Saturday, July 9, 2011

kena lutu

SPR, Ambiga dan duri

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

TERKEJUT sungguh seorang wartawan sebuah portal propembangkang kelmarin apabila tiba-tiba terkena lemparan sepotong 'rock melon' yang entah dari mana 'terbangnya'.

Agak kasihan pada mulanya melihat gelagatnya. Tetapi jika dikenangkan balik kerenahnya yang mungkin mengundang insiden itu, kalangan hadirin pada majlis anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di situ barangkali boleh menerima mengapa dia diperlakukan sedemikian.

Mana tidaknya. Ketika semua orang berdiri untuk menghormati lagu korporat SPR yang sebelum itu didahului nyanyian lagu NegaraKu di lobi SPR, Putrajaya itu, dia tanpa rasa bersalah, duduk menghadap nasi bungkus ambeng.

Makan, seolaholah di sekeliling tidak ada pemerhati. Tapi mujurlah 'rock melon' yang entah siapa pelemparnya tidak hinggap terus kepadanya. Tetapi sudah cukup menyedarkan salah seorang daripada rakan di sebelahnya untuk bingkas bangun serta-merta menyertai sama hadirin menghormati lagu berkenaan. Tapi si wartawan portal pembangkang itu terus dengan lagaknya.

'Mukadimah' ini antara senario yang terakam semasa majlis pelancaran Kempen Bulan Semakan Daftar Pemilih 2011 yang disempurnakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof. Majlis berlangsung dengan baik dihadiri ramai hadirin daripada kalangan pihak media dan wakil-wakil parti politik.

Ternyata minat dengan apa sahaja isu berkaitan SPR, yang lebih-lebih lagi setelah 'dipopularkan' oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) diterajui Datuk S.Ambiga membawa hadirin ke Ibu Pejabat SPR kelmarin. Sidang akhbar yang dipengerusikan Abd. Aziz dan timbalan beliau, Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak habis-habis 'ditujah' oleh wartawan portal propembangkang sehinggakan Abd.Aziz terpaksa menarik perhatiannya bahawa SPR memang tidak memiliki kuasa autonomi menangani isu tertentu dalam tugasnya.

"Permintaan Malaysiakini ini sama dengan 'Bersih', saya cakap lain, anda lapor lain," kata Abd. Aziz sambil diperhatikan Wan Ahmad di sebelahnya.

Sememangnya cabaran hebat menanti SPR yang digalas Abd. Aziz dalam usaha memastikan ketelusan dan proses pilihan raya adil yang kini cuba dipolitikkan oleh Bersih.

"SPR ingin menegaskan bahawa ruang terbuka luas kepada mana-mana pihak untuk mempertikaikan keputusan pilihan raya melalui petisyen dan bukannya melalui tuduhan atau menyebarkan fakta tidak tepat melalui laman web atau blog yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan seterusnya memberi persepsi negatif kepada SPR," kata beliau.

Sebenarnya gelagat Ambiga sendiri sudah 'naik berbulu' di mata Abd. Aziz. Sudahlah dilayan dengan mesra dan diberi penjelasan secukupnya pada pertemuan kumpulannya dengan para pegawai kanan SPR Disember lepas, terbaru pula, tiba-tiba dia mengeluarkan kenyataan yang tidak disangka-sangka.

"Kami sudah tutup buku dengan SPR, tidak ada lagi rundingan," kata Ambiga. Eh! siapa yang mengendalikan pilihan raya di negara ini. SPR ke atau Ambiga.

Dan yang pasti, SPR sahajalah yang menjadi bahan cemuhan parti pembangkang. Sehinggakan tuduhan dan dakwaan yang bermacam-macam hinggap ke atas suruhanjaya itu.

Semalam, Abd. Aziz sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan keras menyifatkan Ong Boon Keong dari Malaysia Election Observation Network (MEO-Net) sebagai pembohong besar.

Ini berikutan dakwaan Boon Keong semasa pilihan raya negeri Sarawak April lepas yang disiarkan dalam Malaysiakini bahawa berlaku keadaan kertas undi berlebihan daripada jumlah pemilih berdaftar di pusat mengundi SK Pasai Siong Tengah.

"Sedangkan siasatan SPR mendapati dakwaan itu tidak benar dan adalah tohmahan semata-mata. Ini kerana semakan SPR mendapati nama pusat mengundi SK Pasai Siong Tengah yang dimaksudkan Boon Keong juga tidak wujud dan bukan pusat mengundi yang telah diwartakan oleh SPR sebagai pusat mengundi bagi pilihan raya DUN Sarawak Ke-10.

Mengikut rekod SPR, pada Mei lalu sahaja, Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) daripada parti politik mencatat 52 peratus prestasi dalam mendaftarkan pengundi baru, diikuti pendaftaran di kaunter pos sebanyak 20 peratus.

Jika suatu ketika PPP dari DAP mendahului dari segi pendaftaran pemilih baru, ia kini dipintas oleh PPP daripada UMNO, MCA dan MIC dengan tiga parti komponen BN ini mencatat angka antara 600 hingga 1,100 pemilih baru sebulan.

Malah, setakat 7 Jun lalu, jumlah pemilih dalam Daftar Pengundi Induk kini sudah mencecah 12,032,467 orang.

Sememangnya tidak habis-habis cabaran yang dipikul oleh SPR.

Barangkali sesuailah kata-kata hikmah yang tertera di dinding Aras 4, Ibu Pejabat SPR, "Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain. Janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain."

No comments:

Post a Comment