Thursday, July 7, 2011

Hargai Tun Razak

Menghargai jasa Tun Abdul Razak

Oleh YUSRI SAHAT
utusanktn@gmail.com

PEMBANGUNAN Felda Jengka Tiga Segi yang dicetuskan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein berjaya meletakkan sektor perladangan negara sebagai entiti penting untuk membangunkan tamadun bangsa.

Bermula daripada sebuah kawasan hutan rimba yang 'dihuni' flora dan fauna, Felda Wilayah Jengka atau sebelum ini dikenali sebagai Tiga Segi Jengka kini mampu melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu, terancang dan moden.

Sebagai mengenang jasa pencetusnya, adalah amat tepat sekali Bandar Jengka diubah namanya kepada Bandar Tun Abdul Razak Jengka (BTARJ) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak hari ini.

Di bawah pentadbiran Najib, pelbagai pembaharuan dilaksanakan di tanah rancangan dan warga BTARJ tidak terkecuali daripada manfaat itu. Tidak kurang 60 pembaharuan dilaksanakan untuk faedah peneroka meliputi sosio-ekonomi dan pendidikan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan BTARJ sebagai bandar yang unik dan dianggap 'mini Malaysia' kerana warga penerokanya berasal dari seluruh negara yang menggunakan loghat berbeza dalam percakapan hariannya.

Penduduk dari Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan Melaka bersatu di bawah satu pemerintahan yang diterajui Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

BTARJ mengandungi 25 tanah rancangan bermula dari Felda Jengka Satu hingga 25 manakala Felda Wilayah Jengka pula merupakan gabungan 37 tanah rancangan yang terletak dalam daerah Maran (26 rancangan), Jerantut (sembilan rancangan) dan Temerloh (dua rancangan).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, nama BTARJ dipilih atas kehendak warga tanah rancangan itu sendiri yang amat terhutang budi dengan jasa Tun Abdul Razak.

Justeru jelas beliau, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menyatakan persetujuan sekali gus mewartakan perubahan nama itu pada mesyuarat Exco kerajaan negeri pada Oktober tahun lalu.

''Meskipun Felda Lurah Bilut di Bentong merupakan tanah rancangan Felda pertama di Pahang dan negara ini tetapi transformasi sebenar tanah rancangan adalah bermula di wilayah Tiga Segi Jengka.

''Perubahan nama itu juga sebagai tanda terima kasih terutama daripada golongan peneroka kepada Tun Abdul Razak yang banyak mencurah bakti dalam merubah kehidupan peneroka,'' jelasnya.

Mengimbau kembali pembukaan tanah rancangan Felda di Pahang, kata beliau, persetujuan membuka tanah untuk diserahkan kepada peneroka dari seluruh negara merupakan pengorbanan ' jihad' kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri, ujarnya, amat berbangga kerana masyarakat peneroka Felda mengamalkan prinsip 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung' sekali gus membantu membangunkan ekonomi negeri ini.

''Kemajuan pesat BTARJ yang diusahakan dengan kelapa sawit dan getah menjadi terkenal di kalangan pemimpin dunia yang ingin menjadikan Jengka sebagai model pembangunan di negara mereka,'' katanya.

Pengurus Besar Wilayah Jengka, Saari Din pula berkata, keluasan keseluruhan tanah rancangan di Jengka adalah 64,117.05 hektar membabitkan seramai 14,957 peneroka di 37 tanah rancangan.

Dari segi pembahagian tanah rancangan mengikut Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau memberitahu, ia merangkumi tiga kawasan Parlimen dan tujuh DUN. Parlimen Jerantut mengandungi tanah rancangan terbanyak iaitu 14 buah diikuti Parlimen Kuala Krau (12 ), dan Maran ( 11 ).

Menurut Saari, struktur pentadbiran tanah rancangan masih mengekalkan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan rancangan (JKKR) di samping beberapa kawasan menubuhkan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) mulai 1 Julai 1998.

''Antara rancangan yang mewujudkan JKKK termasuk Gugusan Felda Jengka 1, 2, 3, 4, 5, 9 dan 10 selain Felda Sungai Nerek, Felda Kampung Awah, Felda Hulu Jempol, Felda Sungai Tekam, Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Padang Piol,'' katanya.

Dari segi populasi, menurut beliau, majoriti peneroka berasal dari Pahang iaitu seramai 4,979 orang (33.3 Peratus) diikuti Kedah 2,247 orang (15 peratus), Perak 1,943 orang (13 peratus), Kelantan 1,697 orang (11.3 peratus) dan Selangor seramai 1,489 orang (9.9 peratus).

Menurut Saari, sebanyak 32 daripada 37 buah rancangan membabitkan 13,646 orang telah menerima hak milik tanah secara berperingkat yang disampaikan oleh Sultan Pahang, Najib dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sehingga kini, katanya, hanya lima tanah rancangan belum mendapat surat hak milik iaitu Felda Jengka 21, 22, 24, 25 dan Felda Kota Gelanggi 4 yang melibatkan peneroka seramai 1,311 orang.

Dalam bidang pendidikan, katanya, seramai 2,182 atau 2.6 peratus anak peneroka Jengka berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Menerusi pembaharuan yang dijalankan oleh Najib, tambah beliau, aspek pendidikan diberi keutamaan seperti membiayai kelas Tuisyen Felda (STF) dan kelas khas bahasa Inggeris dan Matematik membabitkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta yang membabitkan pelajar seramai 6,896 orang.

Selaku agensi pembangunan yang diberi tugas besar oleh kerajaan, Saari memberitahu, Felda menyusun pelbagai perancangan strategik untuk membolehkan tanah rancangan sebagai tempat selesa untuk didiami dan dikunjungi.

Katanya, langkah utama digerakkan adalah meminta kerjasama semua pengurus tanah rancangan memberi tumpuan utama terhadap aspek keceriaan membabitkan halaman rumah dan persekitarannya.

Selain itu, jelas Saari, di bawah Najib, usaha menangani pengangguran di kalangan generasi baru Felda turut dipergiatkan.

Bagi Skim Insentif Usahawan Felda (SIUF), jelas beliau, seramai 291 usahawan memperoleh pinjaman mudah membabitkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta sejak Ogos tahun lalu.

Katanya, sebanyak RM7.2 juta dikeluarkan kepada 306 peneroka di bawah Skim Pinjaman Pembesaran Rumah sebagai usaha mewujudkan situasi kediaman yang selesa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said berkata, peneroka Felda merupakan golongan bertuah kerana terpilih menyertai tanah rancangan itu yang kini telah memberi anjakan kehidupan yang jauh berbeza berbanding ketika tinggal di kampung.

Dalam meniti zaman, BTARJ semakin pesat membangun apatah lagi dengan wujudnya Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Pahang yang meletakkannya berstatus bandar ilmu selain pelbagai institusi kewangan dan premis komersial yang sejajar dengan pertambahan penduduk,

Status BTARJ milik bumiputera harus dipertahankan kerana ia menjadi 'lubuk emas' kepada peniaga bumiputera yang bijak mengeksploitasi peluang ekonomi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment