Wednesday, July 20, 2011

najib n pope

Usah buat tafsiran songsang pertemuan Najib-Pope Benedict

KATA Perdana Menteri, dunia berada pada persimpangan, kuasa tidak rasional dan perbalahan mengancam kestabilan yang sekian lama kita nikmati dan pertahankan selama ini.

Dalam situasi ini adalah penting dan bermakna bagi Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pope Benedict XVI bertemu dan bertukar-tukar pandangan ke arah mewujudkan suasana dunia yang aman dan damai.

Pertemuan ini merupakan buat kali kedua Perdana Menteri Malaysia diterima bertemu pemimpin tertinggi penganut Kristian Katolik. Pada 7 Jun 2002, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memenuhi undangan Pope John Paul II bagi mengadakan satu pertemuan yang dianggap merintis jalan ke arah persefahaman antara agama demi kesejahteraan sejagat.

Kini giliran Najib mengembang dan mengukuhkan hubungan diplomatik bagi menggalakkan persahabatan dan kerjasama antarabangsa di antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Vatican.

Kunjungan Najib bertemu Pope Benedict XVI di Castel Gandolfo di pinggir Rom bukan untuk mencari sokongan penganut Kristian di tanah air menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. Dan lawatan Najib ke Vatican City bukan untuk mendapatkan sokongan popular daripada pentadbir gereja seluruh dunia, Holy See.

Kedua-dua pemimpin itu bukan membincang isu tindakan kerajaan terhadap perhimpunan haram Bersih atau layanan terhadap penganut Kristian di Malaysia.

Sudah tentu perkara ini tidak dibangkitkan oleh Pope Benedict sebaliknya mereka membincangkan pelbagai isu seperti toleransi agama, salah tafsiran terhadap Islam dan keamanan sejagat termasuk isu keganasan.

Dakwaan serkap jarang daripada pertubuhan bukan kerajaan tertentu terhadap lawatan rombongan Najib itu sendiri yang bermotif politik. Jika tidak tahu perkara sebenar apa yang dibincangkan oleh dua pemimpin itu, lebih baik diam.

Misi Perdana Menteri ialah Malaysia ingin berkongsi pengalaman negara yang sealiran dalam menggalakkan dunia yang aman dan harmoni.

Sebab itu Malaysia menjalinkan hubungan ini dengan kerajaan Vatican yang mempunyai pengaruh terhadap negara dan penganut Kristian Katolik.

Pertemuan dengan Pope Benedict membuka peluang untuk Najib mengetengahkan konsep Pergerakan Sederhana Global untuk menangani keganasan dalam semua bentuk.

Gesaan ini telah disampaikan Najib dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2010.

Dalam konteks kerjasama ini, eloklah Malaysia menjalin hubungan lebih erat dengan Majlis Pontifical untuk Dialog Antara Agama yang diketuai Cardinal Jean-Louis Tauran dan Institut Pontifical untuk Pengajian Arab dan Islam.

Untuk tujuan itu, Institut Kajian Kefahaman dan Kemajuan Islam Malaysia, Institut Pengajian Islam dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional perlu bersedia menerajui inisiatif itu.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam memahami kedudukan umat Islam dunia yang berdepan dengan pihak-pihak bukan Islam yang jauh lebih kuat.

Untuk menangani yang kuat, tindakan yang harus dilakukan ialah menggunakan strategi yang lebih berkesan. Kita yakin pendekatan paling berkesan walau mengambil sedikit masa ialah diplomasi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment