Tuesday, July 26, 2011

siasat lakonan

Polis buka dua kertas siasatan lakonan

KUALA LUMPUR 25 Julai - Polis membuka dua kertas siasatan terhadap peserta perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Shuhardi Md. Isa yang 'berlakon' meninggal dunia kerana sesak nafas pada 9 Julai lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, pihaknya menyiasat Shuhardi berikutan dua laporan polis yang dibuat oleh orang awam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Cheras baru-baru ini.

"Siasatan polis dibuat ke atas seorang lelaki bernama Shuhardi Md. Isa yang berlakon sebagai Baharudin Ahmad semasa perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

"Setakat ini, kita menerima dua laporan daripada orang awam berhubung tindakan yang dilakukan oleh Shuhardi itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Polis minggu lalu mendedahkan rakaman video situasi sebenar perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu bagi menangkis segala tohmahan yang dilemparkan terhadap pasukan tersebut.

Antara yang ditayang adalah lakonan Shuhardi kononnya dia merupakan Allahyarham Baharudin, pemandu teksi yang meninggal dunia ketika menyertai perhimpunan itu.

Berikutan tayangan video tersebut, Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, selain Shuhardi, polis turut menyiasat mereka yang dikaitkan membuat laporan palsu kononnya dikasari sewaktu menyertai perhimpunan haram itu.

Selain Shuhardi, individu yang sedang disiasat termasuk Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa dilanggar kenderaan polis sedangkan pendedahan rakaman video oleh polis menunjukkan motosikal diboncengnya terjatuh sendiri selepas membuat pusingan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment