Wednesday, July 20, 2011

malaysian insider

Ambil tindakan tegas ke atas The Malaysian Insider

PEMERHATI MEDIA
Kuala Lumpur

SEJAK kebelakangan ini, saya mendapati laporan portal pro pembangkang The Malaysian Insider semakin berani menyiarkan komen-komen yang menghasut rakyat dan mencerca kerajaan.

Apa sahaja dilakukan isu berkaitan kerajaan mahupun politik UMNO, pasti ia akan diiringi dengan komen-komen negatif.

Saya pernah cuba menghantar komen positif berhubung isu yang diperbincangkan, namun ia tidak disiarkan biarpun saya memberi nama penuh.

Dari situ, saya semakin faham agenda tidak jujur The Malaysian Insider yang hanya mahu menyiarkan komen-komen yang memihak kepada pembangkang sahaja. Tetapi dalam masa sama, mereka menuduh media arus perdana berat sebelah dan tidak profesional.

Namun begitu, apa yang menjadi kebimbangan saya ialah keghairahan portal berita itu yang menyiarkan komen-komen yang boleh menjurus kepada ketegangan kaum dan memburuk-burukkan kerajaan.

Komen-komen tersebut boleh mencemarkan nama baik kerajaan dan ada kala boleh menjejaskan keharmonian rakyat negara ini.

Oleh itu, saya ingin menggesa pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya jangan hanya menjadi pemerhati sahaja.

Kalau media arus perdana termasuk Utusan Malaysia pernah diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri, apa istimewanya The Malaysian Insider? Kenapa tiada tindakan ke atas mereka?

Saya berharap, selepas ini akan ada tindakan SKMM ke atas The Malaysian Insider. Jangan biarkan mana-mana portal atau media dalam negara ini menjadi duri dalam daging kepada usaha kerajaan memakmurkan dan mensejahterakan rakyat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment