu banyak bertolak ansur, jadi kita akhirnya ditolak sedikit demi sedikit. Jika jawatankuasa yang menganggotai pembuat buku sejarah ini banyak bertolak ansur, maka kita semakin terhakis.

Ada pula berpandangan peranan bangsa lain tidak banyak dalam buku sejarah?

Kita kena lihat balik pada tempoh mana. Masa kemerdekaan negara, ramai tokoh seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S Lee dan Tan Sri Manickavasagam, semua kaum ada. Sapa kata kaum lain tidak memainkan peranan, saya yang tulis buku sejarah tingkatan tiga dan saya masukkan semua peranan mereka dengan jelas. Kaum lain ada memainkan peranan tetapi sebelum merdeka, lain pula sejarahnya.

Mereka tidak banyak memainkan peranan dalam negara dan hanya sekadar pedagang, pekerja lombong mahupun pekerja estet. Mereka ini tidak berapa peduli tentang kegiatan politik dalam negara ketika itu. Pesuruhjaya British yang main peranan utama selain raja-raja Melayu. Bagaimana kita nak masukkan peranan mereka jika tidak ada sangat peranan mereka ketika itu. Paling tidak, kita boleh kata British yang mewujudkan bandar-bandar baru untuk orang Cina, itu antara peranan mereka ketika itu.

Apa harapan Datuk memandangkan sejarah telah digunakan sebagai alat politik?

Bagi saya jika pandangan kami selaras dengan perjuangan mana-mana parti politik, ia hanyalah kebetulan kerana kami tidak menyebelahi mana-mana pihak. Anggap sahaja kami sebagai sumber pendapat sudut ketiga. Ahli politik juga tidak boleh menyempitkan peranan ahli akademik semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

Oleh itu, saya harap peranan ahli-ahli akademik tidak akan dipersoalkan lagi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan janganlah ia dijadikan senjata politik hanya untuk meraih populariti dan kuasa.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Kuasa Mutlak

Jangan lupa kuasa 'mutlak' rakyat

Oleh MOHD TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my
SUASANA politik tanah air semakin hangat dengan pelbagai isu. Banyak cakap-cakap politik Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diadakan pada hujung tahun ini.

Kehangatan itu semakin bertambah dengan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor dan bakal menyusul PRK DUN Merlimau, Melaka ekoran pemergian penyandangnya Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan.

Mungkin keadaan itu membuatkan pemimpin lebih sibuk berpolitik sehingga terlupa menjalankan kewajipan masing-masing sebagai pemimpin rakyat dengan menghentam sesama sendiri semata-mata mahu meraih sokongan pengundi demi survival parti masing-masing.

Tidakkah kita terfikir bahawa segala kekalutan yang berlaku dalam politik tanah air hari ini akan dinilai oleh rakyat dengan apa yang dilakukan sama ada sedar atau tidak.

Di negara ini, rakyat yang berparti hanya ada 60 peratus dan selebihnya merupakan pengundi atas pagar yang sebenarnya amat berkuasa dalam menjadi penentu keputusan PRU nanti.

Kuasa mutlak itu telah dibuktikan dengan kegagalan Barisan Nasional (BN) untuk mendapat majoriti 2/3 di Dewan Rakyat pada PRU lalu tanpa diduga oleh sesiapa pun.

Tetapi perlu diingatkan perkara sama juga berlaku di Terengganu pada 1999 di mana Pas telah berjaya menawan Wisma Darul Iman dengan jayanya.

Namun hanya selepas sepenggal menjadi kerajaan, Pas tewas teruk dan seterusnya menyaksikan kerajaan BN kembali memerintah.

Jelas, kuasa rakyat tidak dapat 'ditewaskan' sekiranya keperluan dan kehendak mereka tidak dipenuhi.

Pendapat yang sama turut dilontarkan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Rosdi Abd. Aziz yang menegaskan bahawa rakyatlah yang berkuasa menentukan 'jatuh bangun' sesuatu kerajaan di sesebuah negara.

''Wakil rakyat yang dipilih semasa PRU lalu, perlu menjalankan tanggungjawab yang diberi untuk menjaga kebajikan rakyat kerana ia merupakan satu amanah untuk dipikul.

''Rakyat sedang memerhatikan segala yang berlaku, jika tidak berkenan di mata dan di hati mereka pastinya buruk padahnya,"katanya.

Jika dilihat suasana politik hari ini, rakyat selalu digula-gulakan oleh parti politik pembangkang dengan agenda-agenda perjuangan yang molek belaka untuk rakyat, tetapi setakat mana kebenarannya.

Sebaliknya, kerajaan BN yang memegang kuasa kerajaan pusat telah melakukan pelbagai transformasi yang kini terbukti berjaya serta dapat dinikmati seluruh rakyat.

Contohnya di bawah pemerintahan kerajaan BN, rakyat menikmati kemakmuran ekonomi, kesejahteraan, keamanan, selain bilangan kemiskinan menurun dan pada waktu yang sama, negara kita begitu dikagumi dunia sehinggakan hampir seluruh rakyat dapat menikmati hidup yang sempurna.

Keadaan sebaliknya berlaku di negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Walaupun telah menjadi pemerintah, namun apa yang dijanjikan kepada rakyat masih jauh dari realiti.

Mana janji-janji indah pakatan pembangkang yang ditabur sebelum menang PRU lalu. Bunyinya begitu sedap didengar sehinggakan ramai yang terpesona, namun setakat mana segala janji itu direalisasikan sekiranya bercakap lebih banyak daripada bekerja.

Jangan ingat rakyat Malaysia 'buta' untuk menilai segala penyalahgunaan kuasa, penipuan dan kemelut yang melanda parti-parti pembangkang sehinggakan segala perjuangan hakiki masing-masing tergadai dek kerana politik sempit.

Rakyat zaman BlackBerry (BB) sekarang banyak bezanya dengan rakyat sebelumnya kerana rakyat kini semakin matang untuk memilih antara kaca dan berlian.

Lihat sahaja kenyataan 'Tutup kedai, balik India,' yang dilontarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik kepada pengusaha Restoran Nasi Kandar Mohamad Aliyar, Syed Kassali Mohamed Aliyar, semasa operasi penyitaan di premisnya awal bulan lalu.

Baru dapat mentadbir negeri, sudah berani menunjukkan belang dengan menghina kaum lain seolah-olah kedudukan mereka sebagai wakil rakyat tidak akan tercabar.

Setelah lama didesak agar memohon maaf barulah Wei Aik memohon maaf. Timbul persoalan keikhlasan permohonan maaf yang dibuat kerana masa yang diambil terlalu lama.

Kejadian itu sebenarnya menunjukkan perjuangan sebenar DAP yang ultra kiasu serta tidak menghormati bangsa lain.

Inikah yang dikatakan berjuang untuk rakyat? Adakah tidak terfikir oleh Wei Aik bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan?

Jika perkara-perkara seperti ini dilakukan, tidak mustahil segala perjuangan pemimpin terdahulu yang menyatupadukan semua bangsa akan musnah di tangan pemimpin yang berfikiran cetek dalam sekelip mata

Sebelum menang, katanya pakatan pembangkang berjuang untuk rakyat. Nah, sekarang terbukti mereka berjuang tetapi bukan semua rakyat sebaliknya 'pilih bulu'.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya golongan mereka ini yang memerintah negara, apa akan jadi dengan nasib rakyat khususnya bumiputera.

Melihat penipuan demi penipuan yang dilakukan pakatan pembangkang semata-mata mahu menarik sokongan rakyat, ia menjadikan politik pembangkang sesuatu yang menjijikkan. Murah dan tidak berkualiti. Itulah yang boleh dirumuskan melalui tindak tanduk pembangkang yang seakan-akan sudah kekeringan idea untuk menipu rakyat.

Pakatan pembangkang terus menggunakan 'modal politik' yang sama setiap kali menjelang PRU kerana mereka ini 'dilahirkan' untuk menjadi pembangkang bukannya untuk menjadi kerajaan.

Kita lihat pula situasi Kedah semasa dilanda banjir besar. Adakah Kerajaan Pas Kedah benar-benar berfungsi membantu rakyat negeri itu semasa bencana alam berlaku?

Apa yang pasti, pemimpin Pas Kedah hanya mampu mengharapkan bantuan penuh kerajaan pusat bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu. Inikah yang dipanggil kerajaan untuk rakyat? Adakah mereka ini layak untuk memerintah sebuah negeri yang sentiasa perlu bersedia sama ada dalam keadaan aman atau bencana?

Semua bukti menunjukkan pimpinan Pas tidak bersedia serta tidak layak memerintah kerana orang-orangnya tidak pandai mentadbir, malah mereka ini boleh diumpamakan 'kera dapat bunga'. Itu pun belum lagi dimasukkan kisah kemelut yang berlaku di Selangor dan Kelantan.

Bak kata orang tua-tua, bukan semua orang pandai mentadbir dan bukan semua boleh menjadi ulama kerana setiap orang dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Kering Isu

Apabila Pas kekeringan isu

Oleh HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my
Isu pemberian ancak yang dibangkitkan Pas Perak bagaikan tiada kesudahan. Setiap hari ada sahaja cerita baru yang dijaja bagi menyegarkan kembali isu tersebut yang bermula daripada satu majlis yang dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir empat bulan lalu di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar.

Walaupun isu itu telah dibangkit pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang alu dan dijawab dengan jelas oleh Zambry, namun ia masih belum berjaya memuaskan hati ahli parti itu khususnya Dewan Pemuda untuk terus menggasak Zambry dengan isu tersebut.

Minggu lalu, Dewan Pemuda Pas Perak menyerahkan memorandum kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mendesak supaya diwartakan fatwa mengenai perbuatan Menteri Besar menghadiri majlis yang didakwa berlaku pemberian ancak itu.

Tidak cukup kepada Harussani, memorandum enam muka surat berkenaan turut dihantar kepada pelbagai lagi pihak lain termasuk orang perseorangan.

Selain dua muka surat halaman utama, memorandum berkenaan turut menyelitkan keratan akhbar Harussani yang memberi komen secara umum tentang perbuatan memberi ancak dan empat keping gambar yang dirakam pada majlis tersebut.

Tindakan hanya menyelitkan keratan akhbar jawapan Harussani mengenai ancak secara umum dan empat keping gambar itu amat mudah untuk difahami maksudnya iaitu bagi memastikan mereka yang melihat membuat kesimpulan awal bahawa berlaku perbuatan pemberian ancak tersebut.

Tindakan itu adalah taktik biasa yang dilakukan Pas dan pakatan pembangkang memanipulasikan fakta bagi mewujudkan persepsi awal tentang sesuatu perkara atau peristiwa.

Mereka yang tidak mengetahui kisah sebenar sudah pasti akan termakan dengan hasutan dan dakyah yang dilemparkan itu.

Bagaimanapun, sebelum melihat kepada kebenaran sama ada berlaku pemberian ancak pada majlis perasmian pembinaan rumah penduduk miskin di bawah program Infra Bina Upaya (IBU) yang dihadiri oleh Zambry itu, definisi pemberian ancak perlu difahami terlebih dahulu.

Berdasarkan Kamus Dewan, perkataan 'ancak' ditakrifkan sebagai talam daripada anyaman tempat menyajikan barang-barang untuk hantu manakala menurut Wikipedia, perkataan 'acak' atau 'ancak' merujuk sebarang jenis persembahan kepada makhluk halus dalam kebudayaan Melayu.

Persembahan itu biasanya merupakan makanan yang terdiri daripada hidangan mengandungi bertih, pulut kuning, ayam panggang, telur dan anak patung tradisional.

Aktiviti 'acak' atau 'ancak' kebiasaannya akan dilaksanakan oleh pawang sama ada untuk tujuan perubatan, membuang saka atau perkara-perkara yang mempunyai kaitan dengan makhluk halus. Kesemua bahan tersebut akan dihanyutkan ke sungai setelah jampi serapah serta mentera dibaca

Ketua Kampung Guar, Manong, Mohd. Said Bakri ketika diminta mengimbas kembali majlis yang dianjurkan oleh pihaknya itu menjelaskan majlis tersebut hanya satu majlis perasmian pembinaan rumah orang miskin.

''Tidak lebih daripada itu. Majlis berlangsung ringkas. Apa yang dipaparkan dalam gambar pada memorandum itu adalah simbolik atau gimik sempena majlis perasmian itu.

''Selaku ketua kampung yang bertanggungjawab terhadap perjalanan majlis itu bermula dari perancangan sehingga pelaksanaannya, saya ingin menegaskan tidak ada perbuatan memberi atau memasang ancak seperti digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

''Jika ada... sudah tentu ada pemujaan, jampi serapah, sembelih ayam, ambil darah ayam dan sebagainya. Semua ini tidak berlaku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pandangan yang sama turut disuarakan oleh Imam 1 Masjid Al-Mukhlisin Kampung Guar, Sulaiman Husin yang mengetuai bacaan doa pada majlis itu.

Menurutnya, tidak ada jampi serapah atau mentera diselitkan dalam doa berkenaan. Malah tegas beliau lagi, tidak ada juga 'persembahan' lain seperti ayam disediakan pada majlis tersebut.

"Saya hanya baca doa selamat dalam bahasa Arab dan Melayu memohon kesejahteraan Allah berhubung pelaksanaan rumah berkenaan. Tidak ada yang melanggar hukum syarak," katanya yang jelas bersedih dengan isu tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Said menambah, apa yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung perkara itu jelas menyimpang jauh daripada matlamat asal penganjuran majlis tersebut.

"Pada saya, mereka mengada-adakan cerita yang tidak ada dan tindakan mereka bukan sahaja menjatuhkan maruah Menteri Besar tetapi seluruh penduduk kampung ini yang digambarkan oleh mereka sebagai mengamal khurafat," katanya lagi.

Menurutnya, tindakan pihak berkenaan jelas berniat jahat kerana menuduh secara melulu dan mengadakan cerita yang tidak benar.

Mohd. Said yang jelas marah dan kesal turut mempersoalkan keikhlasan pihak berkenaan membangkitkan dan cuba menjuarai isu berkenaan.

''Jika pihak terbabit ikhlas memerangi kemungkaran, mereka pasti sudah berjumpa saya selaku Ketua Kampung dan penduduk kampung menjelaskan keadaan sebenar.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini tidak ada siapa pun daripada pihak mereka datang mendapatkan cerita sebenar, apatah lagi mahu menasihati kami jika apa yang kami lakukan itu salah.

''Apa yang kami lihat, mereka hanya berdemonstrasi, menghantar memorandum dan terus berceramah dengan menipu rakyat mengaitkan majlis itu sebagai pemberian ancak," katanya.

Penjelasan Ketua Kampung dan Imam Kampung Guar Manong itu sudah cukup untuk masyarakat membuat penilaian tentang kisah sebenar di sebalik isu ancak yang sengaja dibangkitkan oleh Pas.

Selain itu, penjelasan itu juga memberikan kita gambaran sebenar tentang siapa sebenarnya yang cuba untuk mengelirukan umat Islam.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Bangsa Yang Tidak Mau Terima Hakikat

Cerita sebuah tragedi

Khabar mudah yang kita terima ialah novel Interlok terus menjadi buku teks sekolah tetapi perlu disunting bab yang 'menyinggung' orang India. Khabar sukar yang kita fikir ialah siapa orangnya yang berhak untuk menyunting yakni mengubah maksud Interlok?

Siapa orangnya yang sangat arif untuk mengatakan istilah itu atau ini dibuang dan kemudian digantikan dengan istilah pilihan mereka? Siapa mereka?

Saya tidak fikir orang yang mempunyai peribadi tinggi sanggup melakukan kerja ini. Malah saya juga tidak fikir ada kalangan sasterawan rela menyunting Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Bukan kerana mereka takut tetapi mereka faham adab dan susila untuk mengubah isi dan maksud karya orang lain.

Sebagaimana yang sudah jelas ditunjukkan kepada kita, isu Interlok bukanlah isu kandungan karyanya.

Tetapi isu Interlok adalah mempunyai ruang untuk pelobi politik perkauman memainkan peranannya. Memberi wajah seolah-olah Interlok menghina orang India yang datang dengan kapal dari India adalah kerja jahat.

Malah mukadimah mereka juga sangat jahat, mendesak secara biadap, tidak tahu adab sopan, membakar potret pengarang dan membuat provokasi melampau.

Penjahat-penjahat ini akhirnya meraih kemenangan politik apabila diberi kuasa untuk mengoyak sebuah karya sastera yang tidak sejahat mereka.

Abdullah Hussain seorang tua yang tidak punya kuasa, jauh sekali kuasa pendesak atau kuasa politik seperti mereka yang membakar potretnya.

Beliau tidak punya apa-apa kecuali bercakap kepada bangsanya sambil memberi peringatan dari pengalaman dan pengamatan.

Saya membaca Interlok pada akhir tahun 1970-an, kemudian meminjamkan kepada seorang rakan saya orang India dan seterusnya seorang keturunan Siam di Perlis. Mereka tidak mengkritik isi kandungan novel itu tetapi generasi masa ini seolah-olah lebih tajam mata mereka menangkap hal-hal yang buruk.

Sebenarnya saya tidak terkejut apabila novel itu akan disunting semula oleh sebuah jawatankuasa bebas.

Malah, baru tahu bahawa jawatankuasa yang memilih Interlok dianggap tidak bebas oleh pelobi-pelobi politik dan akhirnya jawatankuasa 'bebas' inilah yang akan menentukan bab mana yang perlu dibuang dan sebagainya.

Apabila sesuatu menjadi tawar menawar politik, atau menjadi bahan ugutan politik, kita lebih banyak beralah. Kalau kita sedang duduk, kita akan bangun untuk memberi ruang kepada orang lain duduk.

Inilah yang berlaku kepada Interlok dan sekiranya Abdullah Hussain 'izin dalam paksa' novelnya dikoyak, ini adalah pengorbanan besar seorang rakyat yang mahu melihat gerbang kesejahteraan bangsa dibina daripada jiwanya yang luka.

Selepas ini ruang berkarya khususnya dalam kesusasteraan Melayu akan menjadi semakin kecil. Akan ada lagi pihak yang mengambil kesempatan dan mendakwa karya itu dan ini menghina mereka.

Nah, siapa kata mata pena lebih tajam daripada mata pedang?

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tenang Yang Xtenang

Pilihan raya kecil lawan pakat keluar ramai-ramai

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang menutup tirainya. Dalam keadaan hujan dan banjir, pengundi-pengundi Tenang tetap tenang keluar mengundi. Mungkin hujan lebat dan banjir yang membasahi Tenang bagi 'membasuh' segala 'kekotoran' sepanjang kempen PRK itu. Pelbagai kaedah digunakan untuk memancing undi sama ada oleh calon-calon yang bertanding atau para penyokong. Banyak fitnah, tohmahan yang dibangkitkan termasuklah isu peribadi calon. Ada yang sanggup membuka pekung di dada . Ada isu yang boleh diterima akal dan ada pula sengaja dibangkitkan bagi menjatuhkan imej calon. Isu peribadi menjadi sasaran apabila parti politik ketandusan modal untuk berkempen. Isu peribadi itu bukanlah bertujuan mahu 'membina' atau 'menegur' tetapi lebih kepada menjatuhkan imej atau kredibiliti seseorang. Mereka lupa kepada kehidupan seseorang manusia biasa yang tidak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan.

Bagaimanapun isu yang menarik perhatian sudah tentulah mengenai pasangan sedondon iaitu calon Pas, Cikgu Mala (Normala Sudirman) dan suaminya, Cikgu Maarof Abd. Mutalib. Isu cuti cikgu di luar musim cuti sekolah menarik perhatian. Memang awal-awal lagi Cikgu Maarof sudah memberitahu bahawa beliau mengambil cuti untuk membantu isterinya berkempen. Cuma ketika itu, kebanyakan orang tidak tahu bahawa cuti yang dimaksudkan ialah cuti sakit (MC). Bukannya sehari dua tetapi 21 hari, yang boleh digambarkan bahawa beliau terlantar di hospital atau 'berehat' di rumah atau dikatakan di tahap kritikal. Namun hakikat sebenarnya beliau tetap gagah berkempen ke sana ke sini sehinggalah 'kisah benar' terbongkar.

Cikgu Maarof muncul semula semalam. Beliau memang berhak untuk bercuti tetapi cuti panjang ketika sesi persekolahan berlangsung menimbulkan sedikit persoalan.

Tetapi kalau tidak bercuti bagaimana hendak 'turun padang' membantu isteri? Takkan pula nak ponteng mengajar. Nanti orang kata guru kencing berdiri murid pula kencing berlari. Apa pun semuanya sudah berlalu. Diharapkan tidak ada pula pihak yang akan mengatakan tindakan Cikgu Maarof itu tidak salah, dibolehkan atas muslihat tertentu - 'melindungi' isteri semasa berkempen. Maklumlah sekarang ini, macam-macam petua dikeluarkan untuk 'menghalalkan' sesuatu. Kata orang mengikut peredaran semasa.

Kembali kepada PRK Tenang. Kali terakhir Johor yang dianggap tiang seri UMNO menghadapi PRK ialah pada 1989. Tetapi paling mencabar ialah pada 1988 selepas pendaftaran UMNO dibatalkan.

Mungkin kita boleh selak kembali beberapa PRK di Johor. Ujian pertama selepas UMNO dibatalkan, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengisytiharkan pilihan raya kawasan DUN Tanjong Puteri tidak sah. Maka PRK diadakan pada 5 Mac 1988 ketika UMNO 'tidak ada' ahli, cawangan atau bahagian. Bagaimanapun hasil kerjasama semua termasuk Menteri Besar Johor ketika itu, Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bilik Gerakan BN, Shahrir Samad (mengetuai UMNO Johor Bahru), BN menang dengan majoriti amat tipis iaitu 31 undi. Calon BN, Yunus Sulaiman mendapat 10,181 undi manakala Abdul Razak Ahmad (PSRM) memperoleh 10,150 undi. Enam bulan berikutnya, Shahrir pula mengosongkan kerusi Parlimen Johor Bahru yang dimenangi atas tiket BN pada PRU 1986. PRK diadakan pada 25 Ogos 1988. Beliau bertanding atas tiket Bebas menggunakan simbol kunci. Dalam kempen yang hebat dan sengit iaitu ketika ahli-ahli UMNO masih meratapi musibah yang menimpa UMNO, akhirnya Shahrir menang. Beliau memperoleh 23,581 undi mengalahkan calon BN, Mas'ud Abdul Rahman (10,968 undi) dan Abdul Razak Ahmad (PSRM) memperoleh 2,260 undi.

Satu lagi PRK berlangsung pada 20 Oktober 1988 iaitu di Parit Raja berikutan kematian penyandang. Tujuh calon bertanding iaitu BN dan Bebas. BN melalui calonnya Mohd Yasin Kamari menang dengan majoriti 413 undi apabila memperoleh 7,262 undi sementara calon Bebas, Hamdan Yahaya (6,849 undi) dan calon-calon lain (67, 42, 30, 13 dan 9 undi).

Tahun 1989, sekali lagi berlaku PRK - terakhir sebelum Tenang - iaitu di DUN Tambatan pada 5 Ogos 1989. PRK diadakan bagi mengisi kekosongan akibat kematian. Pada PRK itu, calon BN, Abdul Kadir Annuar menang dengan majoriti 1,075 undi mengalahkan calon Semangat 46, Lt. Jen. (B) Jaafar Onn serta dua calon Bebas lain. Begitulah beberapa siri PRK di Johor sebelum Tenang.

Selepas Tenang, siri PRK akan singgah pula di Merlimau, Melaka pada 6 Mac ini. Sekali lagi tumpuan kepada BN dan Pas. Mungkinkah PRK Merlimau yang terakhir. Adakah selepas Merlimau, pintu PRK akan diselak rapat-rapat sehinggalah pilihan raya umum mengambil tempatnya? Bagaimana pula dengan Pelabuhan Klang yang diisytihar kosong oleh Speaker DUN Selangor tetapi belum dibincangkan oleh SPR?

PRK kali ini selepas PRU merupakan satu rekod, terbanyak setakat ini. Bagaimanapun kerajaan masih bernasib baik. Sebabnya selain kematian dan peletakan jawatan yang menyebabkan PRK, dunia politik negara juga tidak habis-habis dengan siri keluar parti. Mujurlah mereka sekadar keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, bukannya meletak jawatan. Setakat ini 13 orang wakil rakyat meninggalkan parti politik iaitu hampir menyamai jumlah PRK.

Apakah akan ada lagi yang akan meninggalkan parti? Mungkin kita harus berterima kasih kepada 13 wakil rakyat ini yang tidak meletak jawatan. Jika tidak, lebih banyak wang terpaksa dibelanjakan untuk PRK. Pada masa yang sama, terlalu banyak PRK akan mewujudkan suasana yang tidak tenang dalam masyarakat. Ini disebabkan corak kempen yang semakin agresif sehingga boleh menjejaskan hubungan sesama masyarakat. Kekerapan PRK menyebabkan ramai yang asyik berpolitik.

Kepada Azahar Ibrahim, tahniah! Begitu juga kepada Menteri Besar, Abdul Ghani Othman yang memimpin jentera BN pada PRK Tenang. Semoga Tenang akan kembali tenang selepas ini.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Koyak Rabak

PKR sudah jadi parti koyak rabak

MENGIKUTI perkembangan terbaru yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), mungkin selepas ini parti itu lebih layak digelar Parti Koyak Rabak. Hati barisan pemimpin yang ikhlas berjuang untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang ditubuhkan pada 1999 itu bukan sahaja telah carik, malah semakin koyak rabak angkara sikap penasihat parti itu sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ekoran itu, semakin banyak pemimpin PKR keluar parti selepas mendapati niat ikhlas mereka berjuang untuk memperkasakan PKR adalah sia-sia. Mereka kini sudah melihat bahawa perjuangan asal parti telah lari daripada matlamat asal sekali gus memaksa mereka angkat kaki. Mereka sedar bahawa selama ini, mereka hanya menjadi perkakas politik kepada Anwar yang beria-ria mahu menawan Putrajaya.

Mereka juga sedar bahawa PKR kini bergerak semata-mata untuk memperjuangkan nasib Anwar, bukannya nasib rakyat seperti yang dilagukan.

Tidak ada hebatnya kedudukan parti yang menyaksikan barisan pemimpinnya keluar meninggalkan perjuangan, seorang demi seorang. Kita tentu masih ingat Timbalan Presiden Chandra Muzaffar, Ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Zainur Zakaria dan Datuk S. Nallakarupan, Naib Presiden Marina Yusuf dan Setiausaha Agung Anuar Tahir telah lama meninggalkan parti tersebut. Kenapa mereka keluar? Tidak setiakah mereka terhadap parti atau ada sesuatu yang memaksa mereka berbuat demikian.

Semalam seperti yang dilaporkan media tempatan, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mengisytiharkan keluar parti kerana kecewa dengan gaya kepimpinan Anwar yang terlalu memanjakan anak emasnya, Azmin Ali sehinggakan semua nasihat daripada barisan pemimpin parti itu tidak dipedulikan kerana sayangnya Anwar terhadap Azmin. Mungkin kenyataan Gobalakrishnan itu menjawab segala persoalan di atas.

Kita tertanya-tanya juga, apa agaknya ilmu yang ada pada Azmin sehinggakan Anwar sanggup kehilangan sebilangan besar pemimpin parti, semata-mata mempertahankan anak emasnya itu. Adakah ilmu penunduk, ilmu pengasih atau apa saja ilmu yang membuatkan Anwar lebih rela melihat kerosakan berlaku pada PKR daripada melihat kerosakan menimpa Azmin.

Dalam hal ini, hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui, selain yang empunya diri - Anwar dan Azmin tentang apa sebenarnya yang melanda parti tersebut. Jika dihitung satu persatu wajah-wajah pemimpin yang meninggalkan PKR seperti yang disiarkan akhbar ini semalam, jumlah mereka yang tekad meninggalkan parti itu adalah 36 orang, tidak termasuk Gobalakrishnan. Beliau menjadi pemimpin yang ke-37 keluar parti.

Kita percaya, selepas ini akan banyak lagi yang akan mengikut jejak mereka. Ini kerana mereka semakin sedar bahawa Penasihat PKR itu bersama Timbalan Presiden PKR berjuang bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi untuk kepentingan sendiri. Disebabkan itulah, maka di antara empat kerajaan negeri yang dipimpin oleh pakatan pembangkang di negara ini, negeri Selangor yang dipegang oleh PKR menjadi negeri yang paling kucar kacir. Lebih menyayat hati apabila menteri besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri panas punggung kerana kerusinya kini diintai oleh Azmin yang mendapat sokongan kuat Anwar.

Jika dalam sebuah pentadbiran negeri, sudah menampakkan kekalutan dalam pemerintahan, maka kita sudah dapat bayangkan betapa huru hara dan kacau bilau negara jika diperintah oleh pakatan pembangkang. Soalnya, PKR wujud untuk siapa dan apa perjuangannya? Memang rakyat wajar bertanya kerana mereka sendiri keliru adakah mereka telah tersalah memberi tanggungjawab kepada PKR dalam pilihan raya umum yang lalu.

Masih belum terlambat untuk rakyat membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Singkirkan terus parti koyak rabak ini daripada sanubari dan buatlah pilihan bijak demi masa depan agama, bangsa dan negara yang lebih menyakinkan di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional.

Sabu


Tabung Memali: Saya fitnahkah?



AKHBAR Harakah melalui kolumnisnya Zulkifli Yahaya, keluaran 29 November-2 Disember 2010 pertikai kononnya saya menggunakan akhbar musuh menghentam kawan dalam mengulas buku saya bertajuk Mohd Sabu Air Mata di Bumi Memali. Buku saya juga dikatakan sarat dengan prasangka dan fitnah. Sedangkan penulis, Zulkifli Yahaya ketika dihubungi mengakui belum membaca buku saya sepenuhnya.

Tanpa membaca, beliau telah menghukum saya membuat fitnah semata-mata untuk pertahankan individu tertentu dalam parti dan juga kononnya pertahankan maruah parti yang mungkin tercalar hasil pendedahan saya dalam buku tersebut. Ini, adalah antara sikap sebenar yang diamalkan dalam Pas dan bukan saja keperibadian Zulkifli Yahaya.

Pimpinan Pas pertama yang membeli buku saya ialah Nasruddin Hassan Tantawi semasa majlis ceramahnya di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 14 November 2010. Selepas itu, Timbalannya Azman Shafawi semasa ceramah di Kg. Memali, Baling pada 21 November 2010. Malah Timbalan Presiden Pas, Nasarudin Md. Isa juga menerima buku tersebut pada 19 November 2010 semasa menyampaikan ceramah di Kampung Memali, Baling.

Beberapa orang lagi pimpinan Pas Pusat dan negeri Kedah, difahamkan turut membelinya.

Saya yakin mereka ini telah membacanya. Ahmad Yahaya, Ketua Pemuda Pas Kedah mengakui kepada Mohd. Arsyad Zamani anak Ibrahim Libya, yang dia telah membaca pendedahan saya.

Kerana itu, dia cuba menolak buku pemberian Mohd. Arsyad selepas tamat majlis Ijtimak Alumni Pelajar Madrasah Memali pada petang 21 November 2010.

Hasil pembacaan orang-orang kanan dalam Pas itu, seperti ada arahan tidak rasmi yang melarang buku saya dijual dalam Majlis Memperingati 25 Tahun Memali. Beberapa orang pembantu saya, termasuk bekas pelajar Memali yang cuba menjual buku itu dilarang masuk ke kawasan madrasah.

Selepas itu, dalam majlis ceramah Pas beberapa negeri juga saya dimaklumkan yang buku itu dilarang jual.

Usaha melarang jualan buku dalam majlis Pas dan juga ulasan Zulkifli Yahaya dalam Harakah dilihat sebagai usaha menyekat ahli Pas mendapat maklumat sebenar tentang isu yang berlaku di Memali. Usaha pihak tertentu dalam Pas, sekurang-kurangnya menjejaskan jualannya.

Perancangan secara halus ini berhasil, sekurang-kurangnya menjejaskan jualannya. Hingga ada yang mencadangkan saya mengambil tindakan mahkamah terhadap Harakah dan juga kolumnisnya Zulkifli Yahaya, kerana memfitnah saya.

Apakah dosa buku saya sehingga menerima layanan begitu negatif oleh pihak tertentu dalam Pas? Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, isu yang diungkit oleh saya adalah isu lama. Ramai yang telah lupa dan Pas menganggap isu itu telah selesai. Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden pula mengatakan, saya tidak patut membukukan isu yang burukkan imej Pas.

Demikianlah sikap mereka yang cuba menutup bangkai yang sekian lama membusuk.

Namun apabila timbul isu berkaitan skandal atau penyelewengan pimpinan UMNO/BN, mereka sangat prihatin. Mengajak masyarakat sama-sama mendesak pelbagai pihak untuk menyiasat atau mengambil tindakan.

Berbeza sekali dengan apa yang saya dedahkan penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa pimpinan Pas, bukan saja individu tertentu, malah melibatkan Pas itu sendiri. Penyelewengan dan penipuan berjuta ringgit milik berpuluh orang anak yatim serta 14 orang balu dan juga hampir 200 orang mangsa Memali langsung tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan Pas. Ia tidak mahu disensasikan, sebaliknya dianggap isu yang basi.

Nasib terkini balu-balu tidak dipedulikan. Tahukah mereka empat orang balu telah pun meninggal dunia, yang lainnya sedang melalui alam tua. Ada yang sedang menderita setelah kaki dipotong akibat kencing manis. Balu Ibrahim Libya sendiri sentiasa dalam keadaan tidak sihat. Berapa orangkah pimpinan Pas yang mengambil tahu nasib mereka?

Mungkinkah sekali lagi saya dikecam kerana menggunakan Utusan Malaysia meluahkan rasa hati. Sekali lagi saya ulangi, permasalahan yang saya dedahkan adalah isu penipuan hak anak yatim dan balu-balu Memali. Mereka ditipu oleh sebuah parti yang berpengaruh atas label perjuangan Islam. Saya cabar kepimpinan Pas dan Harakah dedahkan apa yang saya tulis itu semuanya salah, memutar belit dan fitnah.

C.N Al-Afghani

Memali

Sunday, January 30, 2011

Celaru

Kisah Nik Aziz...

Bisik-Bisik Mingguan
MURSYIDUL Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat menunjukkan pemikirannya yang semakin bercelaru. Tok Guru itu tidak habis-habis memalukan Pas.

Terbaru beliau mempertahankan kenyataan mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew agar umat Islam di republik itu tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran dan nilai Islam.

Aneh, seorang pemimpin Pas yang mahu menegakkan negara Islam boleh berkompromi dengan kenyataan Kuan Yew. Mujurlah sebahagian pemimpin Pas tidak senada dengan beliau. Antaranya Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang membidas Kuan Yew. Beliau ada keberanian menyanggah pengasas Singapura itu dengan hujah-hujah ilmiah mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Namun sikap Nik Aziz tidak mengejutkan. Jika beliau boleh tunduk dengan DAP maka tiada sebab untuk tunduk dengan Kuan Yew yang merupakan pengasas PAP, parti yang memerintah Singapura sehingga kini. Ini kerana PAP dan DAP ada jalinan strategik. Sebab itu, Nik Aziz tidak berani untuk bersuara mempersoalkan Pengerusi DAP Karpal Singh yang terus menolak penubuhan negara Islam. Pertama kali dalam sejarah ada pemimpin utama Pas yang menjadi alat DAP. Awang dapat tahu, ramai ahli Pas yang kecewa dengan kenyataan Nik Aziz lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya kecil Tenang. Malah ada yang menyatakan beliau sudah tidak lagi relevan selain menjadi liabiliti kepada Pas. Awang juga berpendapat begitu. Anak Nik Aziz, Nik Abduh jauh lebih bijak dan wajar diberi peranan untuk meneruskan legasi bapanya suatu hari nanti.

Beberapa hari lalu pula, Nik Aziz mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa mereka yang tidak mengundi Pas sebagai golongan jahiliah. Awang sudah tidak larat geleng kepala apabila bercakap tentang kecelaruan Nik Aziz. Menteri Besar Kelantan itu nampaknya riak dan semakin banyak menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik. Dua tokoh agama dari Kelantan iaitu bekas Ahli Jawatankuasa Ulama Pas, Mohd. Noor Idris dan Pengagas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah turut menyelar kenyataan Nik Aziz. Awang harap Nik Aziz tidaklah meletakkan imejnya seperti pengamal ajaran sesat Ayah Pin yang sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Jika dibuat perbandingan siri-siri kenyataan Nik Aziz sejak bertahun-tahun lalu dan Ayah Pin, rasanya Tok Guru itu lebih banyak mengelirukan umat Islam. Tetapi apakan daya, ketaksuban oleh sebahagian ahli dan penyokong Pas, menenggelamkan rasional. Sedihnya, di antara Islam sejati dan fahaman Nik Aziz, ramai juga yang sanggup memilih untuk akur dengan Tok Guru yang celaru.

Saturday, January 29, 2011

Jiran

BERBAIKLAH DENGAN JIRAN

LEE Kuan Yew mempunyai akal yang pintar dalam menggunakan politik untuk mencapai kepentingannya. Singapura mempunyai definasi demokrasi yang lain daripada semua negara di muka bumi ini. Kuan Yew tahu yang ia perlukan orang Melayu di Singapura dan rantau semenanjung ini.

Dia mahu orang Melayu Singapura yang hanya bernama Melayu tetapi jauh dari ajaran Islam. Melayu yang semua serba-serbi boleh. Tidak perlu bertudung, masuk gereja pun boleh dan macam-macam lagi.

Mungkin dia belajar berkenaan agama Islam sekadar hanya untuk mengetahui cara untuk menguasai orang Islam, bukan sepenuhnya. Kuan Yew tetap curiga dengan orang Melayu Islam sebab penasihat militarinya adalah orang Zionis. Agama Kuan Yew pun dirahsiakan, mungkin bagi dia agama adalah hanya satu ideologi.

Islam adalah cara kehidupan yang sempurna. Mungkin, dia takut untuk mendalami Islam, sebab takut yang dia dan partinya akan hilang kuasa. Kuan Yew harus sedar kebangkitan Islam tidak dapat dielakkan, seperti perbankan Islam di mana Singapura sendiri menerimanya.

Singapura tidak patut rasa dirinya seperti Israel yang dikelilingi musuh. Singapura adalah negara kecil yang perlukan jiran. Sedarlah dan berbaiklah dengan Malaysia dan Indonesia. Untuk melakukan demikian, langkah pertama adalah dengan menghormati hak-hak orang Islam di Singapura.

Najwa

Johor

Cebik

NASIB MELAYU SINGAPURA

APABILA membaca kenyataan ‘Tan Malaka’ yang memuji Melayu Singapura mempunyai kehidupan yang lebih teratur dan lebih maju, saya mencebik dengan sinis.

Kita semua tahu nasib Melayu Singapura yang terpinggir dari kepesatan arus pembangunan sosioekonomi dan politik Singapura. Ini membuatkan identiti mereka semakin hari semakin terhakis.

Membuat perbandingan dengan Melayu Singapura yang cuma 13% jumlah penduduk di sebuah negara kecil bertaraf negara bandar Raya adalah perbandingan yang tidak adil.

Latar belakang orang-orang Melayu di sini yang majoritinya adalah penduduk luar bandar dan pedalaman perlu diambil kira. Sepatutnya Tan Malaka perlu juga melihat betapa orang Melayu Malaysia yang suatu ketika dulu sangat mundur dan ketinggalan serba-serbi telah sama-sama maju ke depan dari segala aspek.

Walaupun masih ketinggalan berbanding etnik Cina kerana mereka telah lama mendominasi penduduk bandar dan pembangunan ekonomi negara. Ini semua adalah adalah usaha tidak kenal jemu pemerintah Malaysia yang diterajui orang Melayu untuk merapatkan jurang perbezaan walaupun menghadapi pelbagai dan rintangan.

Dalam konteks ini, sepatutnya Tan Malaka membandingkan kedudukan Melayu Singapura berbanding etnik Cina dan lain-lain etnik di Singapura.

Bukan rahsia lagi bahawa Melayu Singapura telah jauh tercicir berbanding etnik lain. Ini semua adalah hasil dari dasar kerajaan Singapura yang mengamalkan pemerintahan semi-autokratik. Benar seperti kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, kebebasan bersuara di Singapura adalah terhad kepada sokongan terhadap dasar kerajaan sahaja.

Bangkangan terhadap dasar kerajaan akan disisihkan melalui proses undang-undang yang dilihat seolah-olah suatu tindakan yang halal.

SUZIE

KUALA TERENGGANU

Beza Melayu Singapura

BEZA MELAYU DAN SINGAPURA

BEZANYA bumiputera atau masyarakat Melayu di Malaysia dengan Melayu Singapura adalah di Malaysia orang Melayu bebas tubuhkan parti politiknya sendiri tetapi di Singapura tidak boleh sama sekali.

Di Singapura, mereka yang berbangsa Melayu hanya memegang jawatan rendah dan tidak penting walaupun berkelulusan baik.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai jaga, tukang buka pintu hotel atau tukang kebun. Kalau ada pun yang bekerja baik sedikit dengan kerajaan hanya sebagai kerani atau guru sekolah sahaja.

Begitu juga dalam pasukan beruniform. Orang Melayu hanya diberikan pangkat rendah sahaja dan tidak diberikan peranan penting dalam tentera atau polis.

Terlalu sedikit orang Melayu Singapura berjawatan tinggi baik dalam sektor kerajaan atau swasta. Pernah saya terdengar keluhan orang Melayu Singapura bahawa mereka ini seolah-olah tinggal di dalam sangkar emas. Tidak perlu ditafsirkan maksudnya. Benar kenyataan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya kita belajar daripada kesilapan lalu. Bangsa Melayu jangan sampai hilang segala-galanya baru hendak sedar.

Kedudukan Melayu di Singapura perlu dijadikan iktibar. Jika Melayu Malaysia tidak bersatu dan selalu bercakar sesama sendiri dikhuatiri kita akan kehilangan kuasa. Apabila hilang segala-galanya jangan salahkan orang lain kecuali diri sendiri. Waktu itu menangis air mata darah sekalipun tidak dapat kembalikan kuasa.

Sejarah mengajar kita kejatuhan empayar Melaka pada 1511 ke tangan Portugis disebabkan perpecahan dan sikap berpuak-puak orang Melayu pada masa itu.

Sejak Melaka jatuh, negeri-negeri lain di Tanah Melayu ini menyusul tunduk kepada penjajah dan diperlakukan seperti bola. Mereka tukarkan pemilikan negeri sesuka hati di antara Portugis, Belanda, Inggeris dan Sepanyol.

Pada masa itu, orang Melayu tertindas dan tidak dipedulikan. Malah ada yang dijadikan seperti hamba. Kita dijajah hampir 500 tahun dan pada 31 Ogos ini genaplah 500 tahun ulang tahun Melaka jatuh ke tangan penjajah pada 1511.

Kini, kita sudah merdeka dan dapat balik hak-hak kita yang selama ini diambil. Diharap orang Melayu sedar bahawa jika terjajah sekali lagi kemungkinan segala kuasa kita dilenyapkan dan untuk kembali atau bangun semula dimasa itu sudah mustahil.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban

Thursday, January 27, 2011

Melayu Derhaka


Letak jawatan demi maruah

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Abdul Khalid Ibrahim membentang usul meminda perlembagaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor pada Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar di Shah Alam, Isnin lalu. UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH

MUNGKIN ramai daripada kita yang masih ingat episod "patik mohon sembah derhaka" yang dipohon bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2009.

Tanpa sedikit pun perasaan hormat, beliau memohon untuk 'derhaka' lantaran Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memberi perkenan agar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilantik sebagai Menteri Besar yang baru.

Tindakan Mohammad Nizar itu menyebabkan institusi kesultanan Melayu terutama di Perak diperlekehkan sehingga terdapat di kalangan pengikut pembangkang sanggup mengepung dan berbaring di atas jalan raya semata-mata untuk menghalang kenderaan yang membawa rombongan diraja.

Walaupun kejadian itu telah berlaku dua tahun lalu, ia nampaknya telah dilakonkan semula di Selangor yang juga diperintah pembangkang.

Kali ini, ia berpunca kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bersetuju apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberikan perkenan supaya Datuk Mohammed Khusrin Munawi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Jika di Perak, Mohammad Nizar menyatakan secara terbuka untuk sembah derhaka, di Selangor lain pula yang dilakukan, apabila secara halus kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, kelmarin.

Walaupun Abdul Khalid memberi alasan pindaan itu bertujuan mengembalikan kuasa untuk pelantikan tiga pegawai tertinggi kerajaan negeri kepada Sultan dan Menteri Besar, ia sebenarnya mempunyai tujuan lain yang tersembunyi.

Seperti yang didedahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang juga pakar perlembagaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim baru-baru ini, bahawa ia sebenarnya bermotifkan politik yang bertujuan mengikat Sultan Selangor. Pihak yang benar-benar berkuasa sebenarnya ialah Menteri Besar.

''Jika pindaan ini diteruskan, Sultan Selangor akan terikat ketat kerana perkataan 'hendaklah' pada ayat yang dicadangkan dalam peruntukan pindaan itu akan mengongkong sultan daripada membuat pertimbangan secara bersendirian," katanya.

Kata Rais, Sultan Selangor hanya ada peluang sekali sahaja untuk mengembalikan senarai nama SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang kepada pihak suruhanjaya perkhidmatan negeri andainya baginda tidak berkenan kepada seseorang calon.

Persoalan yang bermain di kalangan banyak pihak adalah, kenapa Sidang DUN itu yang digelar oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai 'sidang derhaka' terus diadakan, sedangkan kerajaan negeri sebenarnya telah tahu sejak dari awal lagi bahawa pindaan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga.

Kenapa kerajaan PKR Selangor yang diterajui Abdul Khalid sanggup bertindak sesuka hati sedangkan perbuatan itu hanya membuang masa wakil rakyat dan menyebabkan wang terpaksa dibelanjakan termasuk membayar elaun Yang Berhormat dan kakitangan kerajaan yang bertugas.

Pemerhati politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd. Razali yang diminta mengulas isu itu berpendapat, tujuan utama kerajaan PKR Selangor mengadakan Sidang DUN itu adalah semata-mata untuk mendapatkan publisiti.

''Saya difahamkan kira-kira 100,000 orang telah menyaksikan sidang ini termasuk melalui Internet dan ini telah memberi publisiti kepada kerajaan negeri dan membolehkan semua pihak tahu pendirian mereka," ujarnya.

Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Kampus Dungun, Terengganu itu menambah, jika dilihat dari segi kos pula, ia adalah satu pembaziran dan tidak wajar diadakan kerana pindaan itu memang tidak boleh dibuat kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga.

Menurut Che Hamdan, pendekatan secara berhemah sepatut digunakan oleh kerajaan PKR Selangor bagi mengatasi kemelut berkenaan dan mereka wajar mencontohi pentadbiran kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

''Ketika Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menjadi Menteri Besar, isu-isu tidak berpuas hati dengan pelantikan pegawai tertentu juga timbul, tetapi ia telah berjaya di selesaikan secara berhemah.

''Bagi saya tindakan membuat kecoh ini akan menjejaskan tumpuan semua pihak kepada perkara-perkara penting lain yang perlu diutamakan untuk kesejahteraan rakyat,'' ujar beliau.

Dalam sesi pengundian secara belah bahagian kira-kira pukul 6.15 petang Isnin lalu, pindaan itu hanya disokong oleh 34 penyokong kerajaan manakala 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepakat menolak pindaan tersebut.

Kerajaan negeri gagal mendapat empat lagi undi bagi meraih majoriti dua pertiga iaitu 38 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.

Walaupun gagal untuk membuat pindaan itu, Abdul Khalid nampaknya tetap tidak mahu beralah apabila menyatakan beliau akan membangkitkan semula isu itu selepas pilihan raya umum akan datang, apabila pembangkang dapat meraih lebih banyak kerusi.

Menteri Besar Selangor itu turut mendedahkan hasratnya untuk membawa isu pindaan berkenaan ke mahkamah bagi semakan kehakiman.

Sikap Abdul Khalid itu adalah tidak wajar memandangkan beliau seorang Menteri Besar. Jawatan yang disandangnya adalah sama taraf dengan bendahara pada zaman kesultanan Melayu.

Pada zaman dahulu, bendahara ialah orang kedua selepas sultan. Beliau diibaratkan sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar serta penasihat sultan. Bendahara juga ketua hakim dan ketua seluruh pentadbiran.

Abdul Khalid mungkin boleh menghimbau kembali sejarah lampau berkenaan kisah Raja Muhammad, anak Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah yang telah membunuh Tun Besar, anak Bendahara Melaka yang kelima, Tun Perak.

Tun Besar dibunuh kerana bola raga yang disepaknya telah tersasar mengenai Raja Muhammad sehingga menjatuhkan tanjak yang dipakai baginda.

Apabila kesemua anak buah bendahara bersiap sedia menuntut bela, Tun Perak yang pernah memegang jawatan sebagai penghulu di Klang, Selangor memarahi mereka dengan katanya, pantang hamba Melayu menderhaka.

Selain itu, Menteri Besar Selangor juga mungkin boleh mengambil iktibar daripada kisah pada zaman pemerintahan Sultan Perak, Sultan Iskandar Dzulkarnain pada abad ke-18 apabila Orang Kaya Bendahara Perak, Megat Abu Kassim telah meletakkan jawatan bersama pembesar kanannya secara terhormat.

Tindakan itu dilakukan kerana tidak mahu menderhaka kepada sultan setelah berlaku salah faham antara baginda dengan kerajaan pimpinan Megat Abu Kassim.

Justeru, sudah sampai masanya untuk Abdul Khalid mengikut nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam supaya beliau melepaskan jawatan Menteri Besar setelah kerajaan PKR Selangor gagal meminda Undang-Undang Tubuh negeri itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, usul untuk membuat pindaan itu bukan sahaja tidak sepatutnya dibawa ke sidang DUN bahkan menimbulkan suasana kurang selesa masyarakat kerana terlalu banyak perkara yang dipolitikkan oleh pakatan pembangkang.

Jangan terus biarkan Selangor kacau-bilau dengan pelbagai isu politik, kerana akhirnya yang akan rugi hanyalah rakyat jelata.

Wednesday, January 26, 2011

Bazaar Tok Guru

Pas Kelantan perlu jelaskan isu Bazar Tok Guru

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my
NAMANYA cukup hebat. Pembinaannya juga cukup gah bercirikan seni bina Islam dengan menampilkan enam kubah besar berwarna hijau, mengatasi bilangan kubah di mana-mana masjid di Kelantan.

Bazar Tok Guru merupakan salah satu projek yang dibangunkan oleh kerajaan Pas Kelantan melalui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang dipengerusikan oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pernah diketuai oleh menantu beliau, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Abdul Ariffahmi berkhidmat selama lapan tahun di PMBK sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 20 September 2009, mencetuskan kontroversi amalan nepotisme dalam Pas, selain kemelut dalaman PMBK yang dikaitkan dengan soal salah urus tadbir dan kewangan sehingga menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) membuat siasatan.

Terletak di Jalan Sultan Ibrahim, pembinaan Bazar Tok Guru yang dikatakan mesra pengunjung turut dilengkapi kemudahan lot letak kenderaan, surau, tandas awam, lif dan medan selera. Ia merupakan satu lagi mercu tanda di bandar Kota Bharu yang semakin pesat membangun hasil bantuan kerajaan pusat. Kehadiran bazar itu dilihat akan menyesakkan lagi jalan berkenaan yang sememangnya sudah sesak pada waktu puncak dan hari cuti umum.

Difahamkan, bazar itu diberikan nama Tok Guru untuk menghargai jasa tok-tok guru di Kelantan, yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negeri dan rakyat. Perlu diingat, Nik Abdul Aziz juga lebih dikenali sebagai seorang Tok Guru dalam kalangan rakyat Kelantan.

Bagaimanapun perkembangan mutakhir menyelubungi bangunan yang masih dalam pembinaan itu mencalit imej buruk bukan sahaja kepada kerajaan Pas Kelantan yang lantang melaung-laungkan slogan 'Bersama Kepimpinan Ulama dan Membangun Bersama Islam', tetapi juga individu yang bergelar tok-tok guru di negeri ini.

Mana tidaknya, belum pun siap dan digunakan, bangunan tersebut telah mencetuskan pelbagai polemik dan tanda tanya selepas pembinaannya menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian RM50 juta. Angka itu cukup besar bagi kerajaan Pas yang mengalami defisit bajet tahunan yang semakin tinggi setiap tahun misalnya pada 2011, defisit sebanyak RM53.24 juta dan 2010 pula RM29.50 juta.

Menurut laporan, kerugian itu disebabkan kerajaan negeri terpaksa menebus semula aras bawah bangunan berkenaan sebanyak RM23 juta daripada pemaju, syarikat Sensatimur Sdn. Bhd. disebabkan 'masalah teknikal', selain menanggung kerugian sebanyak RM30 juta akibat kehilangan tanah seluas 3.36 hektar untuk pembinaan bazar tersebut, sedangkan ukuran sebenar tapak dikatakan hanya 0.6 hektar.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'masalah teknikal' itu, tiada siapa yang tahu melainkan Nik Abdul Aziz dan kerajaan negeri sendiri. Tetapi seperti biasa, Menteri Besar itu, mahupun kerajaan negeri lebih suka 'tutup mulut', enggan memanjangkan masalah tersebut, khuatir lebih banyak kelemahan pentadbirannya terdedah kepada umum.

Selepas kerugian itu didedahkan kepada umum, banyak pihak meminta kerajaan negeri menjelaskannya, termasuk Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang meminta kerajaan Pas Kelantan memberikan penjelasan terperinci berhubung tindakannya membeli semula bazar itu daripada syarikat berkenaan.

Namun, umum mengetahui sikap kerajaan Pas Kelantan lebih suka 'pekakkan telinga dan tutup mata' apabila ada pihak memperkatakan kelemahan mereka. Sedangkan, masalah yang timbul menyebabkan rakyat Kelantan menanggung kerugian besar. Berbeza sama sekali jika kerugian itu melibatkan kerajaan pusat atau agensinya, ia pasti dicanang oleh Pas dan pakatan pembangkang ke seantero Malaya.

Ibarat sebuah drama di televisyen, kemelut membabitkan Bazar Tok Guru nampaknya belum berakhir apabila memasuki episod berikutnya ekoran rungutan 415 peniaga yang dikatakan akan berpindah ke bazar tersebut kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri terutama PMBK.

Akibat tidak berpuas hati, peniaga Pasar Besar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan Arked UDA telah mengadakan bantahan kerana mendakwa kerajaan negeri mungkir janji apabila sebelum ini mereka dijanjikan lot kedai berkeluasan 3.04 x 3.65 meter persegi pada harga RM40,000, tetapi kini harganya dikatakan naik sekali ganda antara RM80,000 hingga RM90,000 sementara keluasan lot kedai pula lebih kecil iaitu 1.82 x 2.4 meter persegi.

Menurut peniaga terbabit, kerajaan Pas Kelantan telah memberikan janji-janji manis itu dua hari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, pada 2008. Difahamkan, kerajaan Pas Kelantan berjanji untuk menyediakan prasarana perniagaan terbaik kepada kumpulan peniaga itu dengan harga 'mampu milik' dalam satu pertemuan pada 6 Mac 2008.

Perkara itu dilaporkan turut termaktub dalam manifesto pilihan raya Pas ketika itu iaitu 'Madinatur Raudhah dan Bazar Tok Guru'. Janji tersebut pula dikatakan dibuat oleh Nik Abdul Aziz dan disampaikan oleh seorang pegawai tinggi PMBK ketika itu kepada peniaga terbabit.

Dalam pertemuan itu juga, satu memorandum dikatakan telah ditandatangani antara wakil peniaga dan PMBK antara lain menyatakan kerajaan negeri akan memajukan ekonomi negeri dengan lebih efektif termasuk menyediakan satu kawasan pusat perniagaan dengan pelbagai jenis kemudahan.

Mengambil kira apa yang berlaku, mungkinkah wujud unsur penipuan atau pecah amanah atau rasuah dalam pembinaan Bazar Tok Guru? Persoalan itu ditimbulkan oleh banyak pihak, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan menuntut campur tangan SPRM.

Pengarah SPRM negeri, Nasaruddin Mohd. Nor ketika ditemui baru-baru ini telah menyatakan kesediaan pihaknya meneliti sama ada berlaku penyelewengan dalam masalah tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Bagi Pengerusi Persatuan Peniaga Arked Huda, Borhan Mohamad Nor, pihaknya tidak akan berpindah ke bazar itu selagi isu berkaitan tidak dapat diselesaikan sebagaimana dijanjikan. Sementara Pengerusi Pasar Besar Arked MPKB, Ab. Salim Ahmad, pula menyatakan semua peniaga percaya dengan janji Nik Abdul Aziz sebelum ini, namun akhirnya kecewa apabila diperlakukan sedemikian.

Sebenarnya, masalah bazar berkenaan telah lebih setahun didedahkan tetapi sehingga kini belum ada sebarang tindakan proaktif diambil oleh mana-mana pihak untuk menanganinya. Kerajaan Pas Kelantan sudah semestinya cuba 'menutup' segala kelemahan yang didedahkan.

Lantaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan mahu siasatan dijalankan bagaimana maklumat mengenai kerugian tersebut boleh terdedah kepada umum.

Sehubungan itu, campur tangan SPRM dilihat mampu merungkai persoalan-persoalan yang berlegar-legar di fikiran rakyat mengenai Bazar Tok Guru. Namun, jangan pula nanti ada usaha untuk melindungi mana-mana pihak berkepentingan kerana masalah ini melibatkan kepentingan rakyat terutama peniaga terbabit.

Semua pihak kini menanti episod seterusnya dalam kisah Bazar Tok Guru ini. Apakah kesudahannya, adakah ia akan menerima nasib seperti isu sumbangan sebanyak RM4 bilion yang diberikan oleh sebuah syarikat, I'DA World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) kepada Pas Kelantan?

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, January 25, 2011

Anak Nogori

'Anak Nogori' belajarlah jadi manusia bersyukur

MOHD. RASHIDI AB. RAOF
Putrajaya
Saya merupakan seorang penjawat awam dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan. Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah membaca tulisan Anak Nogori yang disiarkan di ruangan ini pada 21 Januari 2011, berkenaan dengan kekesalan beliau tidak ditempatkan bertugas di Negeri Sembilan setelah melapor diri di Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Anak Nogori kerana berjaya ditawarkan untuk berkhidmat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), dalam erti kata lain berkhidmat dengan kerajaan. Mungkin ada juga calon yang turut memohon sehingga sekarang masih tidak ditawarkan tempat.

Apabila saya membaca luahan itu saya memahami situasi tersebut kerana saya dan lain-lain penjawat awam pernah melaluinya, cuma bezanya tempat melapor diri. Pada hemat saya, mungkin ada kesilapan sama ada dari pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau pihak SPP di Putrajaya dalam menempatkan pegawai baru.

Saya tersenyum apabila Anak Nogori seolah- olah tidak berpuas hati mengenai perkara ini, lantas beliau mengharapkan tiada unsur politik dalam perkara tersebut. Tersenyum saya membacanya. Kepada Anak Nogori, belum pun bertugas sudah mengeluh, tak puas hati dan disiarkan dalam khabar. Apa tujuannya? Kita ada saluran dan ikutlah saluran tersebut. Nama Anak Nogori bukan tiada, cuma tidak ditempatkan di Negeri Sembilan. Saya juga anak jati Negeri Sembilan dan tiada masalah untuk bertugas di tempat lain.

Untuk makluman Anak Nogori, adik perempuan saya pada penghujung tahun 2010 menerima surat tawaran dari Jabatan Pelajaran Negeri Kedah untuk berkhidmat sebagai seorang pendidik di salah sebuah sekolah menengah di sana. Saya sendiri dan keluarga yang menghantarnya melapor diri di Pejabat Pelajaran Negeri Kedah di Alor Setar sebelum mengetahui sekolah mana ia ditempatkan. Saya akui pada mulanya keluarga terutama ayah dan emak terperanjat dengan tawaran tersebut. Namun keluarga menerimanya dengan berlapang dada. Orang tua saya membuat kenduri kesyukuran dan doa selamat sebelum adik saya melapor diri.

Saya begitu yakin semasa kita ditemu duga dahulu panel penumuduga ada bertanya; "Adakah sanggup untuk bertugas di negeri lain?". Jawapan yang lancar di mulut; "Ya, saya sedia bertugas di mana-mana sahaja jika ditawarkan."

Justeru itu, kepada Anak Nogori berpijaklah di bumi nyata. Bukan anda seorang sahaja yang nak dilayan, malah ramai lagi. Itu belum lagi yang bertugas di Sabah dan Sarawak ataupun orang Sabah dan Sarawak yang bertugas di Semenanjung. Mungkin pada masa ini Anak Nogori tidak berpeluang untuk bertugas di negeri kelahiran sendiri. Insya-Allah, satu masa nanti Anak Nogori akan dapat juga akhirnya.

Setiap sesuatu itu pasti ada hikmah yang tidak kita ketahui. Di luar sana masih ramai yang tidak berpeluang menikmati apa yang kita kecapi. Jadilah insan yang sentiasa bersyukur.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Melayu Lupa

Hendak berbangga biarlah bertempat

Syabas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Walaupun dikritik beliau tentu tidak akan marah dan pasti jawapan daripada beliau adalah “depa ada mulut biak pi (biarkan) apa depa nak kata”.

Tetapi warga Singapura tentu tersilap orang untuk dikritik. Mereka kritik negarawan ulung yang telah menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Pencetus idea Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Litar F1 Sepang, Menara Berkembar, Putrajaya, Cyberjaya, kereta nasional, LIMA Langkawi, Le Tour de Langkawi, hingga menjadikan Malaysia disegani khususnya oleh negara-negara Islam di Asia Barat. Itulah satu-satunya anak Melayu di dunia yang hanya ada di Malaysia.

Benar kata Dr. Mahathir bahawa ada Melayu yang mudah lupa, lebih-lebih lagi Melayu yang tidak tinggal di Malaysia. Mereka lupa bahawa ‘rumah’ yang mereka diami yang pada asalnya mereka punya tetapi akhirnya mereka jadi penyewa.

Tidak dinafikan bahawa memang rakyat Melayu Singapura hidup mewah, tetapi kesenangan dan kemewahan mereka adalah disebabkan pertama, nilai mata wang mereka tinggi. Kedua, mereka mempunyai jiran yang menjual komuniti dengan harga yang murah. Sekiranya nilai mata wang mereka sama dengan ringgit Malaysia, hidup mereka mungkin lebih papa daripada rakyat Malaysia.

Kebanyakan mereka seronok berbelanja di Johor Bahru dan Melaka. Ada juga sehingga ke Padang Besar, Langkawi atau Golok. Tidak ketinggalan ke Batam atau Jakarta. Lebih teruk lagi, mereka lupa yang mereka juga mendapat tempias daripada barangan bersubsidi yang sepatutnya hak rakyat Malaysia sahaja. Nak berbangga biarlah bertempat.

Mereka berani mengutuk Tun tetapi tidak berani mengutuk pemimpin mereka kerana mahkamah akan menunggu. Mereka tidak boleh buat silap dan perlu akur terhadap segala peraturan. Kadang-kala, ada peraturan yang tidak diredai tetapi terpaksa dipendamkan sahaja.

Sepatutnya mereka berbangga masih ada Melayu yang berjaya walaupun bukan warga negara mereka. Jika terdapat apa-apa teguran sepatutnya jadikanlah iktibar atau pembakar semangat untuk maju, bukannya menangkis dengan mengutuk yang akhirnya terpercik ke muka sendiri.

Rakyat Melayu Malaysia perlu bersyukur mempunyai ramai usahawan Melayu yang tidak hanya berniaga di pasar-pasar tetapi menjadi usahawan bertaraf dunia, di samping jawatan tertinggi dalam angkatan tentera dan jabatan kerajaan.

HABA

Melaka

Monday, January 24, 2011

Pemaju PP Ada Muslihat

Muslihat pemaju rumah di P.Pinang

SAYA merupakan seorang anak jati Pulau Pinang dan amat terkilan kerana masyarakat bumiputera yang berkemampuan untuk membeli rumah teres di Pulau Pinang cuba ditipu oleh pemaju perumahan swasta yang tidak bertanggunjawab.

Pada bulan Ogos tahun lepas saya mendapat tahu ada sebuah projek perumahan baru yang sedang dalam pembinaan di Minden Heights dan saya telah cuba mendapatkan maklumat pemaju dari laman sesawang dan terus bergegas berjumpa dengan pemaju untuk menilai harga yang ditawarkan kepada lot-lot bumiputera bagi projek ini.

Syarikat ini sedang memajukan projek rumah teres sebanyak 73 unit di Minden Heights. Hasil pertemuan saya dengan kerani syarikat tersebut pada bulan Ogos 2010, beliau menyatakan terdapat tiga unit bumiputera yang masih belum dijual dan harga unit yang saya berminat dijual pada harga RM796,888 dan harga ini adalah melebihi harga permulaan RM788,888 yang ditawarkan pada permulaan pengiklanan projek ini.

Memandangkan saya ketika itu dalam proses menguruskan pinjaman perumahan kerajaan bersama isteri dan pada masa sama merancang untuk menjual sebuah rumah flat saya di Bayan Lepas, saya telah menghubungi pemaju semula pada 11/10/2010 dan alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu unit sama yang tidak terjual tersebut dinaikkan harga sehingga ke RM828,888.

Ini ternyata dilakukan oleh syarikat pemaju ini untuk mengaut keuntungan yang lebih besar dan seterusnya menidakkan kaum bumiputera untuk membeli rumah tersebut.

Keadaan ini telah lama berlaku di kalangan pemaju-pemaju perumahan di Pulau Pinang dan walaupun perkara ini dibawa kepada pengetahuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, namun alasan yang diberikan ialah harga yang ditawarkan itu adalah lebih rendah daripada harga siling Jabatan Perumahan Negara.

Saya memohon agar pihak kerajaan menyiasat perkara ini. Setahu saya, pihak pemaju tidak boleh menaikkan harga rumah dalam pembinaan sewenang-wenangnya dan semua lot bumiputera haruslah diiklankan terlebih dahulu tetapi hampir kesemua pemaju perumahan di Pulau Pinang tidak berbuat demikian.

Pada masa yang sama pemaju hanya memikirkan keuntungan dengan menjual projek-projek berkenaan kepada warga asing. Saya juga telah menghubungi kembali pemaju berkenaan beberapa kali dan mereka memberi alasan bahawa pengarah syarikat tiada untuk membuat keputusan bagi menjual unit bumiputera tersebut. Saya hairan kenapa setiap kali saya menghubungi mereka, alasan yang sama diberikan.

Ini menunjukkan mereka ingin menarik harga unit tersebut dan seterusnya mengaut keuntungan dengan menidakkan pembelian di kalangan masyarakat bumiputera.

Golongan bumiputera di Pulau Pinang sudah lama mengalami kemelut perumahan dan terus dipinggirkan terutamanya di bawah pentadbiran kerajaan pembangkang dan saya berharap agar satu penyelesaian segera dapat dilakukan oleh agensi yang berkenaan.

ANAK JATI

Pulau Pinang

Melayu Singapore

Melayu Singapura lebih berdisiplin

SEBILANGAN kecil terpelajar Melayu di Singapura telah memberikan reaksi panas terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap nasib orang Melayu Singapura.

Mereka mengecam Mahathir dalam Berita Harian Singapura sebagai orang tua nyanyuk mengenai pandangannya bahawa Melayu Singapura terpinggir dan ketinggalan.

Nampaknya suara Mahathir tidak sahaja masih berkesan kepada generasi baru dan lama di Malaysia tetapi juga menyengat generasi baru Singapura yang melihat nasib Melayu Singapura dalam pandangan yang berbeza dari Mahathir dan juga dalam keyakinan baru yang terbentuk oleh dasar kerajaan Singapura sekian lama.

Sesungguhnya masalah orang Melayu di Singapura tidak lagi boleh dilihat dari kaca mata lama Melayu Malaysia kerana masa depan mereka tidak lagi bergantung kepada konsep Malaysia yang memberikan perlindungan dalam persaingan dengan kaum lain tetapi mereka terpaksa menerima hakikat mesti bersaing untuk selamat dalam negara maju.

Generasi baru Melayu Singapura melihat halangan kepada masa depan mereka bukan kerana tiadanya keistimewaan seperti yang dinikmati oleh Melayu Malaysia tetapi kelonggaran disiplin, tidak mementingkan pelajaran, kepincangan rumah tangga keluarga Melayu dan Islam, keruntuhan akhlak anak muda sebagai masalah yang perlu mereka atasi.

Malah sebahagian besar Melayu Singapura masih tidak dapat melihat dinamisme Islam sebaliknya mempelajari dan memahami Islam dari aspek negatif yang tidak selari dengan kehendak pemodenan dan kemajuan zaman.

Tulisan seorang pembaca Berita Harian Singapura yang menamakan dirinya sebagai Walid Jumblaat Abdullah dengan sendirinya menolak anggapan beberapa orang penulis lagi di Berita Harian Singapura yang mendakwa bahawa masyarakat Islam Singapura berkembang sejajar dengan perkembangan ekonomi, sosial dan ajaran Islam.

Masyarakat Melayu di Singapura memerlukan kepada kepimpinan Melayu dan Islam yang dinamik dan progresif untuk menunjukkan jalan sebenar yang mesti dipilih oleh orang Melayu di Singapura untuk survival mereka tetapi malangnya Singapura mempunyai lebih banyak pemimpin Islam yang sempit, jumud dan tidak berpandangan global.

Inilah juga jenis pemimpin Islam yang dijemput oleh orang Islam di Singapura dari Malaysia untuk memberikan syarahan dan mengajar Islam kepada mereka.

Singapura bukan tidak mempunyai pemimpin-pemimpin Islam yang progresif dan dinamik di kalangan pemerintah dan juga golongan profesional tetapi bilangan mereka terlalu kecil dibandingkan dengan jumlah masyarakat Islam. Inilah yang harus disedari oleh Mahathir daripada cuba membangunkan sentimen Melayu lama di Singapura.

Mahathir tidak seharusnya hanya berinteraksi dengan orang Melayu Singapura hanya di kawasan Orchard Road tetapi juga harus sesekali pergi ke bawah, ke Geylang Serai umpamanya untuk melihat hakikat kehidupan rakyat biasa Melayu Singapura.

Kita harus menerima hakikat bahawa keadaan mereka lebih teratur dan lebih baik dari dahulu. Mereka berniaga di gerai-gerai di Geylang Serai dalam keadaan yang selesa dan jauh lebih bersih dan teratur berbanding Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Malah gerai-gerai makanan di Putrajaya pun tidak dapat menandingi mereka di segi kebersihan dan tarikan hidangan makanan yang terdedah sebaliknya tertutup dan teratur dalam tempat letak makanan bergelas menjadikannya menarik dan membuka selera.

Rumah ibadat seperti masjid dan surau di kawasan kediaman dan juga di luar pusat bandar juga lebih bersih dan ceria daripada sesetengah masjid dan surau di Malaysia. Ini membayangkan sebuah masyarakat Islam yang berdisiplin sekalipun hidup dalam keadaan yang agak tertekan.

TAN MALAKA

Putrajaya

Saturday, January 22, 2011

Gempar

Pindaan hanya mainan politik

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my
KETIKA isu pertikaian pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mula ditimbulkan, sengaja penulis menebak persoalan kepada seorang penyokong kuat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; "Adakah anda yakin boleh menang dalam permainan ini?"

Katanya, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terpaksa meneruskan tindakan 'melawan' pelantikan itu demi survival politik meskipun kelihatan laluan begitu sukar.

"Jika diterima sahaja pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru, kami akan 'habis'," katanya.

Pentadbiran Abdul Khalid sejak dari awal menganggap pelantikan tersebut sebagai satu 'serangan' politik kepada mereka. Alasannya pelantikan itu membelakangkan Menteri Besar.

Sehingga terpacul keluar kenyataan dari Exco kerajaan negeri, Dr. Halimah Ali dari Pas bahawa 'kami sudah tidak larat' dengan serangan-serangan politik dan meminta rakyat bersolat hajat.

Soalnya siapakah yang menyerang? Ternyata pada sisi lain, isu SUK telah dieksploitasi dengan sebegitu jauh sehingga begitu meresahkan rakyat negeri Selangor.

Pentadbiran Abdul Khalid sengaja memilih untuk tidak membiarkan politik Selangor berehat seketika. Ia boleh menjadi modal yang berpanjangan, meleret hingga ke pilihan raya umum akan datang.

Sejak isu itu timbul rakyat telah terpecah dua - satu menyokong dan satu membantah tindakan kerajaan negeri.

Pelantikan SUK adalah sah dari segi undang-undang dan ia telah diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Abdul Khalid juga mengakui pelantikan itu sah tetapi beliau keras kepala enggan menerima Khusrin. Dengan khabarnya, beliau amat kecil hati kerana tidak dimaklumkan pelantikan tersebut.

Faktor perkenan sultan telah menyebabkan rakyat begitu marah dengan tindakan pentadbiran Abdul Khalid. Diburukkan lagi dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dilihat begitu biadap terhadap baginda.

Jika tidak bersetuju sekali pun dengan SUK baru, Abdul Khalid sebenarnya boleh memilih untuk bertindak secara dalaman tanpa menggoncang politik negeri.

Namun mereka nampaknya tidak boleh tahan apabila nama Khusrin yang naik sebagai calon teratas dan akhirnya diperkenankan Sultan Selangor.

DAP 'menjerit' kerana bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu begitu tegas dalam kes wakil rakyat DAP masuk masjid. Pas pun menjerit sama kerana ada pemimpinnya tidak diberikan tauliah berceramah.

Cuma baru-baru ini Pesuruhjaya Pas, Datuk Dr. Hassan Mohammed Ali agak 'berlunak' apabila tidak mahu serangan dihalakan secara peribadi kepada Khusrin kerana ia akan menyebabkan puluhan ribu anggota perkhidmatan awam negeri ini akan marah.

Sebagai bekas anggota pentadbiran awam, Hassan nampaknya mengetahui dan sedar tentang sentimen tersebut.

Pentabdiran Abdul Khalid tiada jalan lain kecuali membuat tindakan paling sukar dengan mencadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri 1959. Sedangkan beliau menyedari pakatan PKR, DAP dan Pas tidak memiliki majoriti dua pertiga untuk membolehkan pindaan itu diluluskan.

Mereka berhujah pindaan itu penting bagi mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar untuk membuat pelantikan jawatan SUK, Penasihat Undang-Undang negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Di sini jelas pakatan pembangkang cuba menukar rentak permainan dengan menyatakan mereka memperjuangkan kuasa sultan agar dikembalikan.

Dengan perkembangan terkini, apabila keputusan Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim mengumumkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong apabila wakil rakyatnya, Badrul Hisham Abdullah didakwa tidak hadir persidangan selama enam bulan, kerajaan negeri memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua lagi kerusi DUN.

Dan hari ini Chang Khim membuat keputusan untuk melarang Badrul Hisham daripada menghadiri sidang tersebut.

Jika mereka mahu meraih sokongan daripada mana-mana ADUN BN, harapan itu hanya bersifat angan-angan. Semalam, Barisan Nasional (BN) telah membuat pendirian untuk hadir sidang tersebut tetapi akan menolak pindaan tersebut.

BN mesti hadir bagi membahaskan pindaan tersebut sekali gus dapat menjelaskan sebab mengapa pindaan tersebut perlu ditolak. Ketua Penerangan UMNO, Abdul Shukor Idrus berkata, ADUN BN baru menerima draf pindaan tersebut hari ini.

Katanya, pindaan satu perenggan itu membabitkan peruntukan agar cadangan pelantikan SUK dan tiga jawatan tertinggi negeri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memerlukan pertimbangan daripada Menteri Besar.

''Kita nampak tiada bezanya peruntukan undang-undang yang sedia ada kecuali peruntukan Sultan perlu mendapatkan nasihat daripada Menteri Besar.

''Kita akan bahas nanti bahawa peruntukan sedia ada sudah baik dan selama ini kita tidak pernah membelakangkan Sultan dan baginda sendiri telah memilih Mohammed Khusrin menjadi SUK," katanya.

Katanya, pendirian BN adalah muktamad iaitu tidak akan menyokong pindaan tersebut.

Jelas beliau, tidak timbul soal UMNO atau BN menolak atau tidak menghormati sultan sebaliknya yang 'menderhaka' adalah kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid kerana sampai sekarang enggan menerima pelantikan SUK yang telah direstui oleh baginda.

Abdul Shukor yang juga ADUN Kuang berkata, ADUN BN akan berbahas secara rasional dan tidak akan bertindak sebagaimana pembangkang di Perak yang kerap kali mencetuskan kekecohan dalam sidang DUN.

''Kita akan berbahas secara baik, walaupun kita pembangkang di negeri ini, kita akan tetap bertindak rasional.

''Tetapi tidak tahulah bagaimana wakil rakyat pakatan PKR, DAP dan Pas, kalau mereka sendiri yang membuat kecoh nanti, rakyat sendiri boleh membuat penilaian," katanya.

Bagi pakar undang-undang, Datuk Sallehuddin Saidin, pihaknya tidak mahu membuat sebarang jangkaan adakah pindaan itu akan berjaya diluluskan atau tidak.

''Saya tidak mahu membuat tanggapan negatif tetapi sekiranya tidak berjaya diluluskan, Abdul Khalid sepatutnya mengambil pendekatan menerima dan akur atas pelantikan Mohammed Khusrin.

''Berjaya atau tidak pindaan itu, Khusrin tetap kekal sebagai SUK," katanya.

Dalam hal ini, katanya, Khusrin mempunyai hak dari segi undang-undang untuk menjalankan tugasnya sebagai SUK termasuk untuk turut serta dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri.

''Bagaimanapun, beliau perlu mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar. Beliau perlu diberikan hak untuk berbuat demikian.

''Kalau beliau dihalang daripada menjalankan tugas-tugasnya menurut undang-undang, maka kalau beliau mahu mengambil tindakan undang-undang, itu adalah haknya," katanya.

Sallehuddin berkata, dalam undang-undang sedia ada, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diperuntukkan kuasa melantik SUK tetap menghormati kedudukan Sultan Selangor apabila mempersembahkan senarai calon SUK untuk diperkenankan oleh baginda.

Katanya, amalan yang dilakukan oleh SPA itu jelas menunjukkan suruhanjaya itu menghormati kedudukan Sultan Selangor yang mempunyai kuasa eksekutif.

''Jadi apa gunakan pindaan tersebut kerana amalan sekarang kedudukan baginda terus dihormati," katanya.

Malah sebenarnya, jika kerajaan negeri mempersoalkan pelantikan Khusrin sebagai SUK sekali pun mereka sepatutnya memberikan peluang kepada beliau melaksanakan tugas.

''Kalau lepas dua tiga bulan mereka tidak puas dengan khidmatnya, beritahulah SPA, kami tidak mahu orang ini lagi, tukarkan. Jadi tidak perlu pinda perlembagaan negeri," katanya Sallehudin.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain menjelaskan, berdasarkan prosedur sebenarnya pelantikan SUK sudah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Kata penganalisis politik itu, apa yang menjadi masalah ialah faktor tidak puas, bahawa Khusrin dianggap bukan 'orang' Abdul Khalid.

Jelasnya, pakatan pembangkang tidak menganggap sokongan dua pertiga dalam sidang DUN sebagai penting kerana apa yang menjadi tujuan sebenar mereka hanya ingin memerangkap BN yang selama ini begitu lantang memperjuangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

''Nanti mereka boleh menempelak UMNO sebagai tidak mahu mengembalikan kuasa sultan jika mereka tidak menyokong pindaan itu. Jadi BN perlu berhati-hati," katanya.

Ahmad Atory melahirkan rasa hairan bagaimana timbul soal 'kembalikan' kuasa sultan kerana dengan perkataan kembalikan sudah pasti ada tindakan menarik balik sebelum itu.

Soalnya bilakah berlaku penarikan balik kuasa sultan?

Katanya, apa yang terjadi semasa pindaan 1993 ketika di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah soal mengurangkan kekebalan raja-raja dari segi kesalahan jenayah manakala bagi kes sivil tiada undang-undang boleh diambil ke atas raja-raja.

''Sebaliknya, bagi pelantikan SUK di Negeri Negeri Melayu Bersekutu termasuk Selangor, sejak dari dulu ia diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Ini berbeza dengan kedudukan di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, pelantikan pegawai kerajaan divisyen tertinggi terletak kepada kuasa negeri," katanya.

Katanya, keadaan berbeza di Pulau Pinang apabila Ketua Menterinya, Lim Guan Eng tidak menjadikan masalah pelantikan SUK sebagai isu besar.

''Sedangkan proses pelantikan adalah sama. Saya lihat Guan Eng tidak akan berani bertindak seperti Abdul Khalid kerana bimbang tercetuskan konflik perkauman. Dia pun tahu. Berbeza di Selangor, ia membabitkan pertembungan semasa orang Melayu," katanya.

Tindakan Abdul Khalid tidak mengiktiraf pelantikan SUK yang baru hanya akan mengkucar-kacirkan pentadbiran negeri.

Pergolakan politik akan terus berlarutan kerana di atas kertas pentadbiran Abdul Khalid sudah pasti gagal untuk meluluskan pindaan tersebut. Nanti rakyat Selangor hanya akan mampu mengeluh; ''Apa lagi hendak berlaku di negeri kita ini?"

TAJUK-TAJUK BERITA L

Wednesday, January 19, 2011

Betul ke

Benarkah Pas perjuangkan Islam?

PAS menegaskan mereka memperjuangkan Islam. Ideologi mereka ini berjaya menarik ramai orang Islam untuk berasa diri telah menyahut seruan Allah untuk berjihad menegakkan negara Islam, hudud, mencegah maksiat, arak, zina, judi, hiburan, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Itu asas kepada penyertaan ramai ahli Pas kerana mereka percaya Pas menegakkan kebenaran dan UMNO bertanggungjawab melakukan kemungkaran. Pas sahaja yang benar dan UMNO sahaja yang salah.

Jika hujan, banjir, tanah runtuh, taufan dan segalanya kerana kemurkaan Allah pada UMNO dan jika terjadi pada Pas itu adalah ujian Allah, jika ahli UMNO mati, sakit, menderita, ditangkap dan segalanya kerana dosa mereka dan jika ahli Pas pula kerana syaitan dengki melihat mereka senang.

Jika kilang arak dibuka UMNO dituduh menghalalkan yang haram, jika Pas pula dikatakan itulah Islam sebenar bertolak ansur dengan agama lain sehingga mahu dibina kilang arak lagi, jika UMNO yang bekerjasama dengan bukan Islam, ditangkap basah, maksiat, judi dan segalanya, UMNO dihukum kafir, jika Pas yang melakukan semua itu dikatakan Allah sudah ampunkan dosa, tidak mengapa dan macam-macam lagi.

Dipendekkan cerita, Pas semua betul dan UMNO semua salah. Kita memahami akan Dasar Penubuhan Negara yang dipersetujui semua wakil kaum dan agama, tetapi mereka yang bermanfaat sering memainkan isu ini untuk meraih sokongan dengan mendorong rakyat kepada penentangan.

Sedangkan pemanupulasi ini sedar, cara untuk merubah Dasar Penubuhan Negara adalah melalui undian 2/3 Ahli Parlimen (MP).

Ini kerana keikhlasan merubah Kedaulatan Undang-Undang Negara bukanlah di jalanan, di pembesar suara, di mana-mana tetapi di Dewan Tertinggi Negara. Para pemimpin Islam yang berjumlah 130 orang di Dewan Parlimen (23 Pas, 16 PKR, 4 Bebas, 87 BN) hanya perlu bekerja keras meyakinkan 15 lagi MP yang bukan beragama Islam untuk menegakkan hukum Islam sebagai undang-undang negara.

Islam adalah agama yang benar. Asas kepada penubuhan negara Islam adalah menegakkan kebenaran dan meruntuhkan penipuan. Benarkah ahli Pas perjuangkan Islam? Jika benar, mengapa mereka tidak mendesak Datuk Seri Nik Aziz dan Datuk Seri Hadi Awang untuk mendesak menafikan tuduhan Ummi Hafilda ke atas Anwar Ibrahim, abangnya Azmin Ali, Shamsidar dan anak yang dikatakan anak Anwar?

Lakukan ujian DNA ke atas keempat-empat mereka dan lihat DNA anak tersebut sama dengan Azmin atau Anwar? Maka tertegaklah kebenaran dan hancurlah penipuan. Jika tidak cukup Islamik, Datuk Seri Anwar, Azmin dan Shamsidar perlu bersumpah. Jika tidak cukup juga, Datuk Seri Anwar dan Azmin perlu bersumpah di atas mimbar Khutbah Jumaat menafikan perkara itu.

Bukankah itu harapan kita semua untuk menegakkan Islam? Malahan, jika benar anak gadis itu anak Anwar maka adalah haram bersentuhan dengan Azmin dan saudaranya yang lain. Haram duduk serumah berduaan dengan Azmin dan saudaranya yang lain. Jika anak itu berkahwin dan diwalikan bukan bapa sebenar, maka perkahwinan tidak sah dan ramai lagi anak haram akan lahir. Jika tidak benar dan anak gadis itu anak Azmin yang sah maka terbelalah maruah beliau, Azmin, Shamsidar dan Datuk Seri Anwar yang sering "dituduh" rendah moralnya.

Bangunlah ahli Pas, kita cegah kemungkaran dan mengelakkan kemurkaan Allah. Percaya pada janji Allah, kebenaran akan tertegak dan penipuan akan tersungkur. Jihadlah, selamatkanlah masa depan dan syurga anak gadis yang tidak berdosa itu.

Jika anda tidak menyahut cabaran ini, maka perjuangan anda menegakkan Islam dalam Pas hanyalah palsu dan menipu diri sendiri tapi tidak mampu menipu Allah.

MUSTAQIM ABDUL RAHMAN

Batu Caves, Selangor

Azan

Waktu Solat
Laporan Cuaca

Berita Utama
Dalam Negeri
Wilayah
Laporan Khas
Parlimen
Politik
Luar Negara
Sukan
Bisnes
Mahkamah
Jenayah




Agama
Keluarga
Hiburan
Rancangan TV
Feminin
Pendidikan
Sains & Teknologi
Agrobiz
Kesihatan
Rekreasi
Polis & Tentera
Sastera

Rencana
Cuit
Selak
Awang Selamat
Kolumnis
Forum

Classifieds
Utusan Airtime
Portal Pendidikan
Kosmo! Online
Mangga Online
Saji Online
MyBooks
Kareer
Utusan Karya
Laman Xtive

Liga M 2010
PRK 2010
UMNO 2010
Sharlinie
Salam Perantauan
RENCANA

Iktibar permintaan peguam mahu azan diperlahankan

ISU azan yang bermula apabila seorang peguam, Ng Kian Nam menulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri pada 20 Disember lalu untuk mengadu mengenai laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah, Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur mengganggu ketenteraman awam dan meminta supaya diperlahankan suara azan sudah pun selesai.

Jadi, tidak perlulah ada pihak-pihak lain membangkitkan lagi isu tersebut memandangkan peguam tersebut telah pun memohon maaf kepada seluruh umat Islam negara ini.

Malah, permohonan maaf beliau disiarkan media tempatan dengan akhbar ini menjadikan ia berita utama muka depan berserta gambarnya sekali, semalam.

Melihat gambar yang tertera, jelas raut wajah mereka yang terlibat adalah ikhlas. Umat Islam negara ini diharap dapat menerima permohonan maaf itu tanpa sebarang prejudis. Lagi pun ajaran Islam mengajar umatnya untuk saling bermaaf-maafan.

Tindakan permohonan maaf ini juga diharap dapat menyejukkan hati umat Islam yang terguris terhadap apa yang berlaku.

Tidak ada yang menang dalam isu ini, sebaliknya jadikan ia sebagai pengajaran kepada semua kaum bahawa jangan sesekali bermain dengan isu agama. Isu agama begitu sensitif untuk disentuh terutama oleh pihak yang berlainan agama dan tidak ada pengetahuan.

Bagi bukan Islam, mereka perlu tahu elemen penting dalam sembahyang, perayaan yang disambut termasuk hari memperingati ulang tahun Rasulullah dan sambutan Maal Hijrah dan lain-lain. Tidaklah sampai perlu pergi ke kelas khas, cukup sekadar memahaminya melalui pembacaan atau bercampur gaul dengan rakan atau kenalan Melayu. Sebab itulah pentingnya perpaduan kaum dijalin melalui persahabatan.

Mengambil sikap mahu tahu seperti ini akan membuahkan hasil yang baik kerana jika setiap perbezaan difahami, maka tidak akan timbul perasaan terganggu terhadap apa yang berbeza itu, sebaliknya setiap daripada kita akan lebih menghormati.

Perlu difahami bahawa isu agama jika tidak ditangani dengan bijak dan penuh toleransi, maka dibimbangi segala kemakmuran hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara tercinta ini akan runtuh dalam sekelip mata.

Sayang sekali, sebuah negara yang pesat membangun dan menjadi contoh kepada negara luar yang kagum melihat keharmonian hidup penduduk berbilang kaum dan agama roboh disebabkan isu agama.

Jika selama 54 tahun kita hidup merdeka, kita berjaya menanganinya dengan penuh bijak, kenapa tidak sekarang? Apa yang perlu dilakukan oleh setiap rakyat adalah berhati-hati apabila memainkan isu yang melibatkan agama.

Justeru, memahami budaya dan keperluan agama setiap kaum amatlah penting dalam mengharungi cabaran hidup masyarakat majmuk di negara kita sekarang.

Ia mungkin tidak pernah berlaku dahulu tetapi melihat situasi sekarang terutama sikap pakatan pembangkang yang gemar menangguk di air keruh dan gemar mensensasikan isu tanpa memikirkan kesan kepada keharmonian hidup masyarakat, maka sewajarnya setiap daripada kita tanpa mengira kaum, bangsa dan agama mengambil pendekatan yang lebih bertoleransi, bertolak ansur dan saling memahami keperluan agama setiap kaum.

Namun, pemahaman sahaja tidak cukup jika tidak disokong oleh peraturan dan penguatkuasaan undang-undang dalam memastikan hidup bermasyarakat di negara ini kekal harmoni.

Setuju dengan pendangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mahu kerajaan menggariskan ketetapan bunyi yang dihasilkan pada majlis agama atau tempat ibadat. Garis panduan itu perlu memandangkan ada perayaan keagamaan tertentu yang disambut dengan bunyi bising, misalnya perayaan menghalau hantu lapar dalam masyarakat cina.

Ummi


Ummi Hafilda, perjuangannya belum selesai...

Oleh Zaini Hassan

Ummi Hafilda Ali, wanita Malaysia yang cukup luar biasa.

UMMI Hafilda ialah wanita berhati waja. Perjuangannya belum padam-padam. Walaupun berjihad seorang diri, beliau cukup tabah. Hakikatnya, beliaulah wanita yang telah menggagalkan impian seorang pemimpin, yang dicipta oleh Dr. Mahathir Mohamad, untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Jika tidak kerana Ummi Hafilda binti Ali, Anwar bin Ibrahim sudah pun memenuhi cita-citanya menerajui negara ini. Namun, Allah Maha Agung, Anwar dihalang oleh wanita itu.

Secara berdepan, saya tidak pernah bertemu dengan wanita ini. Namun, kerana mahu menyelami isi hatinya, juga atas naluri sebagai seorang wartawan, Ahad lalu saya telah bertemu dengannya. Saya mahu tahu mengapa beliau bangkit kembali untuk menggodam Anwar.

Pertemuan yang diatur oleh seorang rakan berlaku di sebuah restoran kegemarannya di Mont Kiara Solaris, sebuah perbandaran baru ultra-moden dekat Hartamas, Kuala Lumpur.

Beliau tiba kira-kira pukul 3.30 petang dengan blaus serba coklat bersulam kehitaman. Inilah wanita yang cukup dikenali oleh seluruh rakyat Malaysia – dan dunia, gara-gara perjuangan dan prinsip kentalnya.

Dia duduk berdepan dengan saya. Senyumannya manis. Kulitnya kuning langsat.

Arwah bapanya ialah seorang guru mengaji al-Quran. Ummi ialah adik kepada ahli politik kesayangan dan ciptaan Anwar, Azmin Ali. Dia juga adik kepada pengacara popular Azwan Ali, adik ipar kepada Shamsidar Taharin yang dikatakan cukup dibenci oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar. Mengikut rekod, Ummi pernah menuduh Anwar berzina dengan kakak iparnya itu hingga mendapat anak bernama Hafifah. Tiada DNA yang dibuat sehingga ini bagi menafikan dakwaan itu.

Serba ringkas, itulah keluarganya. Dan itulah maruahnya.

Ummi ialah anak bongsu daripada enam beradik, tiga lelaki, tiga perempuan. Lahir pada Jun 1967 di Kampung Klang Gate dekat Ulu Klang. Ummi mendapat pendidikan agama lebih daripada mencukupi. Umur enam tahun sudah boleh membaca al-Quran dengan baik dan sudah tahu bersembahyang. Boleh menulis dan membaca jawi dan belajar ilmu feqah dan hadis.

Senyumannya, wajahnya dalam pertemuan kami menggambarkan wanita ini cukup yakin kepada dirinya. Beliau mempunyai karekter yang kuat. Jika tidak masakan beliau boleh bertahan dengan pelbagai macam rintangan, serangan, asakan, tekanan dan sebagainya. Lawannya Anwar bukan calang-calang orang.

Setelah 10 minit memanas badan bersembang kosong dan berkenalan, saya bertanya: ‘‘Ummi tak takutkah dengan keselamatan diri?''

Jari telunjuknya pantas menuding ke langit. ‘‘Allah. Saya serahkan diri saya kepada-Nya.” Beliau tidak dikawal oleh mana-mana pengawal keselamatan. Itu yang menghairankan saya. Saya tanya soalan itu lagi. Dia menjawab sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.

‘‘Saya tiada pengawal keselamatan. Saya tahu saya memerlukan pengawal. Tapi saya serahkan kepada Yang Maha Esa,” katanya sambil tersenyum kecil. Tudung yang melitupi rambutnya dibetulkan ‘‘saya tahu nyawa saya berada di hujung tanduk... tapi itu tidak menjadi halangan untuk perjuangan saya.”

Pelbagai dokumen rahsia berada dalam tangannya. Itu tidak kira lagi apa yang ada dalam otaknya, apa yang dilihat dengan matanya sendiri.

Benar. Ummi berjuang untuk maruah. Maruah kepada keluarganya, dan yang paling penting ialah maruah kepada agama, bangsa dan negara.

Setakat ini beliau berjaya dalam perjuangannya. Anwar gagal menjadi Perdana Menteri. Tapi, Anwar masih menyimpan cita-citanya. Cita-citanya masih membara. Perbicaraan di mahkamah membabitkan kes liwat Anwar cukup perlahan. Pelbagai taktik digunakan untuk memperlahankan kes liwat membabitkan Saiful Bukhari Azlan.

Kes membabitkan Saiful ialah kes liwat kedua membabitkan Anwar. Jika kes liwat dulu membabitkan pemandu Wan Azizah, Azizan Abu Bakar, Dr. Mahathir dikatakan sebagai perancang konspirasi, tapi kes Saiful berlaku semasa pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi yang dikenali sebagai ‘‘Mr. Nice Man.”

Ummi sangat-sangat bimbang ia akan menjangkaui ke Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak. Walaupun beliau tahu Anwar akan terbabit secara langsung dalam PRU 13 ini, namun keazaman Ummi akan diteruskan hingga ke detik terakhir.

Ummi merasakan beliau bertanggungjawab untuk satu lagi cubaan. Cita-cita Anwar perlu dihentikan. Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri dan parti-partinya tidak boleh dibiarkan menang dalam pilihan raya itu bagi mengangkatkan martabat individu itu.

Jika Anwar akhirnya menjadi Perdana Menteri atau pakatan pembangkang menang kelak, sudah tentu kesnya akan digugurkan. Maka, rahsia maha besar Anwar juga akan turut dikuburkan. Itulah yang Anwar mahu dan oleh kerana itulah beliau begitu beria-ia mahu menang dalam pilihan raya umum kelak.

‘‘Anwar tidak boleh dibiarkan. Negara ini akan hancur, diaibkan, dimurkai, dihina– jika bukan pada mata manusia, tapi di hadapan Yang Maha Esa...”

Rakyat harus tahu mengenai gelagat dan sifat sebenar Anwar. Ummi turut menyebut mengenai S. Nallakarupan yang menjadi orang suruhan dan sahabat karib Anwar pada ketika kemuncaknya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ummi tahu mengenai pergerakan Nalla bersama Anwar pada masa itu. Kerana ia juga membabitkan abangnya dan kakak iparnya. Namun, Nalla akhirnya ‘bertaubat.’ Dia pun tahu dosa pahala. Kini Nalla ialah musuh Anwar seperti Ummi juga.

Baru-baru ini Nalla mempertahankan Ummi dengan berkata: ‘‘Bagi saya apa yang Ummi Hafilda katakan betul. Semua itu betul. Tidak boleh dinafikan lagi. Dia tahu segalanya termasuk abangnya, Azmin. Wan Azizah tahu siapa Anwar dan Azmin. Apa yang mereka perlihatkan kepada awam ketika ini hanyalah satu lakonan...”

Ummi juga menyebut mengenai bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari yang kini berganding dengan Nalla dan Ummi untuk membongkar kemungkaran nafsu-nafsi Anwar.

Baginya, Nalla dan Anuar -- mereka mengetahui terlalu banyak kemungkaran Anwar. Individu itu harus dihentikan. Saya bertemu dengan Ummi lebih empat jam di restoran itu. Pelbagai muslihat, peristiwa, onar, maksiat dan apatah lagi kemungkaran manusia bernama Anwar itu diceritakannya.

Sudah tentu saya tidak boleh menceritakannya kepada pembaca. Tapi ia terlalu meyakinkan. Ummi Hafilda bukan calang-calang orang. Rahsia yang diketahuinya terlalu besar. Kerana itulah Anwar telah dipaksa meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir pada 1998.

Seperti saya yang baru tahu mengenai jalan cerita yang cukup meloyakan itu daripada mulut Ummi sendiri, Dr. Mahathir telah mengetahuinya awal-awal lagi.

Sebagai khalifah Malaysia pada masa itu, Dr. Mahathir wajib (ulang: wajib) melakukan sesuatu untuk menghentikan cita-cita besar lagi rakus Anwar bin Ibrahim itu.

Mengapa Ummi kembali bersuara, setelah bertahun-tahun menyepi diri, tanya saya?

‘‘Saya tidak boleh tahan dengan tindak-tanduknya sekarang. Soal bangsa pun sudah disentuhnya. Enough is enough. Saya mahu hentikannya once and for all,” katanya. Saya bertanya apakah itu bermakna Ummi mempunyai niat peribadi? ‘‘Ya, tapi untuk negara saya dan keluarga saya. Manusia seperti itu perlu dihentikan. Saya tahu terlalu banyak mengenainya. Setakat ini beliau terlepas. Saya tidak mahu dia terlepas lagi.”

Saya bertanya siapa di belakang Ummi sekarang ini? ‘‘Tiada siapa.”

Saya bertanya lagi UMNOkah? ‘‘UMNO tak boleh pakai. Mereka tidak membantu saya langsung.” Lagi pertanyaan saya, takkah pihak keselamatan atau SB yang menjagai Ummi, beliau menjawab ‘‘Tidak. Saya bergerak sendiri. Mereka tidak kisah dengan saya,” katanya.

Saya menyarankan beliau menulis buku mengenai kisah-kisah yang dialaminya. Katanya: ‘‘Saya sedang menulisnya. Saya juga mahu membuat satu filem dokumentari mengenai kisah diri saya bertarung dengan Anwar.”

Ibunya akan keluar menyokongnya. Kak Longnya dan kakaknya yang lain serta sanak-saudara menyokongnya. ‘‘Ia adalah jihad keluarga untuk mempertahankan keluarga kami juga.”

Jika UMNO tidak membantunya menceritakan kepada rakyat – satu demi satu – gelagat Anwar, ‘‘saya akan menggerakkan sendiri gerakan untuk menganyang Anwar. Saya akan masuk ke kampung-kampung menceritakan siapa itu Anwar. Jika orang tidak tahu, saya akan menceritakannya. Tiada selindung-selindung lagi.”

Dalam satu ketika pertemuan itu, air mata Ummi kelihatan bergenangan. Namun sebagai wanita yang cekal beliau cuba bertahan. ‘‘Saya kini digelar sebagai wanita jalang, pelacur, sundal dan sebagainya. Saya tabah menghadapi semua ini. Perkara yang lebih besar berada di hadapan saya. Saya perlu kuat.” Karekternya cuba dibunuh dari segenap hala, sebagaimana karekter Dr. Mahathir dilanyak dulu.

Semasa mula-mula Ummi membongkarkan kemungkaran Anwar sekitar 1997-1998 dulu, hidupnya cukup azab. Semasa itu Anwar masih memegang jawatannya.

Ummi diperlakukan seperti musuh nombor satu negara. Keretanya pernah dilanggar dan dilontar dengan kepala kucing yang baru dipenggal. Diekori oleh lelaki-lelaki yang disifatkannya sebagai gengster, terpaksa menyembunyikan diri di Janda Baik, Bentong. Serta disoal siasat polis dalam bilik hotel dengan herdikan-herdikan yang kasar. ‘‘Saya cukup takut ketika itu.”

Namun itu semua bagi Ummi Hafilda tidak melemahkan jiwa dan semangatnya. Hari ini beliau muncul kembali. Jika benarlah beliau sudah kaya-raya – lebih baik duduk sahaja diam-diam.

Tapi itu bukan persoalannya. Beliau tidaklah kaya. Beliau kini hanya usahawan yang menjalankan perniagaan mengeksport makanan beku ke Iran. Namun perjuangannya perlu diteruskan.

Terbaru Ummi mencabar Anwar berdebat berhubung kebenaran kes salah laku seks. Tapi dengan pelbagai ‘peluru’ yang Ummi ada, beranikah Anwar? Selama ini pun Anwar tidak pernah menyaman Ummi terhadap pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh wanita itu. Anwar tahu dengan siapa yang beliau hadapi. Ummi bukan calang-calang orang. Dalam tangannya ada rahsia besar Anwar.

Sebaliknya Anwar menganggap cabaran itu ‘‘hanya soal nyamuk’'. Ummi menjawab: ‘‘Raja Namrud yang angkuh mati hanya kerana gigitan seekor nyamuk. Jadi, jangan pandang remeh soal nyamuk kerana ia boleh menghancurkan.

‘‘Nampak sangat dia (Anwar) gerun dengan saya. Nampak sangat dia tak berani. Kalau dia tak nak berdebat pun tak apa. Cuma, saya nak tengok sejauh mana dia menghadapi perkara ini sebab saya tidak cakap kosong. Saya ada bukti di tangan.

‘‘Kalau tak mahu berdebat, saya cabar (Anwar) masuk masjid dan buat sumpah laknat. Saya cabar Azmin, Shamsidar dan Wan Azizah sekali. Sumpah bukan perkara suka-suka. Saya buat kerana saya yakin saya benar. Kalau nak kata saya nyamuk, dia nyamuk aedes yang hanya tahu gigit orang itu, gigit orang ini dan merosakkan ummah.

‘‘Kerana lakonan dan kemunafikannya, orang Pas pun tak boleh buka minda, buka mata,” katanya dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Wanita ini akan terus hidup. Suaranya kini boleh diikuti dalam blognya http://srikandi7.blogspot.com. Blog itu kini berada di tangga ke-25 paling popular di negara ini.

Banyak lagi kisah wanita waja ini. Ummi juga akan menyaman Anwar, abangnya Azmin, Dr. Wan Azizah dan Karpal Singh. Beliau akan membuat apa sahaja untuk mempastikan cita-cita Anwar dihentikan.

Ummi, sebenarnya tahu terlalu banyak mengenai kemungkaran Anwar. Kemungkaran yang dilakukan oleh Anwar cukup-cukup menghantuinya. Sebagai wanita luar biasa, Ummi akan terus berjuang.

Selagi hayat dikandung badan, Ummi akan terus berjuang. Musuh nombor satu beliau ialah Anwar bin Ibrahim.

Dalam pertemuan itu, saya boleh menyimpulkan wanita bernama Ummi Hafilda binti Ali ini ialah wanita Malaysia yang cukup luar biasa (pada abad ini)