Wednesday, July 13, 2011

pendemo makan kenduri

Yang macam ini pun ada

Oleh Fauziah Arof

SABTU lalu, kawan saya, isteri seorang anggota polis, merungut. Sudah berminggu, suaminya bekerja tidak tentu masa. Hendak duduk makan bersama anak-anak pun susah. Dan hari itu, subuh lagi, suaminya keluar tidak tentu pulangnya pukul berapa.

Saya percaya, beribu-ribu lagi isteri polis di Lembah Klang melihat kesibukan ‘luar biasa’ suami mereka beberapa minggu lepas. Semuanya gara-gara perhimpunan haram ‘Bersih’. Kerananya, pihak polis bersengkang mata.

Jika kita di pejabat pun tahu penat apabila bekerja lebih masa sedikit, mereka yang berpanas dan berembun, apatah lagi. Namun, apa yang mereka dapat? Selain gaji bulanan, mereka ini dikutuk, seperti dalam perhimpunan haram itu, menggunung cacian daripada perusuh.

Tidak kira yang muda dan tua, perusuh menjadikan polis tempat melepaskan marah dan geram. Lupa sekejap bahawa apabila rumah kecurian, anak mereka hilang atau dipukul, isteri dikacau atau diragut, bahkan haiwan ternakan hilang pun, semuanya akan bergegas mencari pihak berkuasa ini.

Aduhai, melihat pakcik-pakcik berkopiah yang sebaya ayah saya, terjun dari atas bukit di kawasan Pudu Raya, rasa belas sungguh. Tempat mereka bukan di demonstrasi jalanan itu, makcik-makcik pula memimpin kanak-kanak, apalah yang mereka tahu tentang tuntutan perhimpunan itu sebenarnya.

Dan yang paling menjengkelkan, selepas membuat provokasi melampau, membaling polis dengan batu, kayu dan botol, perusuh yang ditahan dengan muka selamba, tanpa rasa bersalah menjamu selera sambil tersenyum menceduk lauk ke nasi di khemah ala kenduri kahwin disediakan oleh pihak berkuasa itu.

Sepatutnya penganjur perhimpunan yang menyediakan makanan, tetapi terbalik pula, pihak yang ditentang merendah diri berbuat begitu. Bukan itu saja, perusuh diberi ruang bersolat dan jika ada yang sakit, ada pihak merawatnya. Namakan negara manakah yang melayan perusuh di jalanan sebegitu selain Malaysia? Kalau di luar negara, jangankan makan minum, perusuh teruk dibelasah polis.

Hairan sungguh, mereka ini melaungkan demokrasi kononnya mengikut negara luar lain yang bangkit menentang kezaliman kerajaannya, tetapi perusuh di sini siap dapat makan minum daripada kerajaan. Kerajaan zalim atau mereka yang bertindak tidak adil kepada warga kota lain yang mahu keamanan?

Memang pelik, mentaliti sesetengah daripada kita. Mereka boleh bertindak ganas, tetapi jangan polis. Jika dikejar, ditarik, terkena gas pemedih mata, polis yang ganas. Bak kata seorang kawan, tak akan polis perlu memberi setiap seorang sekuntum mawar merah dan meminta dengan lemah lembut, silalah beredar dari sini, sedangkan sebelum ini banyak amaran dikeluarkan termasuk daripada Yang di-Pertuan Agong.

Kepada polis, walau apa pun tuduhan dilemparkan, anda patut diangkat sebagai ‘hero’ pada hari itu, bukan Anwar Ibrahim, S. Ambiga, Lim Kit Siang atau Abdul Hadi Awang. Anda semua dapat mengawal keadaan dan esoknya, warga kota dapat menjalankan rutin seperti biasa. Berterima kasihlah kepada polis!

No comments:

Post a Comment