Wednesday, July 6, 2011

kenakan isa


Polis boleh laksanakan ISA terhadap dalang perhimpunan haram Sabtu ini

Samsuri Arshad (kanan) bersama ahli-ahli Yayasan Pengaman Malaysia pada sidang akhbar khas di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 5 Julai - Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Samsuri Arshad mencadangkan supaya polis mengambil tindakan terhadap dalang perhimpunan haram Sabtu ini, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekiranya keadaan mendesak.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia (Pengaman) berkata, langkah di bawah ISA tersebut antara yang boleh digunakan kerana termaktub dalam peruntukan undang-undang di samping akta-akta dan peraturan-peraturan lain.

Katanya, antaranya adalah Akta Polis 1967, Ordinan Darurat 1969, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

"Undang-undang (ISA) itu ada dan ia boleh dikuatkuasakan, cuma menunggu bila ia patut dilaksanakan.

"Namun, kita sokong penuh dan percaya dengan sebarang tindakan yang diambil oleh pasukan polis berdasarkan budi bicara serta maklumat risikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar khas itu ialah lima lagi bekas pegawai kanan tertinggi Bukit Aman termasuk bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdul Rahman.

Samsuri menambah, kesemua akta dan peraturan itu boleh diambil terhadap penganjur yang bergerak di belakang Bersih termasuk pihak-pihak yang diibaratkan sebagai 'baling batu, sembunyi tangan'.

"Penganjur beri alasan akan mengadakan perhimpunan secara aman, tetapi jika melibatkan jumlah ramai, mereka tidak boleh mengawal penyokong.

"Pada masa sama, perhimpunan sedemikian akan diresapi psikologi perusuh, anasir jahat, subversif, jenayah, dadah dan provokasi.

"Sebab itu kita berpendirian perhimpunan tersebut tidak harus diadakan kerana tidak mewakili kepentingan keseluruhan 28 juta rakyat negara ini," katanya.

Samsuri turut meminta pihak polis mengambil tindakan membekukan aset milik Bersih sekiranya siasatan mendapati pertubuhan itu menerima dana daripada pihak tertentu yang bertujuan menggugat keselamatan dan keamanan negara.

Sementara itu, Zulkifli berkata, penganjur perhimpunan tersebut sebenarnya boleh menyelesaikan tuntutan mereka itu melalui proses mahkamah mahupun Parlimen.

"Mengapa penganjur mahu menimbulkan isu itu sekarang sahaja, kenapa tidak beberapa hari selepas pilihan raya umum lepas," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment