Friday, April 5, 2013

ulamak pro kerajaan dikeji

ARKIB : 02/04/2013

Menghina ulama dan ilmuwan perbuatan keji

SELASA lalu, sebuah laman web suarapakatanrakyat.com, menyiarkan laporan mempersenda kematian Allahyarham Dr. Muhammad Uthman el Muhammady dengan kata-kata biadab dan keji.
Kita tidak pasti siapa penulisnya dan kajian terperinci perlu dilakukan supaya perbuatan sebegini dihentikan.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Datuk Sheikh Ab. Halim Ab. Kadir menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghina kematian tersebut.
Sikap yang ditunjukkan oleh Yang Dipertua PUM itu adalah baik kerana umat Islam harus dididik supaya menghormati ulama dan ilmuwan apa lagi yang banyak jasanya kepada masyarakat.
Soal berbeza pendapat adalah hal yang biasa sejak dari dulu sehingga kini. Tetapi perbezaan yang disantuni dengan adab ul ikhtilaf (etika perbezaan) adalah sesuatu yang baik kerana ia mengembangkan lagi akal fikir tanpa menyinggung seseorang.
Apatah lagi kubur Allahyarham masih merah, dilontarkan pula dengan tanggapan yang tidak sepatutnya, ia bukan adab orang Islam. Allahyarham seorang yang banyak jasanya kepada negara dan dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 2005.
Benar, Allahyarham mengambil pendekatan menyantuni umara atau pemimpin. Apakah ini suatu dosa dan bercanggah dengan Islam? Soal tafsirannya mengenai taat kepada ulil amri bukanlah suatu hal yang menyebabkan kebencian dan dendam terhadap sebegitu rupa.
Zaman Anwar Ibrahim dalam kerajaan dulu, Allahyarham ialah teman rapatnya dan selalu dirujuk buah fikirnya terhadap sesuatu isu. Anwar tahu kekuatan ilmu dan pembacaan yang ada pada Allahyarham.
Apakah faktor politik atau ghairah untuk melakukan perubahan rejim (regime change) pertimbangan adab dan akhlak semakin tiada. Perbezaan dalam hala tuju perjuangan politik adalah perkara biasa. Menang dan kalah dalam pertarungan lazim berlaku.
Janganlah perbezaan yang ada membawa kepada pertentangan dan pertentangan yang terjadi membawa dendam kesumat dan rasa benci yang meluap-luap.
Lazimnya orang yang sudah sebati dengan tarbiyyah dalam jamaah, ia tidak tergamak melakukan penghinaan sebaliknya mendoakan kepada Allah SWT akan rahmah dan limpahan nikmahnya.
Dalam tradisi Islam yang menyuburkan faham saling-melengkapi, tidak harus ada seseorang atau sekelompok orang apa lagi sesebuah jamaah bahawa ia lebih Islam daripada yang lain. Asbab berlakunya hidayah dan petunjuk diberikan adalah ihsan Allah dan bukannya ketentuan manusia.
Lalu ada yang membuat pendirian bahawa jamaah kita adalah lebih Islam dan meremehkan orang lain. Dari sudut dakwah dan tarbiyyah ia adalah menyalahi. Kerja pendakwah menyampaikan sebijaksana mungkin dengan sifat sabar yang tinggi dan rasa kasih sayang yang murni.
Inilah risalah ukhuwah dalam Islam. Pendekatan berasaskan nafsul mutmainnah yang tinggi bukannya nasful amarah yang memperlihatkan sifat benci dan dendam kesumat.
Pancaran Islam antara satu sama lain ialah ukhuwah yang hebat, istiqamah (teguh hati) kepada kebenaran, dakwah yang bijaksana dan penuh hemah, sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi, dan sentiasa mendoakan kebaikan untuk orang lain.
Islam tidak datangnya daripada orang yang berjiwa resah dan gopoh, melampau dan berdendam kerana itu bukanlah anjuran Islam. Islam menganjurkan kita menjadi pemaaf dan mempunyai tasa timbang rasa yang tinggi.
Serahkan kepada Allah untuk menentukan untung nasib seseorang tetapi kita sebagai insan yang lemah amat memerlukan petunjuk yang lurus daripada-Nya.
Jangan gunakan kata-kata yang kesat kepada yang telah pergi. Paling tidak Allahyarham Ustaz Muhammad Uthman el Muhammady telah menghasilkan ratusan buku dan terjemahan kitab-kitab, seorang penelaah yang hebat dan memiliki upaya debat yang tinggi, berceramah dan melakukan dakwah lebih separuh usia hidupnya tanpa mengerti erti penat dan lelah.
Terjemah al-Qurannya dari kitab al-Quran Yusof Ali adalah sesuatu yang amat bernilai ditinggalkan kepada kita. Tujuh jilid dari kitab dengan bahasa Melayu yang sangat baku merupakan khazanah yang tinggal untuk tatapan sepanjang hayat. Al-Fatihah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130402/re_03/Menghina-ulama-dan-ilmuwan-perbuatan-keji#ixzz2PXLDRCsi
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment